Persembahan Krismas Antara Ekstrem dan Moderat

Baru minggu yang lalu umat Islam sedunia meraikan perayaan Ediuladha yang mulia. Satu perayaan agama Islam yang mengajak umatnya untuk menyelusuri sirah Nabi Allah Ibrahim dan Ismail a.s. Sirah yang menjemput umat Islam menjengok dan mengambil iktibar pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh kedua-dua kekasih Allah tersebut.

Pada minggu lepas juga saya diuji dengan ujian sayu dan sedih yang memamah hati saya seorang bapa. Manakan tidak, beberapa kali saya menjemput pulang anak saya dari sekolah, anak saya bersedih dan menangis kerana hanya dia sahaja(menurut kata gurunya) yang tidak menyertai lakonan dan persembahan krismas di sekolahnya. Bapa manakah yang boleh anaknya kelihatan sedih dan sugul, pastinya fitrah seorang bapa ingin melihat anaknya sentiasa di dalam keadaan gembira. Bayangkan betapa sedihnya anak saya kerana dia merasakan dirinya tersisih dari rakan-rakannya di mana hanya dia yang duduk terpinggir melihat rakan-rakannya yang lain(termasuk anak-anak muslim yg lain) sedang berlatih membuat persembahan krismas.

Bukan suka-suka untuk saya tidak membenarkan anak saya tidak menyertai persembahan tersebut dan saya bukanlah seorang yang tegas yang tidak bertempat sehingga tidak membenarkan anak saya menyertai lakonan, nyanyian, tarian dan seumpamanya. Tetapi apa yang menghalang saya untuk membenarkan itu adalah isi kandungan persembahan itu yang menjadikan saya benar-benar tegas agar tetap tidak diizinkan.

Semenjak perkara ini berlaku, saya benar-benar sedar betapa luruh dan sedihnya hati Nabi Ibrahim a.s apabila menerima perintah dari Allah s.w.t supaya baginda menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. Namun memandangkan ini adalah perintah Allah s.w.t, baginda melupakan perasaan kebapaan baginda demi cintanya terhadap Allah s.w.t yang melebihi segala-galanya.

Bukan tujuan saya untuk menyamakan tindakan saya dengan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, malah terlalu jauh untuk dibanding bagaikan antara langit ke tujuh dan muka bumi Allah s.w.t, tetapi apa yang membuat saya sedar bahawa betapa peritnya untuk seorang bapa mengorbankan kegembiraan anaknya. Ikutkan hati dan bisikan Syaitan, mahu sahaja mengizinkan anak saya menyertai persembahan yang penuh dengan unsur syirik, khurafat dan bertentangan dengan ajaran suci Islam. Namun begitu, urusan akidah tiada kompromi, biar sedih sekalipun, biar merayu dan melutut mana sekalipun hak Allah dan RasulNya lebih perlu ditunaikan.

Antara Ekstrem atau Moderat

Ada berita sampai ke telinga saya dari seorang rakan yang menetap di suatu tempat UK ini yang menyatakan, ada segelintir orang Melayu Islam mempertikaikan tindakan kalangan ibubapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka terlibat dengan persembahan krismas di sekolah. Katanya sikap ini timbul kerana timbul persoalan dari beberapa individu bukan Islam yang berasa agak pelik kerana tiada keselarasan dalam tindakan iaitu sebahagian ibubapa melarang anak mereka dan sebahagian lagi tidak.

Untuk menjawab persoalan dari rakannya yang bukan beragama Islam itu, maka dia melibatkan perkara ini dengan istilah Islam ekstrem. Menurut dakwaannya bahawa mereka yang melarang anak-anak mereka merupakan golongan yang agak ekstrem dengan fahaman Islam mereka. Jika berita ini benar, maka betapa baculnya mulut individu yang tidak bertanggungjawab terhadap agamanya. Sudahlah membiarkan anak mereka terlibat dengan persembahan, ditambah dengan menuduh saudara-saudara seagamanya ekstrem akibat bertindak untuk menyelamatkan akidah anak-anak mereka. Alangkah hinanya golongan ini, mengaku Islam tetapi hakikat perilakunya tidak mencermin dia adalah golongan mukmin yang sejati. Hinanya golongan ini kerana mengaku merekalah berfahaman Islam moderat, sederhana, tidak melampau, tidak ekstrem, kononnya merekalah berpegang kepada Islam yang sebenar sedangkan ia jauh sama sekali.

