KEDUDUKAN IMAM DAN SEORANG MAKMUM

Koleksi soalan:
Saya dimaklumkan oleh rakan saya, jika solat berjemaah yang bermakmumkan seorang lelaki maka kedudukan makmum itu mestilah sejajar dengan imam bukan berundur belakang seperti yang biasa kita lihat di Malaysia ini. Beliau menyatakan posisi undur ke belakang tidak bertepatan dengan sunnah Nabi. Apa pandangan ustaz?

Jawapan:
Dalam permasalahan ini, ulama berselisih pendapat adakah kedudukan seorang makmum perlu sejajar atau berundur belakang. Bagi saya ia merupakan khilaf yang muktabar yang setiap pendapat memiliki hujah tersendiri. Apapun saya lebih berminat untuk mengupas permasalahan ini menurut mazhab Syafi’ie kerana bersesuaian dengan kedudukan amalan masyarakat kita di tanahair.

Menurut mazhab Syafi’ie, jika dalam situasi Jemaah yang melibatkan seorang makmum lelaki maka makmum disunatkan berada di posisi kanan imam, seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syirazi(meninggal 476h) di dalam karangannya ‘al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafi’ie’.

“السنة أن يقف الرجل الواحد عن يمين الامام والخنثى خلفهما والمرأة خلف الخنثى وان حضر رجلان أو رجل وصبي اصطفا خلفه.” التنبية في الفقه الشافعي للإمام الشيرازي(ت 476), كتاب الصلاة, باب موقف الإمام والمأموم.
Maksudnya: Sunnah apabila seorang lelaki berdiri di kanan Imam dan Khunsa di belakang kedua-duanya, manakala wanita pula berkedudukan di belakang khunsa. Jika dua orang (jemaah) hadir atau seorang dewasa dan seorang kanak-kanak maka kedua-dua memilih untuk berada di belakang imam.

Di dalam kitab ‘al-Muhazzab fi fiqh al-Imam al-Syafi’ie’ Imam al-Syirazi mendatangkan dalil bahawa kedudukan seorang makmum lelaki adalah berada di posisi kanan imam.

” السنة أن يقف الرجل الواحد عن يمين الإمام لما روى ابن عباس رضي الله عنه قال: بت عند خالتي ميمونة فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي فقمت عن يساره فجعلني عن يمينه.” المهذب في فقة الإمام الشافعي للشيرازي, كتاب الصلاة, باب موقف الإمام والمأموم.
Maksudnya: Sunnah apabila seorang lelaki berdiri di bahagian kanan imam sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA, beliau berkata, “Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, lalu Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersolat dan aku berdiri di bahagian kiri Baginda SAW, lalu Baginda memindahkan aku di bahagian kanannya.”

Namun, apakah yang dimaksudkan posisi kanan imam itu ialah sama kedudukan atau berundur belakang?

Imam Nawawi RHM menjelaskan permasalahan ini menurut mazhab Syafi’ie dengan lebih terperinci di dalam kitab ‘al-Majmuk’ yang mensyarahkan kitab al-Muhazzab, menurut beliau:

“السنة أن يقف المأموم الواحد عن يمين الإمام رجلا كان أو صبيا قال أصحابنا ويستحب أن يتأخر عن مساواة الإمام قليلا.” المجموع شرح المهذب للنووي, الجزء الرابع, باب موقف الامام والمأموم.
Maksudnya: Sunnah apabila seorang makmum(lelaki) berdiri di bahagian kanan imam samaada dewasa atau kanak-kanak, menurut ulama-ulama kami(ulama mazhab Syafi’ie) disunatkan makmum berundur sedikit agar tidak menyamai kedudukan imam.

Jelas menurut Imam Nawawi apa yang dimaksudkan posisi kanan imam ialah berundur ke belakang sedikit dari posisi imam. Kenyataan ini disokong oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam ‘al-Iqna’, katanya:

“ويسن أن يقف الذكر ولو صبيا عن يمين الإمام وأن يتأخر عنه قليلا للاتباع واستعمالا للآداب فإن جاء ذكر آخر أحرم عن يساره ثم يتقدم الإمام أو يتأخران في قيام وهو أفضل.” الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع, شمس الدين، محمد بن أحمد الخطيب الشربيني الشافعي, كتاب الصلاة, فصل في صلاة الجماعة.
Maksudnya: Makmum lelaki dewasa atau kanak-kanak disunatkan berdiri dibahagian kanan imam dan berundur sedikit untuk tujuan mengikuti dan adab. Jika seorang makmum lelaki lain datang lalu bertakbiratul ihram di bahagian kiri imam, maka imam bergerak ke hadapan atau kedua-dua makmum berundur ke belakang yang mana ini lebih afdal.

