Melayu Sejati, Islam di Hati (4)

Amalan masyarakat Melayu yang bukan berasal dari Islam boleh diketogarikan kepada tiga, iaitu kepercayaan, amalan ritual dan gaya hidup. Setiap fakta yang bakal disebutkan secara ringkas dan tanpa perbahasan yang panjang dan terperinci. Tidak semua amalan-amalan yang berkait dengan isi perbincangan ini dimuatkan di dalam artikel ini, tetapi amalan-amalan yang menurut pengalaman penulis adalah menular dan luas praktiknya di dalam kehidupan masyarakat Melayu.

a) Kepercayaan

1- Sebahagian masyarakat Melayu dahulu dan moden mempercayai bahawa roh orang yang sudah meninggal dunia mampu menziarahi ahli keluarganya. Saya teringat semasa di zaman kanak-kanak, apabila ada kematian maka seluruh ahli keluarga di rumah di dilarang melakukan perkara yang mengundang suasana gembiraan dan hiburan di dalam rumah seperti menonton telivision, mendengar radio dan seumpamanya. Larangan seperti ini timbul akibat percayakan kehadiran roh menziarahi ahli keluarga lantas sewajar ia dihormati dengan tanpa melakukan perkara-perkara yang menghiburkan.

Kepercayaan ini secara jelasnya bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Nabawiah yang tidak pernah menjelaskan apa-apa pun yang berkaitan atau kepercayaan yang seumpama di atas. Sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Apabila matinya anak Adam , akan terputuslah semua amalannya (urusan dunia) kecuali 3 perkara : Sedekah Jariah , Ilmu yang bermanfaat , dan anak soleh yang mendoakannya. (Hadith riwayat Muslim)

Hadith di atas menjelaskan bahawa amalan sewaktu hidup di dunia terputus dari manusia yang telah mati . Berinteraksi, berhubung sesama manusia dan menziarahi merupakan di antara amalan duniawi manusia ketika hidup dan sesunngguhnya ia terpisah dengan orang yang telah meninggalkan dunia. Mereka yang hidup meneruskan kehidupannya yang sedia ada, dan mereka yang telah mati mereka hidup di alam mereka tersendiri. Antara satu sama lain tidak dapat berinteraksi semasa sendiri begitu juga roh tidak mampu untuk menziarahi sesiapa yang masih hidup.

2- Tanggungan dosa orang lain. Saya biasa mendengar selama pengalaman saya berkomuniti dengan masyarakat Melayu, ada di antara mereka yang mempercayai bahawa perempuan yang berstatus bujang selagi ia belum berkahwin maka dosanya ditanggung oleh Ayahnya. Di dalam Islam tiada skim seseorang menanggung dosa orang lain, buktinya di ambil dari firman Allah s.w.t surah Faatir ayat 18:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى

Dan (ketahuilah) , seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.”

Ramai di kalangan masyarakat Islam keliru dengan dengan konsep WALI kepada anak gadis. Wali atau si ayah masih bertanggungjawab kepada keselamatan, nafkah dan penjagaan sebelum anak daranya itu dipinang dan bernikah. Mana-mana anak adam yg sudah baligh, maka buku amalan atas nama masing2 pun dibuka dan dialah kena bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri dan tak ada konsep ada orang tolong pikul dosa orang lain. Ayah dan ibu akan memikul dosa jika dia cuai dalam pendidikan anak2 atau nafkah tapi bukan kena pikul dosa anak yg sudah mencapai tahap akil baligh.

Fikirkan bagaimana seorang wanita yang tidak berkahwin atau bertekad enggan berkahwin hingga ke akhir hayatnya, alangkah kasihan si bapa terpaksa menanggung dosa si anak daranya hingga hembusan nafas terakhirnya( anak perempuan).

3- Berkabung. Masyarakat Melayu semenjak dahulu lagi sehingga sekarang mengamalkan perkabungan bagi si mati. Apa yang ketara apabila terjadi kematian pemerintah iaitu raja atau sultan, maka rakyat di arahkan untuk berkabung kononnya menghormati kematian seseorang raja atau sultan.  Cara perkabungan tersebut adalah dengan memakai songkok berlilit kain putih, wanita memakai selendang, mengikat kain putih di lengan dan bendera di naik tahap separuh tiang.  Antara bentuk perkabungan lain yang di amalkan oleh orang-orang Melayu iaitu ahli keluarga si mati berkabung untuk si mati. Gaya perkabungan yang di amalkan ialah menahan dan melarang dari melakukan perkara yang membawa suasana gembira dan hiburan seperti menonton TV, mendengar radio, ketawa, bergurau senda dan sebagainya.