Jikalau kita berbalik kepada isu persembahan krismas antara keizinan atau tidak, siapakah sebenarnya golongan yang patut dilabelkan sebagai ekstrimis? adakah dengan membenarkan anak-anak kita berlakon drama Jesus sebagai tuhan yang dilahirkan oleh tuhan bapa adalah Islam moderat? atau menyanyikan lagu yang memuja Jesus sebagai tuhan yang dilahirkan atau lagu yang berkisar kisah yang berkaitan dengan akidah kristian itu merupakan fahaman Islam moderat? Di manakah moderat yang digembar gemburkan di sini?

Tidakkah pernah golongan pengecut ini menghayati surah al-Kaafirun yang sering mereka baca dan ulangi semenjak kecil lagi dan saya yakin serba sedikit mereka memahami maksud ayat ini secara umum, maksud firman Allah di dalam surah al-Kafirun:
“Katakan(Muhammad s.a.w) Wahai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Bagimu agamamu dan bagiku agamaku”.

Menurut riwayat Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir at-Tobari, ayat ini diturunkan ketika mana kaum kafir Quraish mengajak berkompromi agama dengan kaum muslimin, di mana kaum Quraish meminta agar mereka menyembah Allah selama setahun manakala Muhammad s.a.w dan para mukminin menyembah patung berhala mereka selama setahun. Lalu Allah s.w.t terus menurunkan surah ini sebagai jawapan kepada kafir Quraish. Jelas surah di atas menjelaskan tiada kompromi di dalam urusan agama dan akidah, apa sahaja usaha yang bertentangan dengan agama Allah dan akidah Islam maka ia tertolak dan dibuang jauh-jauh. Adakah berkompromi dengan amalan dan kepercayaan kristian merupakan fahaman yang moderat?

Siapa yang ekstrem sekarang? jawapannya adalah golongan yang membenarkan anak-anak mereka terlibat dengan persembahan krismas itu sendiri yang bersikap ekstrem. Tindakan mereka seakan-akan menyerupai hasrat dan ajakan kafir Quraish di zaman kedatangan Islam dengan berkompromi dengan ajaran agama kristian. Malah tindakan mereka ini berkemungkinan akan mengundang persepsi masyarakat bukan Islam bahawa larangan keterlibatan dengan persembahan tersebut merupakan bukan ajaran Islam yang sebenar malah merupakan fahaman ekstremis.

Larangan menyerupai kuffar

Islam menyuruh umatnya menghormati agama lain dan penganutnya. Amalan ini tercatat di dalam hadith sebagai bukti ia sebagai satu saranan bahawa kita sebagai seorang Muslim perlu ada sikap toleransi dengan agama-agama lain dalam ertikata lain menghormati dan memberi hak beragama kepada manusia sejagat. Imam Bukhari merekodkan di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan bahawa ketika (serombongan orang membawa) jenazah melintas di depan Rasulullah, maka baginda berdiri. Para Sahabat bertanya, “Sesungguhnya ia adalah jenazah orang Yahudi wahai Nabi?” Beliau menjawab, “Bukankah dia juga jiwa (manusia)?”. Hadith sahih ini sebagai bukti bahawa baginda s.a.w mengajar umatnya agar menghormati agama lain.

Namun dalam sikap bertoleransi di dalam agama ada batas-batas yang perlu dijaga oleh setiap muslim tanpa melampauinya. Toleransi adalah perlu tetapi yang ditegah adalah kompromi dengan agama lain, sepertimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-An’am ayat 153 yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan itu, Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”

Islam juga melarang penganutnya menyerupai agama lain terutama perkara yang melibatkan amalan dan akidah. Larangan ini jelas termaktub di dalam sepotong hadith Rasulullah s.a.w yang bersabda maksudnya:
“Sesiapa meniru sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian dari mereka” (Hadith riwayat Abu Daud dari Ibnu Umar r.a, Ibnu Hibban dan al-Haithami di dalam Majmak al-Zawaid. Hadith ini dinilai sahih oleh Sheikh al-Albani di dalam Ghayah al-Maram).

