Sir Thomas Walker Arnold: Penaklukan Islam Bertujuan Hanya Ingin Harta Rampasan Perang dan Kemewahan Material

Sir Thomas Walker Arnold

Sir Thomas Walker Arnold

Sir Thomas Walker Arnold seorang orientalis British yang dilahirkan pada 19 April 1854 dan mendapat pendidikan di City of London School. Beliau menyambung pengajiannya di peringkat  tinggi di Kolej Magdalene di Oxford  dan Universiti Cambridge pada tahun 1883. Pada tahun 1888 beliau bertugas sebagai tenaga pengajar di Muhammedan Anglo-Oriental College, Aligarh India. Pada tahun 1898 beliau mendapat gelaran Profesor falsafah di Government College University, Lahore Pakistan. Setelah itu Arnold dilantik sebagai dekan fakulti pengajian timur di Universiti Punjab. Sir Thomas Walker Arnold pernah mengajar seorang penyair falsafah Islam dari Pakistan iaitu Muhammad Iqbal, Syed Sulaiman Nadwi ahli sejarah dan pemikir Islam pakistan dan Shibli Normani seorang sarjana Islam dari India.

Arnold cuba mentafsirkan sejarah Islam berdasarkan asas pemikiran barat yang berkiblat material semata-mata. Beliau menyatakan bahawa umat Islam di bawah kawalan jaguh dan wira Islam telah terlibat dengan banyak penaklukan di seluruh muka bumi bagi tujuan untuk meraih sebanyak mungkin harta dan pendapatan material melalui harta rampasan perang dan hasil bumi di tanah taklukan.

Arnold seorang pengkaji pemikiran ketimuran terutama perkara yang berkaitan dengan Islam dan umatnya. Beliau secara jelasnya mengambil fakta sejarah Islam melalui karya-karya yang telah dikarang oleh ilmuan Islam sebelum dan sezamannya. Namun apa yang mengecewakan beliau tidak meneliti sepenuhnya sejarah yang merakamkan gaya hidup wira-wira Islam yang mengepalai pentadbiran dan ketenteraan Islam dari Rasulullah hinggalah ke zaman khulafak Rasyidin. Inilah piawaian atau standat yang digunakan oleh para orientalis barat terhadap gaya pengkajian sejarah Islam iaitu mengambil sesuatu fakta dan mengabaikan satu fakta yang lain. Ini bertujuan agar kelihatan jelas kecacatan di dalam agama Islam kononnya.

Gaya kajian seumpama ini boleh dikait dengan seorang buta menilai rupa bentuk seekor gajah dengan menyatakan bahawa gajah itu macam kipas besar sebab si buta itu hanya menyentuh telinga gajah itu maka tidak hairanlah dia menyifatkan begitu. Sedangkan banyak lagi ciri-ciri gajah yang boleh disifatkan dengan melihat secara menyeluruh tentang struktur bentuk seekor gajah itu. Begitu juga dengan nilaian terhadap penaklukan yang dilakukan oleh umat Islam perlu dilihat secara keseluruhan. Bukan hanya melihat Islam menghalalkan harta rampasan perang, tambahan pula dilihat ilmu fiqh Islam ada membahaskan pembahagian harta rampasan perang kepada yang terlibat dalam peperangan atau tidak.

Ini bukan bermakna umat Islam tamakkan harta rampasan sehingga sanggup berhijrah ke Madinah meninggalkan tanahair, kampung halaman, harta benda dan ahli keluarga hanya demi ke Madinah untuk menyertai tentera suatu hari nanti. Kemudian datang kembali ke Mekah untuk mendapat harta rampasan perang? Perkiraan bahagian harta rampasan perang yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya memiliki hikmah tersendiri iaitu mengelakkan perbalahan di kalangan umat agar  pemberian itu adil dan saksama dan tidak timbul rasa tidak puas hati mana-mana pihak. Begitu juga wujudnya ilmu pembahagian harta pusaka di dalam Islam bukan melambangkan bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan harta material, tetapi agama yang mengutamakan keharmonian dan menyelamatkan manusia dari bergelut dengan sikap manusia yang tamak dan haloba.

