MERRY CHRISTMAS????

Sudah agak lama tidak tidak meng’upgrade’ isi kandungan blog saya ini, barangkali terlalu sibuk agaknya dengan tugasan harian yang mana saya sendiri tidak tahu apa yang saya sibukkan. Namun adalah sedia maklum hidup berkeluarga ini semestinya tidak boleh disamakan dengan kehidupan orang yang belum berumahtangga dan beranak pinak. Mungkin nampak secara zahirnya tidak sibuk tapi hanya Allah sahaja yang tahu suasana hidup berkeluarga. Senang cerita, ingin lebih memahami maka kahwin dahulu dan insyaAllah ada rezeki mendapat cahaya mata barulah tahu sibuknya hidup berkeluarga.

Hidup di bumi Inggeris ini memberi masa yang cukup berkualiti kepada kebanyakan mereka yang sudah berkeluarga, manakan tidak di musim sejuk dan bersalji ini ibu bapa lebih tertumpu duduk di rumah berbanding hanya sibuk dengan urusan luar di kala musim bunga dan panas. Ini sudah tentu satu rahmat yang mahu tidak mahu ia memberi impak yang cukup baik kepada masyarakat setempat agar dapat memeriahkan hidup berkeluarga dengan harmoninya.

Musim perayaan Krismas merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh warga british sendiri mahupun yang datang dari luar yang menetap di bumi yang bertuah ini termasuklah rakyat Malaysia di sini. Bagi mereka yang meraikan perayaan ini menganggap bahawa perayaan ini membawa keseronokkan dengan berkumpulnya sanak saudara yang bertandang di rumah, makan secara besar-besaran bersama ahli keluarga yang datang dari jauh mahupun dekat. Tak lupa jua hadiah-hadiah yang melimpah ruah yang diterima dari ahli keluarga dan kaum kerabat.

Manakala masyarakat Melayu juga tidak ketinggalan merasakan keseronokan krismas ini dengan terbitnya jualan murah, diskaun harga barangan yang berjenama dan bermutu tinggi. Bagi mereka inilah peluang untuk mengaut dan mengumpul sebanyak mungkin barang yang diminati untuk simpanan dihari tua nanti yang mana ditanahair sendiri rasanya tidak termampu untuk membelinya.

Krismas dan anak-anak Melayu

Boleh dikatakan semua anak-anak Melayu yang cukup umur persekolahan di seluruh Britain masuk ke sekolah-sekolah kerajaan. Sudah tentu silibus atau sistem pengajian mereka ada banyak berbeza dari sistem pendidikan di tanahair. Agama Islam bukan agama rasmi di sini, malah kerajaannya menjalankan gaya pemikiran bebas di dalam mengatur apa sahaja sistem pentadbiran kerajaan dan perjalanan politik tanpa terikat dengan mana-mana aturan agama. Meskipun begitu, kebebasan beragama diamalkan  dengan cukup baik di negara ini.

Sudah menjadi adat masyarakat di sini meraikan perayaan hari natal (krismas) samaada yang masih berpegang dengan agama kristian atau tidak. Oleh itu mereka menyambut perayaan tersebut dengan penuh meriah termasuk di peringkat sekolah di mana murid-murid dikehendaki membuat persembahan yang pelbagai seperti nyanyian dan lakonan.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah, anak-anak orang Islam khususnya anak-anak Melayu di UK ini terlibat dengan persembahan yang secara jelasnya bertentangan dengan ajaran Islam seperti berlakon sebagai Jesus versi kristian dan holy Mary serta watak-watak yang lain di dalam slot persembahan. Begitu juga nyanyian lagu berbentuk koir yang memuji atau memuja Jesus sebagai anak tuhan, penyelamat dunia dan banyak lagi unsur-unsur secara sahnya bukan berprinsipkan Islam malah ditentang oleh agama suci ini.

Jangan gadaikan prinsip aqidah

Aqidah merupakan satu tunjang yang menentukan seseorang itu benar-benar muslim atau mukmin yang sebenar. Tanpa aqidah, seluruh amalan lainnya tiada nilai di sisi Allah s.w.t seperti para rahib Budha yang tinggi  amalan ritual mereka dan jauh dari segala perbuatan keji. Namun itu tidak dipandang oleh Allah s.w.t kerana aqidah mereka tidak seperti yang diinginkan oleh Allah s.w.t.

Oleh itu amatlah tidak wajar membiarkan anak-anak kita bergelumang dengan prinsip yang bertentangan dengan prinsip Islam. Sememangnya anak-anak yang tidak tahu apa-apa, dengan sebab kelalaian kita sebagai ibu bapa dan sikap ambil mudah menyebabkan anak-anak kita secara tidak langsung terdidik dengan konsep ajaran agama kristian.