Dalam lafaz tambahan lain, bahawa Ibnu Mas’ud r.a diajak oleh seorang pemuda ke dalam satu majlis, lalu beliau mendengar suara-suara merintih, meratap (dalam kadar melampau) sambil berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa menuruti peratapan satu kaum, dia termasuk dalam golongan mereka”, ditambah lafaz yang lain “Sesiapa redha dengan perbuatan suatu kaum, maka dia bersubahat dengan mereka yang melakukannya”(Rujuk: Kasyf al-Khafa’ oleh al-Sakhawi)

Ringkasnya, meniru atau mencontohi sesuatu kaum dari segi penampilan, perilaku, bahkan beriktikad dalam perayaan mereka dan budaya mereka. Maka jelaslah bahawa membiarkan anak-anak menyertai persembahan krismas ini merupakan satu perbuatan kompromi dan meniru ajaran dan kepercayaan agama Kristian. Tepuk dada, tanya iman sejauhmanakah ketakwaan kita.

Ramai yang suka keluarkan hukum sendiri

Penyakit yang semakin menular di dalam masyarakat Islam di seluruh dunia. Ramai yang beraksi lagak bagai sang mufti, alim ulama, mujtahid, faqih dan seumpamanya, sedangkan ilmu pengetahuan mereka tentang agama amatlah cetek. Kaedah ilmu untuk mengeluarkan hukum agama seperti ilmu Usul Feqh, Tafsir, Hadith dan seumpamanya jauh sekali untuk dikuasai, belum lagi ditanya tentang penguasaan ilmu bahasa Arab dan kesusasteraannya yang merupakan kunci untuk menjadi ulama.

Terus terang saya katakan, bukan saya ingin mendabik dada dan memukul canang bahawa saya pernah mempelajari ilmu-ilmu tersebut. Tetapi ia merujuk kepada proses pengeluaran hukum bukan satu yang mudah, ia bukan mengikut andaian individu yang tidak berpandukan tautan ilmu wahyu Allah dan RasulNya. Ia juga bukan hanya dikeluarkan menurut keserasian logik akal seseorang yang disangkakan ia adalah terbaik. Proses istinbat hukum merupakan proses yang melalui displin-displin tertentu yang mana displin-displin ilmu tersebut bukan didapati secara mudah dan cepat, malah ia digarab dalam jangkamasa yang panjang dan memerlukan ketekunan dan kesabaran.

Menyebut tentang penyakit ini ia mengingatkan saya sebuah hadith yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya sebelum kiamat, wujudnya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu orang yang benar didustakan, Orang yang dusta dianggap benar, orang yang amanah dianggap khianat, orang yang khianat dianggap amanah, dan ketika itu al-Ruwaibidoh bangkit berbicara. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang yang lekeh berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Hadith riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah, al-Bazzar, disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Zahabi tentang kesahihannya).

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di dalam webnya(drmaza.com) menjelaskan hadith ini, menurutnya, “Isi kandungan hadith ini adalah amaran Nabi s.a.w. kepada kita semua, bahawa akan muncul sebelum kiamat golongan manusia yang lekeh dan tidak berkelayakan tetapi bercakap dalam urusan umat yang membabit kepentingan umum dan ramai. Natijahnya, tentulah terjadinya porak peranda pemikiran manusia, gawatlah kefahaman mereka dan hancur binaan ilmu yang sebenar. Apa tidaknya, apabila yang lekeh menjadi pemimpin lalu bercakap dalam urusan umat, yang jahil berlagak `alim, yang menghafal sepatah dua ayat berlagak ulamak. Yang bukan ulama mengakui ulamak, yang hanya ada sepatah dua ilmu agama ditabalkan menjadi ulamak.”