Golongan orientalis tidak sepatutnya hanya membaca perenggan yang terkandung fakta yang menurut mereka boleh dijadikan senjata untuk membunuh Islam. Sepatutnya mereka membaca dari baris ke baris sehingga kelihatan semua sudut bentuk struktur agama Islam itu, seperti kita menyifatkan gajah itu bertubuh besar, memiliki belalai yang panjang, telinga besar, gading, berat dan sebagainya setelah melihat bentuk gajah secara keseluruhan.

Arnold dan individu-individu orientalis yang sepemikiran dengannya perlu mentelaah sekali sirah Nabi s.a.w dan para Khulafaknya yang menggantikan tempat baginda sebagai pemimpin ummah dan juga sebagai individu yang bertanggunjawab di atas penaklukan yang dilakukan oleh Islam. Jika mereka meneneliti gaya hidup Nabi s.a.w dan khulafaknya r.a pasti akan sedar bahawa Islam menjelajah ke seluruh dunia bukan bermatlamatkan material tapi menyampaikan risalah Allah s.w.t. Mereka sepatutnya menyedari kebenaran fakta di bawah ini:

1) Rasulullah s.a.w tidur di atas pasir yang dialas oleh tikar tanpa tilam. (Sahih al-Bukhari, Hadith no. 6425).

2) Nabi adakalanya hanya berjamu buah tamar dan air putih. (Sahih Muslim: Hadith no. 2467).

3) Nabi s.a.w hanya makan roti keras tanpa meja dan alas. (Sahih al-Bukhari: Hadith no. 0445).

4) Nabi s.a.w memakai pakaian yang berkain keras. (Sahih Muslim: Hadith no. 3655)

5) Nabi s.a.w wafat meninggalkan hutang dengan seorang Yahudi hasil pembelian baju besi perang dengan harga   30 cupak gandum. (Musnad al-Imam Ahmad: Hadith no. 2589)

6) Abu Bakar r.a memulangkan kembali sebahagian wang peruntukkan dari Baitulmal sebagai gajinya sebagai Khalifah apabila mengetahui isterinya dapat menjimatkan sebahagian dari peruntukkan tersebut. (al-kamil fi al-Tarikh, Ibn al-Athiir)

7) Ketika sakit tenat Abu Bakar r.a mewasiatkan Aisyah r.a agar menyerahkan segala hartanya yang masih tertinggal kepada khalifah yang menggantinya untuk diletakkan di Batitulmal. (al-Tobaqat al-Kubra, Ibnu Sa’ad dan Tarikh al-Khulafa’, al-Suyuti)

8 ) Seorang ulama tabi’ien Zaid bin Wahab menyatakan bahawa beliau melihat pakaian Umar r.a padanya terdapat 14 tampalan koyak. (al-Aadab al-Syar’iyyah wa al-Minah al-Mar’iyyah, Ibnu Muflih)

9) Sejarah membuktikan bahawa Umar r.a datang ke al-Quds untuk mengambil kunci Baitul Maqdis dari pendita Jerusalem dengan menunggang keldai kecil sedangkan pembantunya menunggang unta. (Tarikh Ibnu ‘Asaakir, Ibnu ‘Asaakir)

10) Ramai umat Islam di zaman pemerintahan Uthman bin Affan r.a melihat Uthman menyampaikan khutbah dengan mengenakan pakai yang berkain kasar yang harganya sekitar 3 ke 4 dirham. (Sifah al-Sofwah, Ibnu al-Jawzi)

11) Abu al-Mutrif menyebut bahawa beliau telah melihat Amir al-Mukminin Ali bin Abu Tolib  r.a berlegar-legar di sebuah pasar dengan ketrampilan seperti a’rabi (arab badwi) yang jauh dari bentuk pakaian yang mewah dan cantik. (Tazkirah al-Khawas, Syamsuddin al-Baghdadi)

Sebenarnya banyak lagi fakta sebegini boleh dimuatkan, tetapi cukup sekadar ini sebagai contoh dan tatapan. Jika Tokoh-tokoh wira Islam membuat penaklukan kerana material dunawi sudah lama para pemimpin silam umah Islam bermewah-mewahan di dalam kehidupan.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah, Cheetham Hill Manchester


About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Membela Islam. Bookmark the permalink.

2 Responses to Sir Thomas Walker Arnold: Penaklukan Islam Bertujuan Hanya Ingin Harta Rampasan Perang dan Kemewahan Material

  1. Pingback: Orientalis Terima Islam « geopractice

  2. Pingback: geopractice :: Orientalis Thomas Arnold :: September :: 2009

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s