TELEFON BIMBIT BERBUNYI KETIKA SOLAT, PERLU DIMATIKAN ATAU DIBIARKAN? JIKA BERTINDAK TAKUT TERBATAL SOLAT. JADI, APA KATA MAZHAB SYAFI’IE?

Secara ringkasnya, menurut mazhab Imam Syafi’ie pergerakkan yang membatalkan solat adalah seperti yang dinyatakan di dalam kitab ‘al-Fiqh al-Manhaji’ (Kitab fiqh Syafi’ie yang dikarang oleh ulama-ulama dari Syria):

والمقصود به الفعل المخالف لأفعال الصلاة، بشرط أن يكثر ويتوالى، لأنه يتنافى مع نظام الصلاة، وضابط الكثرة ثلاث حركات فصاعداً، وضابط الموالاة أن تعدَّ الأعمال متتابعة بالعرف، فإن الصلاة تبطل .- الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي, الجزء الأول, مبطلات الصلاة

Maksudnya: Yang dimaksudkan (pergerakkan yang banyak) iaitu perbuatan yang berlainan dari perbuatan-perbuatan solat dengan syarat pergerakkan itu banyak dan berturut-turut kerana ia bercanggah dengan tatacara solat. Piawaian pergerakkan yang banyak ialah tiga pergerakkan yang berturut-turut, manakala piawaian perturutan ialah perbuatan yang dikira berlaku berturut-turut mengikut adat atau kebiasaan (masyarakat), maka solat terbatal. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji)

Apa yang disebut oleh ulama-ulama Syafi’iyyah di atas adalah kaedah asas di dalam mazhab sebagai laras ukuran untuk menentukan pergerakkan apa yang membatalkan solat. Namun masih ramai yang masih keliru dengan maksud sebenar mengenai konsep di atas. Sebenarnya mazhab Syafi’ie tidak lah rigid di dalam perbahasan ini sepertimana yang disangkan oleh sebahagian pihak sehingga mendakwa pendirian mazhab Syafi’ie tidak bertepatan dengan sunnah dalam isu ini, malah para ulama mazhab Syafi’ie meletakkan pelbagai perbincangan yang terperinci mengenai perkara pembatalan solat melalui pergerakan dan perbuatan.

Di sini saya bawakan fakta yang terkandung di dalam salah sebuah kitab rujukan atau teks yang utama di dalama mazhab Syafi’ie yang diberi nama “Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj” yang dikarang oleh al-Imam Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini (Meninggal 977h). Bagi saya kitab ini telah membincangkan isu pergerakan atau perbuatan yang membatalkan solat dengan menarik, jelas dan agak terperinci, antaranya:

وإن لم يكن المفعول من جنس أفعالها كالمشي والضرب (فتبطل بكثيره) ولو سهوا لأن الحاجة لا تدعو إليه. أما إذا دعت الحاجة إليه كصلاة شدة الخوف أو المتنفل على الراحلة إذا احتاج إلى تحريك يده أو رجله فإنه لا يضر وإن كثر (لا قليله) ولو عمدا. – مغني المحتاج: كتاب الصلاة, باب شروط الصلاة وموانعها

Maksudnya: Jika perbuatan (solat) bukan dari jenis perbuatannya seperti berjalan dan memukul maka solat itu batal dengan perbuatan yang banyak walaupun terlupa kerana ia tidak melibatkan hajat(keperluan). Manakala jika keperluan mendesak seperti solat di dalam ketakutan yang amat atau bersolat sunat di atas tunggangan, jika perlu menggerakkan tangannya atau kaki maka ia tidak memudaratkan(membatalkan solat) walaupun banyak (pergerakan) bukan sedikit, meskipun dengan sengaja. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, al-Syirbini)

Berdasarkan kenyataan di atas, Imam al-Syirbini menjelaskan bahawa seseorang itu boleh menggerakkan anggotanya banyak kali di dalam solat jika dalam keadaan yang berhajat dan mendesak untuk melakukan begitu. Maka dalam situasi ini, solat sebegini tidak terbatal walaupun pergerakan yang banyak. Menurut beliau lagi:

وفارق الفعل القول حيث استوى قليله وكثيره في الإبطال بأن الفعل يتعذر أو يعسر الاحتراز عنه، فعفي عن القدر الذي لا يخل بالصلاة بخلاف القول، وقد ثبت «أنه – صلى الله عليه وسلم – صلى، وهو حامل أمامة بنت بنته، فكان إذا سجد وضعها وإذا قام حملها» رواه الشيخان «وأمر بقتل الأسودين في الصلاة الحية والعقرب وخلع نعليه في صلاته». – مغني المحتاج: كتاب الصلاة, باب شروط الصلاة وموانعها

