Melayu Sejati, Islam di Hati (3)

Sejarah telah merakamkan bahawa bangsa Melayu telah banyak terpengaruh dengan unsur keagamaan Hindu dan Buddha di dalam kehidupan mereka. Setelah kedatangan Islam di tanah Melayu, perubahan besar telah berlaku ke atas masyarakat Melayu dari sudut pemikiran dan kepercayaan beragama. Islam merupakan agama yang menentang amalan dan kepercayaan ritual karut marut yang bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri. Apa yang ada di sisi Islam hanyalah perkara ‘ghaibiyyat'(perkara-perkara ghaib) yang dikhabarkan oleh Kitab Allah al-Quran dan Sunnah Baginda s.a.w, selain daripada itu ia adalah tertolak di sisi Allah s.w.t dan dikira kepercayaan khurafat dan bidaah di dalam aqidah.

Sepertimana yang disebutkan sebelum ini bahawa Islam telah lama bertapak di dalam jiwa umat Melayu sehingga perkataan Melayu cukup sinonim dengan Islam. Masyarakat Cina di tanahair pada zaman dahulu menamakan istilah memeluk agama Islam dengan penggunaan frasa ‘masuk Melayu’ berbanding ‘masuk Islam’. Namun hakikatnya, Islam dan Melayu merupakan dua konteks yang berbeza mengikut situasinya. Islam adalah agama yang syumul berlandaskan prinsip syariat Allah s.w.t, serasi untuk setiap zaman dan mana-mana bangsa di bumi ini. Manakala Melayu bukan satu landasan agama, ia hanya gelaran suatu bangsa yang berasal dan menetap di kawasan Asia tenggara, memiliki bahasa pertuturan dan budaya adat resam tersendiri.

Adat resam dan budaya sesuatu bangsa itu tidak semestinya selaras dengan kehendak Islam. Semestinya Islam sama sekali tidak memerangi adat istiadat sesuatu bangsa asalnya ianya tidak bertentangan dengan displin yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Terdapat beberapa adat jahiliyyah yang terus diterima pakai oleh Islam tanpa mengenepikannya, sebagai contoh adat masyarakat Arab ketika itu cukup gemar bersyair dengan bahasa yang cukup puitis, tinggi nilai retorik dan kesusasteraannya. Setelah kedatangan Islam amalan bersyair itu tidak dipupuskan oleh Rasulullah s.a.w malah ia kekalkan. Apa yang dihindari adalah isi kandungan yang tidak bersesuaian dengan prinsip agama Islam maka itu dipersisihkan dan diharamkan oleh Syarak.

Oleh itu Islam dan Melayu merupakan dua perkara yang berbeza samaada dari sudut prinsip kepercayaan, budaya dan adat resam. Tidak semua perkara tersebut diterima oleh Islam, malah banyak yang telah ditentang dan dihapuskan dari alam pemikiran Melayu oleh para ulama dan pendakwah dahulu dan sekarang. Perbezaan inilah semestinya menjauhkan lagi jarak hubungan di antara masyarakat Melayu dengan Islam. Namun jarak ini boleh didekatkan, bukan itu sahaja malah kedua-duanya boleh disatukan asalkan penggerak generasi Melayu mengorbankan prinsip keMelayuannya yang tidak dipersetujui oleh syarak dan mereka kembali menyoroti lambaian dan kilapan Sunnah Nabawiyyah.

Melayu dan Islam merupakan dua perkara yang berbeza, meskipun dinyatakan sebelum ini orang Melayu cukup sinonim dengan Islam dalam erti kata lain orang Melayu adalah orang Islam. Ini tidak semestinya memberi makna Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu, Namun apa yang perlu difaham disini adalah anutan bangsa Melayu dengan Agama Islam sejak turun temurun. Orang Melayu yang beragama Islam tidak semestinya ia benar-benar menghayati konsep Islam itu sendiri. Justeru itu kita lihat betapa ramai umat Islam Melayu yang tercicir identiti Islamnya sedangkan sedia maklum bahawa ia adalah muslim secara luaran. Apabila dia ditanya tentang agamanya pasti jawapan yang diberi adalah Islam, siapakah tuhan yang disembah, pasti Allah s.w.t adalah jawapannya dan siapakah Nabi akhir zaman, sudah tentu terujar nama baginda Muhammad s.a.w tanpa banyak fikir.

Oleh itu, dengan ketepatan fakta yang disebutkan di atas dengan tanpa disangkal dan dipertikaikan kebenarannya, saya rasa bertanggungjawab untuk mengupas beberapa adat dan amalan kebiasaan masyarakat Melayu yang menjadi titik perbezaan mereka dengan agama suci Islam itu. Di sini saya tidak mahu melampirkan amalan yang terkeluar dari ketogari amalan kebiasaan Melayu, seperti meninggalkan sembahyang lima waktu, puasa, zakat dan sebagai, kerana amalan tersebut bersifat umum yang diwahyukan oleh Allah s.w.t ke atas seluruh umat Islam yang mukallaf(yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan ibadat tertentu) tanpa mengira latar belakang sesuatu bangsa.

Terdapat banyak amalan orang Melayu yang bukan berasal dari Islam, walaupun kenyataan ini agak umum tetapi boleh dispesifikkan kepada ruang yang lebih kecil agar ia tidak disalahertikan. Sebagai contoh bahawa amalan yang bukan berasal dari Islam bukanlah berkait rapat dengan urusan muamalat dan duniawi, selagimana ia mendatangkan faedah dan kemaslahatan maka selagi itulah ia disokong oleh syarak seperti kemajuan teknologi dan pembangunan. Apa yang ingin ditekankan disisi adalah amalan yang memerlukan rujukan syarak untuk menentukan betul atau salah dan tepat atau menyimpang sesuatu urusan itu.

Merujuk kepada sesuatu amalan luar dari tuntutan Islam berkemungkinan adalah kesan pengaruh Hindu dan Buddha yang masih berbaki di era Melayu moden ini. Tetapi ini bukan satu kepastian yang tetap, kerana banyak faktor yang lain yang menyumbang wujudnya amalan sedemikian. Antaranya ialah pengaruh Sufisme dan Tarekat yang masuk ke Tanah Melayu satu ketika dahulu, faktor ini banyak mengundang banyak amalan-amalan yang bukan datang dari al-Quran dan as-Sunnah. Antara faktor besar lagi ialah pembawakan individu yang berpengaruh dalam masyarakat untuk perlaksaan ibadat, kesan dari pembawakan yang terbit akibat terlalu ghairah beribadat sehingga banyak penambahan di dalam sebahagian amalan ritual Islam.

Bersambung……..

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Melayu Sejati Islam di Hati. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s