Allah menghalang golongan kuffar dari menerima iman dan Islam?

1)

Kontradiksi antara fakta-fakta di dalam al-Quran adalah salah satu isu yang menjadi kegemaran para orentalis untuk dimainkan dan diketengahkan bagi melemahkan iman dan keyakinan umat Islam terhadap agama mereka sendiri. Mungkin antara kita perasan ketika membaca atau mendengar beberapa ayat al-Quran samaada dalam bentuk asli(bahasa Arab) atau versi terjemahan mengenai  halangan dari Allah s.w.t  terhadap golongan kuffar dari terus  menerima hidayahNya.

Persoalan tertimbul di sini yang mana terdapat kontra dari sudut fakta yang terkandung di dalam al-Quran, iaitu Allah s.w.t memerintah agar umat manusia beriman kepadaNya  dan meninggalkan kepercayaan yang menyekutukanNya sekaligus menjadikan Islam sebagai satu-satunya agama yang dianuti. Sepertimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 21:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa”.

Firman Allah lagi di dalam surah al-Mu’minun, ayat 52:

وَإِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱتَّقُونِ

“Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertakwalah kamu kepadaKu”.

Sepertimana Allah s.w.t memerintah umat manusia agar beriman denganNya dan menganuti agama Islam, Allah juga menjanjikan ganjaran dan nikmat yang tinggi bagi mereka yang beriman kepadaNya dan beramal soleh, firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 112.

وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۖ ڪُلَّمَا رُزِقُواْ مِنۡہَا مِن ثَمَرَةٍ۬ رِّزۡقً۬ا‌ۙ قَالُواْ هَـٰذَا ٱلَّذِى رُزِقۡنَا مِن قَبۡلُ‌ۖ وَأُتُواْ بِهِۦ مُتَشَـٰبِهً۬ا‌ۖ وَلَهُمۡ فِيهَآ أَزۡوَٲجٌ۬ مُّطَهَّرَةٌ۬‌ۖ وَهُمۡ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan Syurga itu, mereka berkata: Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya”.

Di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 120 bahawa Allah s.w.t menegaskan tiada petunjuk dari agama selain dari agama yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡ‌ۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰ‌ۗ وَلَٮِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ‌ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ۬ وَلَا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu”.

2)

Namun begitu, terdapat beberapa ayat-ayat suci al-Quran yang seolah-olah menyatakan bahawa Allah s.w.t menghalang manusia dari beriman kepadaNya seterusnya menerima Islam sebagai agama sedangkan terdapat perintah Allah supaya umat manusia beriman kepadaNya dan menganuti agama Islam, sebagai contoh sepertimana yang tertera di dalam surah al-Baqarah, ayat 7:

خَتَمَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ وَعَلَىٰ سَمۡعِهِمۡ‌ۖ وَعَلَىٰٓ أَبۡصَـٰرِهِمۡ غِشَـٰوَةٌ۬‌ۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٌ۬

“Allah materaikan atas hati mereka serta pendengaran mereka dan pada penglihatan mereka ada penutupnya dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar”.

Firman Allah lagi di dalam surah al-Israk ayat 46:

وَجَعَلۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِہِمۡ أَكِنَّةً أَن يَفۡقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِہِمۡ وَقۡرً۬ا‌ۚ وَإِذَا ذَكَرۡتَ رَبَّكَ فِى ٱلۡقُرۡءَانِ وَحۡدَهُ ۥ وَلَّوۡاْ عَلَىٰٓ أَدۡبَـٰرِهِمۡ نُفُورً۬ا

Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar kebenaran Al-Quran dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri”.

3)

Jika diperhatikan di atas, mungkin dirasakan satu pertentangan fakta di dalam al-Quran. Tetapi ia hanyalah mainan para orentalis yang cuba menyanggah ketulenan al-Quran yang datang dari Allah s.w.t. As-Sheikh as-Syanqiti di dalam Adwa’ al-Bayan fi Idoh al-Quran bi al-Quran menyebut:

“Sebab wujudnya halangan di antara hati-hati(golongan kuffar) dengannya(perkara yang hak) adalah disebabkan dengan kekufuran mereka, maka Allah s.w.t memberi mereka balasan dengan mengkaburi penglihatan mereka, memesongkan dan menutup hati-hati mereka daripada sampai kepada kebaikan”.(sumber rujukan: http://www.almeshkat.net/)