Apakah wujud dalil yang menyatakan posisi di kanan imam itu ialah berundur sedikit?

Sheikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti seorang ulama kotemprari bermazhab Hanbali di Arab Saudi telah menjelaskan dalil kedudukan seorang makmum yang perlu berundur sedikit dari posisi imam di dalam ‘Durus Umdah al-Feqh’ (Kitab Feqh mazhab Hanbali), menurut beliau:
“ولا يتقدم المأموم عن الإمام إلا إذا صلى جماعة في مسجد الكعبة، لكن إذا وقف عن يمينه فهل يساويه أو يتأخره قليلا عنه ، وهي مسألة المحاذاة والتأخر، أصح القولين أنه يتأخر قليلا فلا يجعل الكعب مع الكعب ؛ لأن النبي – صلى الله عليه وسلم – نص وقال : (( إنما جعل الإمام ليؤتم به )) وهذا الحديث استدل به حتى الجمهور على المنع من التقدم على الإمام، فدل على أنه ليس خاصا بالمتابعة في الأركان والواجبات، بل هو شامل للمتابعة الصورية ، وقد قرر أئمة اللغة منهم الإمام ابن منظور رحمه الله في اللسان أن الإمامة مأخوذ من الأمام فلما قال : (( إنما جعل الإمام )) دل على التقدمة ، وعلى هذا فلو ساوى الإمام لم يكن مؤتما به ؛ لأن المؤتم يتأخر ويكون تبعا لا مساويا ولا متقدما، فعلى هذا يحتاط بالتأخر قليلا فلا يجعل الكعب عند الكعب.” دروس عمدة الفقه, الشيخ محمد المختار الشنقيطي.

Maksudnya: Seorang makmum tidak boleh mendahului kedudukan imam melain jika solat berjemaah di masjid Ka’abah. Jika seseorang berdiri di bahagian kanan imam adakah ia berkedudukan sama atau berundur sedikit dari imam? Iaitu melibatkan permasalahan sama kedudukan atau berundur. Pendapat yang paling tepat ialah seorang makmum berundur sedikit dan tidak menjadikan buku lali (imam dan makmum) sejajar antara satu sama lain. Ini kerana Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya seorang imam itu dijadikan untuk diikuti”. Hadith ini merupakan hujah bagi pihak majoriti (ulama) atas larangan mendahului imam dari sudut posisi dan hadith ini juga bukan hanya menunjukkan ikutan dari sudut perkara yang rukun (dalam solat) dan wajib, bahkan meliputi ikutan dari sudut bentuk. Para ahli Bahasa di antaranya Imam Ibn Manzur RHM menyatakan di dalam karangannya ‘Lisanul Arab’, sesungguhnya keimaman(al-imamah) di ambil dari perkataan ‘al-imam’, ketika disabdakan, “Sesungguhnya seorang imam itu dijadikan..” ia menunjukkan kedudukan hadapan. Oleh itu, jika kedudukan makmum sama dengan imam maka itu tidak dikira sebagai imam yang diikuti kerana yang mengikut perlu di posisi undur iaitu mengikuti bukan dalam kedudukan yang sama dan juga medahului posisi (imam). Oleh itu yang lebih berhati-hati ialah berundur sedikit dan bukan dalam satu baris.
(Boleh rujuk: http://www.shankeety.net/Alfajr01Beta/index.php?module=Publisher&section=Topics&action=ViewTopic&topicId=448)

Jelas di sini, isu ini adalah perkara yang diperselisihkan oleh fuqaha’ mazhab. Oleh itu, perlu kita raikan perbezaan pendapat ini dan tidak perlu taksub pada satu-satu pendapat sehingga meletakkan pendapat yang bukan pilihan sebagai pandangan yang tidak menepati sunnah. Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

2 Responses to KEDUDUKAN IMAM DAN SEORANG MAKMUM

  1. Azizi Khalid says:

    bagaimana pula jika imam perempuan dengan seorang makmum perempuan? makmum di kanan atau di kiri?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s