Kita mengakui bahawa kita adalah umat Islam bertuhan Allah yang esa, bernabikan Muhammad s.a.w,  berprinsipkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang banyak menyatakan bahawa Allah adalah tuhan yang satu, tidak dilahirkan dan tidak pernah melahirkan, Isa adalah pesuruh Allah bukan tuhan dan anak tuhan. Akan tetapi dalam satu masa kita membiarkan anak-anak kita melakonkan watak Jesus sebagai anak tuhan yang memiliki sifat ketuhanan dan begitu juga dengan watak-watak yang lain. Tidak cukup itu ditambah pula dengan nyanyian yang memuja manusia setanding dengan memuji Allah s.w.t.

Watak lain tidak mengapa dan setakat nyanyi sedikit pun tidak mengapa

Ada di kalangan masyarakat Islam Melayu berpendapat bahawa tidak mengapa anak-anak kita turut menjayakan persembahan lakonan dengan tidak memegang watak Jesus atau Holy Mary. Begitu juga ada yang berpendapat bahawa sekadar nyanyi korus yang mana anak-anak mereka tidak berperanan sebagai ketua koir. Ini adalah alasan yang cuba dibangkitkan untuk menyedapkan hati dirinya sebagai ibubapa atau penjaga sebagai jalan untuk menghalalkan cara.

Apa yang boleh saya katakan sebagai satu perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan alasan di atas iaitu dua orang lelaki bekerja di kelab malam yang menyediakan minuman keras. salah seorang dari keduanya terlibat dengan tugas sebagai pelayan yang menyajikan minuman beralkohol kepada pelanggan dan seorang lain tidak sebegitu tugas, apa yang ia lakukan hanyalah mengelap meja dan mencuci lantai di kelab tersebut. Jadi, adakah si pencuci meja dan lantai kelab malam tidak berdosa seperti pelayan yang membawa arak kepada pelanggan? sudah tentu kedua-dua berdosa kerana bersubahat agar tergalaknya perbuatan maksiat

Begitu juga orang yang tidak memegang watak Jesus juga turut bersalah disisi agama kerana berkompromi memberi persembahan yang menceritakan kisah yang sama sekali ditentang oleh Islam. Tidak terlepas juga yang hanya menyanyikan korus kerana nyanyian itu sendiri mengandungi unsur aqidah agama Kristian walaupun pada batas korus. Di sini yang bertanggungjawab adalah ibubapa bukannya anak-anak kerana mereka tidak tahu apa-apa.

Alah…setakat berlakon dan nyanyi sahaja bukan buat betul-betul

Alasan sebegini cukup terkenal sebagai salah satu dari habibat orang Melayu. Selalunya alasan sebegini digunakan untuk mereka yang mempertahankan diri mereka yang membiarkan anak-anak mereka keluar berdua-duan dengan pasangan, kekasih, tunang, kawan dan sesiapa sahaja yang bukan ketogari mahram dan suami atau isteri. Tetapi kali ini digunakan untuk membiarkan anak mereka berbuat persembahan krismas yang dimaksudkan itu.

Kita seringkali tidak membenarkan anak-anak kita melihat aksi atau adegan seks ringan  di TV seperti bercumbuan dan berpelukan, apatah lagi seks berat. Kenapa mesti larang, mereka bukannya buat hanya menonton sahaja. Kalau alasan di atas ingin digunakan untuk menghalalkan anak kita membuat persembahan krismas maka  halalkan juga anak kita menyaksikan aksi rambang di TV, barulah adil namanya.

Eh mana boleh…adegan seks lain, nanti bila mereka tengok mereka akan terpengaruh dan bakal melakukannya di kemudian hari. Kalau begitu, lakonan cerita mengarut hasil adaptasi dari agama kristian dan nyanyian lagu berbentuk lirik sesat dan menyesatkan tidak akan mempengaruhi si anak? jawapannya ialah 2 x 5 dan 5 x 2.

Apa boleh buat, dah terpaksa dan darurat

Saya sering mengingatkan masyarakat dalam sesi ceramah saya samaada di tanahair dan di sini, agar mereka tidak salah dan ambil mudah dalam mendefinisikan maksud darurat itu. Jikalau tidak tahu tidak mengapa, boleh belajar dan rujuk kepada ahlinya. Fakta agama bukan boleh ditemui melalui kajian di makmal sains atau mesin mahupun dari meja lakaran jurubina dan juru ukur. Fakta agama hanyalah diambil dari al-Quran dan Sunnah serta melalui penjelasan dan kupasan dari para ulama yang mampu memahami makna tersurat dan tersirat di dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi s.a.w.