Kenyataan Sheikh as-Syanqiti di atas meleraikan permasalahan dan persoalan di atas yang mana terdapat banyak ayat-ayat suci al-Quran yang memerintah agar manusia beriman dan menyembah Allah s.w.t, manakala dalam masa yang sama terdapat pula ayat-ayat yang menjelaskan bahawa Allah menghalang sebahagian manusia dari meneriman iman dan Islam. Kenyataan beliau ini dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran itu sendiri yang jelas menyatakan mengapa Allah menghalang kaum kuffar dari beriman kepadaNya, seperti yang dinyatakan di dalam surah an-Nisa’ ayat 155:

فَبِمَا نَقۡضِہِم مِّيثَـٰقَهُمۡ وَكُفۡرِهِم بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَقَتۡلِهِمُ ٱلۡأَنۢبِيَآءَ بِغَيۡرِ حَقٍّ۬ وَقَوۡلِهِمۡ قُلُوبُنَا غُلۡفُۢ‌ۚ بَلۡ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَيۡہَا بِكُفۡرِهِمۡ فَلَا يُؤۡمِنُونَ إِلَّا قَلِيلاً۬

Maka (Kami laknatkan mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar dan mereka juga mengatakan: Hati kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad). (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya)”.

Ayat suci di atas menjelaskan bahawa Allah menutup hati mereka dari menerima Islam adalah sikap mereka sendiri yang memilih kekufuran sedangkan kebenaran dan keterangan telah datang kepada mereka.

Firman Allah di dalam surah al-Saf ayat 5:

فَلَمَّا زَاغُوٓاْ أَزَاغَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُمۡ‌ۚ وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ

“Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayat petunjuk) dan sememangnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang fasik (derhaka)”.

Jelas ayat suci di atas menerangkan bahawa Allah s.w.t menutup pintu hidayat dari golongan yang telah sediakala fasiq terhadap agama Allah s.w.t.

Firman Allah lagi di dalam surah al-Munafiqun ayat 3:

ذَٲلِكَ بِأَنَّہُمۡ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِہِمۡ فَهُمۡ لَا يَفۡقَهُونَ

“(Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah)”.

Ayat suci di atas menjelaskan bahawa sikap nifaq(berpura-pura Islam) golongan munafiqin menyebabkan Allah s.w.t menutup pintu hati mereka dari menerima kebenaran akibat keengganan mereka menerima Islam dan menjadi duri di dalam daging terhadap kaum muslimin.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 10 Allah menyebut bahawa kaum munafiqin ini mendustakan agama Allah s.w.t sedangkan terdapat bukti kebenaran yang nyata, maka Allah menambahkan lagi penyakit syak dan hasad dengki mereka terhadap agama suci Islam.

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ۬ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)”.

Sesungguhnya Allah s.w.t menghalang kaum kuffar dari beriman kepada Allah s.w.t sepertimana mereka sendiri memalingkan hati dan pemandangan mereka dari hidayah Allah s.w.t. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam al-An’am ayat 110:

وَنُقَلِّبُ أَفۡـِٔدَتَہُمۡ وَأَبۡصَـٰرَهُمۡ كَمَا لَمۡ يُؤۡمِنُواْ بِهِۦۤ أَوَّلَ مَرَّةٍ۬ وَنَذَرُهُمۡ فِى طُغۡيَـٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ

“Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung” .

4)

Jelas dan nyata di sini bahawa hakikatnya tiada pertentangan fakta di antara ayat-ayat suci al-Quran. Ternyata bahawa apa sahaja tindakan Allah ada sebab dan musababnya kerana Allah s.w.t maha adil di dalam menetapkan sesuatu ketetapan ke atas hamba-hambanya. Dalam konteks ini, tindakan Allah menutup hati-hati golongan kuffar dari beriman kepadaNya dan menerima Islam sebagai agama adalah tidak lain dan tidak bukan kerana tindakan mereka sendiri yang menolak hidayah Allah malah memilih jalan kekufuran. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Mutaffifin ayat 4:

كَلَّا‌ۖ بَلۡۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِہِم مَّا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan” .

Wallahu a’lam…

Abu Ruqayyah, 7 Febuari 2010 / 22 Safar 1431

Manchester United Kingdom.



About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Membela Islam, Tafsir al-Quran. Bookmark the permalink.

One Response to Allah menghalang golongan kuffar dari menerima iman dan Islam?

  1. Mahadhir says:

    Assalamualaikum Syed.. Aku Mahadhir Beranang ni.. bila nak balik Malaysia?..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s