Maksudnya: Perbezaan antara perbuatan dan percakapan di mana sedikitnya dan banyaknya adalah sama dari sudut pembatalan, ini kerana perbuatan diberi keuzuran atau susah untuk dijaga(dikawal), maka dimaafkan pada kadar yang tidak merosakkan solat, berlainan pula percakapan(ia membatalkan solat walaupun sedikit). Sepertimana yang diriwayatkan, “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersolat dan baginda mendukung Umamah cucu Baginda, apabila Baginda SAW hendak sujud(rukuk) maka Baginda SAW meletak cucu dan apabila Baginda SAW bangkit, baginda mendukungnya.” Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Baginda SAW memerintahkan agar membunuh ‘al-aswadain’ ketika solat, iaitu ular dan kala jengking dan menanggalkan selipar ketika solat. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, al-Syarbini)

Kenyataan di atas secara jelas menunjukkan bahawa di dalam mazhab syafi’ie pergerakan yang tidak merosakan solat iaitu pergerakan yang sedikit tidak membatalkan berdasarkan amalan Nabi SAW seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syarbini. Menurut beliau lagi:

والكثرة) والقلة (بالعرف) في الأصح فما يعده الناس قليلا كخلع الخف ولبس الثوب الخفيف وقتل قملة ودمها عفو فقليل. – مغني المحتاج: كتاب الصلاة, باب شروط الصلاة وموانعها

Maksudnya: Menurut pendapat yang paling tepat, banyak dan sedikit berdasarkan amalan kebiasaan atau adat, maka apa yang dikira sedikit oleh masyarakat seperti menanggalkan khuf, memakai pakaian ringan dan membunuh kutu yang dimaafkan darahnya maka ia dianggap (pergerakan yang) sedikit(tidak membatalkan solat). (Rujuk: Mughni al-Muhtaj)

Imam al-Syirbini menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara ulama-ulama mazhab Syafi’ie dalam menginterpretasikan maksud pergerakan yang banyak atau sedikit dimana terdapat pentafsiran yang lain menurut sebahagian ulama syafi’iyyah yang lain, menurut beliau:

وقيل: القليل ما لا يحتاج فيه إلى كلتا اليدين، والكثير ما يحتاج إلى ذلك كعقد الإزار والتعمم، وقيل: الكثير ما يسع وقته ركعة. – مغني المحتاج: كتاب الصلاة, باب شروط الصلاة وموانعها

Maksudnya: Dikatakan bahawa (pergerakan) sedikit iaitu apa yang tidak memerlukan kedua-dua tangan, manakala pergerakan yang banyak adalah apa yang memerlukan kedua-dua tangan seperti mengikat kain atau serban. Dikatakan juga pergerakan yang banyak ialah tempoh pergerakannya dalam kiraan satu rakaat. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, al-Syirbini)

Dalam kitab fiqh Syafi’ie nusantara juga membicarakan tentang masalah pergerakan di dalam solat yang mana pergerakan yang banyak walaupun lebih dari 3 kali berturut-turut atas dasar keperluan dan tuntutan tidak membatalkan solat, sepertimana yang disebut di dalam kitab Sullam al-Sibyan, karangan al-Faqih Tuan Guru Haji Chik bin Ahmad Al-Qadahi:

“Jika seorang dalam sembahyang tiba-tiba datang perampas ambil hartanya bawa lari dan jikalau sedikit sahaja hartanya itu sekali pun, maka ia hambat pergi rebut ambil balik hartanya dengan berlari-lari dan berpaling daripada kiblat dan lawan bertumbuk, nescaya tiada batal sembahyang itu dengan syarat jangan bercakap-cakap dan jangan terjejak najis kerana dinamakan sembahyang syiddatul khauf”.

Jelas di sini, dalam isu pergerakkan yang membatalkan solat, mazhab Syafi’ie tidak lah seketat yang disangkakan. Apa yang dimaksudkan pergerakkan 3 kali berturut-turut ialah pergerakkan yang tidak diperlukan, tanpa hajat penting dan keperluan mendesak. Jika seseorang yang sedang bersolat lalu berlaku sesuatu yang mendesak beliau untuk bergerak walaupun banyak dan berturut-turut maka solat tidak terbatal menurut mazhab Syafi’ie.

Sebagai contoh telefon bimbit berbunyi ketika solat, maka empunya telefon wajib mematikannya kerana ia boleh mengganggu kekhusyukan seseorang ketika solat apatah lagi mengganggu orang yang lain jika berada di dalam masjid atau surau. Ini kerana perbuatan sebegini jelas tidak membatalkan solat seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syirbini. Lagipun terdapat perbezaan pendapat di antara ulama mazhab Syafi’ie di mana sebahagian pendapat itu dilihat lebih ringan berbanding pendapat yang biasa kita amalkan, malah ia wajar dilihat sebagai pendapat di dalam mazhab yang boleh diguna pakai.

Wallahu A’lam…

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s