Jikalau hendak berbicara tentang darurat cukuplah panjang sebenarnya. Namun boleh diringkaskan seringkas-ringkasnya agar mudah difahami oleh kita semua. Untuk maksud yang mudah difahami bahawa darurat itu ialah jika sesuatu perkara itu tidak dilaksanakan akan menyebabkan kita mati dan susah yang teramat.

Kalau setakat susah sedikit atau buat-buat susah sedangkan ia tidaklah susah, ini semua tidak termasuk dalam konteks darurat menurut Islam. Sebagai contoh mati iaitu terpaksa makan babi jikalau tidak jiwa melayang. Satu contoh lagi, pelajar wanita Islam di Perancis difatwakan oleh para ulama agar boleh menanggal tudung mereka tatkala masuk ke sekolah di negara tersebut kerana tudung tidak dibenarkan di sekolah-sekolah di negara tersebut. Apabila keluar dari perkarangan sekolah maka wajib memakai kembali tudung atau hijab. Jikalau mereka enggan membuka tudung di dalam sekolah maka mereka tidak dibenarkan bersekolah. Ini menjejaskan masa depan mereka yang pasti ia satu situasi yang amat menyukarkan kehidupan mereka nanti.

Kita yakin jika kita tidak membenarkan anak-anak kita menyertai persembahan perayaan krismas di sini, ia tidak akan menyebabkan anak kita akan dibuang sekolah atau tidak dibenarkan menjalani proses pendidikan di negara ini. Adakah sebelum ini kita mencari jalan lain untuk mengelakkan anak kita dari terlibat dengan aktiviti terlarang sebegini?

Apakah jalan penyelesaiannya?

Negara ini adalah negara demokrasi, hak-hak asasi manusia terjaga termasuk hak beragama walaupun ia bukan tergolong dari negara-negara Islam. Lihat betapa ramai umat Islam menduduki negara ini bebas bekerja mencari rezeki dan menuntut ilmu tanpa terhalang melaksanakan tuntutan Islam. Betapa ramai para profesional dari kalangan wanita bertudung ketika menjalankan tugas mereka. Tidak terhalang untuk mereka melaksanakan kewajipan ibadat ritual seperti solat 5 waktu. Juga banyak terpapar di ruangan akhbar di sini menyiarkan berita yang mana ramai umat Islam menang di tribunal buruh kerana menuntut hak beragama dari majikannya.

Cadangan saya, dengan wujudnya sikap toleransi untuk beragama dari masyarakat bukan Islam di sini, maka kita berpeluang untuk berbincang agar anak-anak kita di masa hadapan tidak terlibat dengan persembahan yang dimaksudkan. Saya yakin bahawa jalan penyelesaian akan mudah diperolehi melalui perbincangan dengan guru besar atau pihak pentadbir sekolah-sekolah di UK. Cara ini sememang berkesan dan terbukti berjaya yang ianya pernah dilakukan oleh sahabat saya di Durham (Ustaz Maszlee Malik). Ternyata sehingga ke hari ini, anak-anak Islam di Durham sentiasa dan selesa meneruskan kehidupan mereka di alam pendidikan tanpa sedikit pun berkurangan dan terjejas walaupun tidak berkecimpung dengan persembahan krismas.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah, Cheetham Hill Manchester.

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Luahan Hati, Pendapat. Bookmark the permalink.

4 Responses to MERRY CHRISTMAS????

  1. sara says:

    lihat sekeliling mu.apa yang engkau lihat..Kasih?..Belas Kasihan?
    apa yang ada cuma..kesedihan..
    kerana mata hati telah dibutakan oleh pegangan moyang turun temurun
    jangan sekadar mempertahankan agamamu..bukankah Dia yang berkuasa layak dipuja?disembah..?
    Dia bukan manusia. namun Tuhan atas segala tuhan yang ada..aku mempertahankan kepercayaanku pada Dia yang berkuasa memegang hidupku..dan aku mencabar engkau supaya engkau mengenal kebenaran yang hidup..
    kucabar engkau bertanya dalam doamu kepada Dia Allah yang Satu itu dengan bertanya ‘tunjukanlah kasihMu padaku bahawa engkau Allah yang hidup dan layak disembah agar aku tahu siapa Allah yg hidup dan bukan allah-allah yang ada di dunia’

  2. sara says:

    kerna aku percaya engkau pasti mendapat lawatan Tuhan jika engkau benar-benar ingin tahu siapa Allah yang layak disembah..

  3. sara says:

    God bless u

  4. Pingback: Persembahan Krismas Antara Islam Ekstrem dan Islam Moderat « Melayu Sejati, Islam di Hati

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s