Dalam kes ini, golongan al-Ruwaibidoh sememangnya wujud di dalam masyarakat kita. Mereka ini memandai-mandai mengeluarkan hukum sendiri bukan berdasar kaedah yang betul dan tepat, malah ia akibat dorongan untuk mencari jalan menghalalkan perbuatan menyertai persembahan itu. Bermacam-macam alasan dikemukakan untuk menghalalkan dan membolehkan kebersamaan anak-anak mereka dengan persembahan itu, maka muncul fatwa-fatwa lekeh yang menyatakan “alah, setakat pegang watak bukan Jesus tak pe, pegang watak lain boleh”, “tak de masalah setakat ikut nyanyi, time korus nanti senyap lah jgn ikut sekali”, “nanti cakap kat anak-anak kita, bila tiba lirik yang tak bagus tu jgn sebut dan nyanyi, lirik yg lain tak pe” dan macam-macam lagi fatwa sonsang dari insan-insan lekeh untuk menghalalkan cara demi mencapai matlamat mereka itu. Fatwa-fatwa sebegini telah lama saya rungkaikan jawab balasnya dalam artikel saya sebelum ini(https://aburuqayya.wordpress.com/2008/12/26/merry-christmas/).

Persoalannya sekarang, apakah sebenarnya matlamat mereka sehingga membenarkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan sebegitu? adakah hanya sekadar untuk melihat anak gembira dan tidak mahu membiarkan mereka sedih? adakah itu sahaja alasannya? Walauapa pun alasan, jawapannya tiada kompromi di dalam agama. Tepuk dada, tanyalah iman anda.

Antara pembuka jalan makruf dan munkar

Sedar atau tidak, sebenarnya budaya ambil mudah tentang aktiviti anak-anak kita di sekolah meninggal kesan yang negatif pada diri kita, anak-anak dan generasi-generasi yang bakal menduduki bumi UK selepas kita. Perbuatan kita membiarkan anak-anak kita terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam bakal menjadi ikutan generasi akan datang. Bahkan tindakan kita ini menjadi hujah untuk orang lain bertindak dengan membawa alasan “orang-orang dulu sebelum kita buat boleh”, secara tidak langsung ia menjadi ikutan orang lain.

Perkara seperti ini pernah diingatkan oleh baginda Rasullullah s.a.w agar kita tidak terjebak dengan risiko dan bahayanya perbuatan ini, maksud sabda baginda s.a.w:
“Sesiapa yang memulai amalan yang baik, maka ia memperoleh pahala(atas amalan itu) dan juga pahala orang yang mengerjakannya sepeninggalannya tanpa dikurangi sedikitpun dari pahala-pahala mereka yang mencontohinya itu. Dan barangsiapa yang memulai amalan dalam Islam berupa amalan yang buruk, maka ia memperoleh dosanya dan juga dosa orang yang mengerjakannya sepeninggalannya tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu.” (Hadith riwayat Muslim)

Oleh itu, jangan jadikan kelalaian kita terhadap tanggungjawab beragama menjadikan kita seorang yang memikul dosa akibat kita menjadi contoh, perintis atau pembuka jalan kemunkaran. Yang lebih malang, selagi mana ia dicontohi oleh orang selepas kita selagi itulah kita memikul dosa yang tidak sepatutnya berlaku jika kita tidak lalai terhadap kewajipan kita sebagai hamba Allah s.w.t dan umat RasulNya.

Wallahu A’lam…

Abu Ruqayyah, 12 Daimler street, M8 0PG Manchester
16 Zulhijjah 1430 bersamaan 3/12/2009, 3.47pm.

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Idea, Luahan Hati. Bookmark the permalink.

2 Responses to Persembahan Krismas Antara Ekstrem dan Moderat

  1. Non says:

    I’ve been searching for the source of hadith as the circular of many emails / fb status and I’m so curious about the originality of the quotes. I’d like to share this post, tq.

  2. Non says:

    I meant, the source of hadith for quotes on doa awal & akhir tahun since today is 1st muharram 1433. Tersilap komen kat post lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s