Menurut Islam tiada bentuk perkabungan di atas, apa yang disebut adalah perkara-perkara yang di ada-adakan yang tiada sandaran sama sekali dari al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Perkabungan dalam Islam hanyalah melibatkan wanita yang baru kematian suaminya supaya meninggalkan (tidak memakai) barang perhiasan dan peralatan kemas dan apa-apa sahaja yang boleh menarik minat dan ghairah lelaki lain di dalam tempoh iddah. Begitu juga wanita diharuskan(tidak wajib) jika kalangan dari ahli keluarganya meninggal dunia agar berkabung dengan cara Islam selama tiga dan tidak boleh lebih dari itu, sepertimana sabda Nabi s.a.w:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ، فَإِنَّهَا تُحِدُّ عَلَيْهِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Wanita yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat tidak halal(boleh) berkabung untuk mayat(ahli keluarganya) lebih dari tiga hari, kecuali untuk suaminya (baru meninggal)  maka ia berkabung selama empat bulan sepuluh hari. (Hadith riwayat Bukhari)

Begitulah bentuk perkabungan di dalam Islam, Sesungguhnya ia cukup berbeza dengan amalan kebiasaan masyarakat Melayu. Dalam Islam perkabungan hanya melibatkan kaum wanita sahaja dan tidak pada lelaki. Manakala di dalam adat Melayu perkabungan melibatkan kaum lelaki dan wanita dan ini jelas bertentangan dengan hadith Nabi s.a.w yang disebut di atas. Cara perkabungan di dalam Islam hanya perlu meninggalkan barang perhiasan dan apa sahaja yang boleh menarik perhatian mana-mana lelaki yang bukan mahram, perkabungan cara ini sendiri bertujuan untuk menjaga maruah wanita. Manakala menurut adat istiadat Melayu perkabungan mendesak supaya meninggalkan segala hiburan seolah hanya perlu berkelakuan sedih.

Bersambung………..

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Melayu Sejati Islam di Hati. Bookmark the permalink.

2 Responses to Melayu Sejati, Islam di Hati (4)

  1. Mohammad Daud says:

    Aku tak kenal kau nie sapa. Tapi aku nak tegur kau. Banyak tulisan kau nie yang tak betul bagus kau rujuk dulu dengan ustaz yang lebih alim sebelum kau buat sesuatu bidaah sesat macam nie satu contoh aku bagi kenapa aku kata kau nie ada masalah sikit
    وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى
    “Dan (ketahuilah) , seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.” Kau main tibai jer…. macam mana pulak firman Allah yang maksudnya “Peliharalah Diri Kamu dan Keluarga Kamu Dari Api Neraka”. Terjemahkan maksud firman diatas…. Kau jangan terjemah AlQuran sesuka hati kau jer.. baik kau gie belajar lagi, Aku pun sama masih nak belajar lagi tapi aku tak seberani kau, main tibai jer terjemah ayat Quran, Kau terjemah ayat Quran nie kau belajar nahu kat mana pandai tak kau bahasa AlQuran, nahu faham tak.

  2. aburuqayya says:

    Terima kasih atas kesudian anda menziarahi blog saya yang tidak seberapa. Saya sedar akan kekurangan ilmu di dalam jiwa saya ini. Namun saya tidaklah seteruk yg anda sangkakan selama ini. Jika benar kesalahan terdapat di dalam artikel2 saya, sila buktikan secara ilmiah dan sekiranya ia ternyata salah saya akan akui kesilapan saya dan perbetulkan.

    Sila nyatakan apa yg silap terjemahan saya itu? adakah perlu terjemahan secara harfiyah iaitu secara tepat atau bulat2 mengikut gaya uslub bahasa Arab? adakah sama uslub b. arab dengan b. melayu? adakah terjemahan mesti mengikut gaya penterjemahan melayu klasik yg tersohor di sekolah2 pondok yg mana menggunakan gaya bahasa melayu yg tunggang langgang, tidak teratur dan tersasar dari displin bahasa melayu sebenar sehingga sukar di fahami?

    Saya bukan insan yg terlalu jahil dalam bab nahu atau bahasa al-Quran. Segala pertanyaan anda di atas, saya menjawab “ya” saya pernah belajar dan mendalami ilmu nahu dan bahasa al-Quran. Namun saya iktiraf akan kelemahan dan kekurangan saya. Cuma apa yang saya minta adalah buktikan jika benar saya salah dari segi fakta dan sebagainya melalui kritikan ilmiah bukan omongan kosong seperti tong kosong, isi tiada kuat bunyi sahaja lebih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s