Rasulullah s.a.w berbicara tentang kejadian manusia

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ:حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ-: إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٍّ أَمْ سَعِيدٍ؛ فَوَاَللَّهِ الَّذِي لَا إلَهَ غَيْرُهُ إنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا .

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadaku dan baginda adalah seorang yang benar dan yang dipercayai:

“Sesungguhnya setiap kejadian kamu diletakkan di dalam perut ibunya di dalam bentuk air mani selama 40 hari, kemudian dalam bentuk darah beku seperti waktu tersebut(40 hari), kemudian dalam bentuk segumpal daging seperti waktu terebut, kemudian ia dihantar kepada malaikat untuk ditiupkan roh ke dalamnya, dan malaikat diperintahkan berkenaan empat kalimat: ialah menulis ketetapan rezekinya, ajalnya, amalannya dan kehidupannya samaada bahagian atau tidak. Demi Allah yang tiada tuhan selainNya, jika seseorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga di antara dia dan ia(syurga) hanya jarak satu hasta dan itu telah ditulis ketetapan ke atasnya, maka ia melakukan amalan ahli neraka lalu dia masuk ke dalamnya. Jika seseorang di antara kamu melakukan perbuatan ahli neraka sehingga jarak dia dan ia(neraka) hanya satu hasta dan itu telah ditulis ketetapan ke atasnya, maka dia melakukan amalan ahli syurga lalu dia masuk ke dalamnya.”

TAKHRIJ HADITH

Hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari: Kitab Bad’ al-Khalq, Bab Dzikr al-Malaikah hadith no. 3036, 3154, 6221 dan 7016. Juga diriwayatkan oleh al-Imam Muslim: Kitab al-Qadr, Bab Kaifiah al-Khalq al-Adami Fi Batn Ummihi Wa Kitabati Rizqihi Wa Ajalihi Wa ‘Amalihi Wa Syaqawatihi Wa Sa’adatihi hadith no. 2643.

KETERANGAN:

Hadith yang diriwayatkan dari baginda s.a.w di atas menerangkan tentang hakikat iman kepada Qada’ dan Qadar Allah swt. Ia berlegar sekitar kekuasaan Allah terhadap kejadian manusia yang meliputi beberapa peringkat proses kejadian. Penjelasan secara mendalam pengertian sebenar hidup dan mati, petunjuk hidayah dan kesesatan serta perkara-perkara yang ghaib. Hadith ini menunjukkan tanda kenabian Baginda s.a.w dengan pengetahuan Baginda yang tidak boleh diungkap dengan akal pada waktu itu. Begitu juga pada zaman itu belum ada lagi ilmu penemuan sains yang membicarakan tentang kejadian manusia.

Bermula peringkat persenyawaan di antara benih lelaki dan perempuan, berkembang ke peringkat darah beku(‘alaqah) terus berubah kepada bentuk segumpal daging(mudghah) kemudian berubah pada bentuk janin yang berbentuk lengkap sebagai manusia. Setelah itu Allah memerintahkan malaikat selepas 120 hari untuk meniup roh ke atas janin dan ditentukan oleh Allah s.w.t nasib rezekinya, ajalnya, amalannya dan kehidupannya di dunia ini samaada bahagia atau tidak.

Hadith juga mengkhabarkan bahawa Allah swt maha mengetahui keadaan setiap hambanya sebelum ia dicipta dan dilahirkan ke muka bumi. Setiap insan nasibnya diketahui dan berada ditangan Allah swt, berapa lama ia hidup? Bila akan mati? Bagaimana kedudukan rezekinya? Bahagiakah ia hidup di dunia? Apakah kedudukannya nanti di akhirat kelak, syurga atau neraka?

Proses kejadian tersebut telah dijelaskan oleh Allah swt di dalam kitab suci al-Quran surah al-Mu’minun ayat 12-13:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِين ثُمَّ وَلَقَدْ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَاماً فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْماً ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقاً آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Begitu juga di dalam surah al-Hajj ayat 5:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاء إِلَى أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّى وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِن بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاء اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami) dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh) dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.

Setelah baginda menyebut peringkat kejadian manusia kemudian diikuti dengan bentuk amalan seseorang itu dinilai oleh Allah swt berdasar amalannya di penghujung hayat. Jika penghujung hayat seseorang hamba diakhiri dengan amalan soleh maka Allah memasukkannya ke dalam Syurga. Jika penghujung hayatnya diakhiri dengan amalan yang dimurkai oleh Allah swt, maka tempatnya adalah di neraka.

Menurut al-Imam al-Nawawi, perkataan ‘satu hasta'(ذِرَاعٌ) merupakan perumpamaan bagi maksud dekatnya ajal atau hampir mati. Menurut beliau lagi, hadith ini menunjukkan sifat kelembutan Allah swt dan keluasan rahmatNya untuk hambaNya, iaitu dengan izinnya seseorang yang sepanjang hayatnya bergelumang dengan perkara maksiat sehingga di akhir hayatnya berubah menjadi baik, maka Allah meletakkannya dari kalangan ahli Syurga. Manakala dari keadaan baik kepada jahat di akhir hayat, ia adalah sangat jarang dan terlalu sedikit yang berlaku.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah, Manchester UK

RUJUKAN

AL-QURAN AL-KARIM

SYARH SAHIH MUSLIM, AL-NAWAWI

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Hadith Nabawi. Bookmark the permalink.

3 Responses to Rasulullah s.a.w berbicara tentang kejadian manusia

  1. itsshera says:

    Assalamualaikum ustaz. Kenapa manusia diciptakan dari tanah ye? Ada hikmah yang kita boleh ambil ke?

  2. itsshera says:

    Assalamualaikum ustaz. Ada tak hikmah yang kita boleh ambil di sebalik penciptaan manusia daripada tanah?

    • aburuqayya says:

      Antara hikmahnya ialah menunjukkan kuasa Allah yang maha hebat dan menggambarkan kita ini manusia berasal dari tanah yang hina agar kita sedar kedudukan diri kita di sisi Allah ta’ala. Wallahu A’lam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s