APAKAH HUKUM MELUKIS INAI PADA TELAPAK TANGAN?

عن ابن عمر أن النبي صلى الله عليه وسلم لعن الواصلة والمستوصلة والواشمة والمستوشمة. رواه مسلم في صحيحه 

Maksudnya: Ibnu Umar ra berkata, “Bahawasanya Rasulullah s.a.w melaknati orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu(al-Wasyimah) dan yang meminta ditatu”. (Sahih Muslim)

Apa maksud al-Wasyimah?

Al-Wasyimah bermakna tukang tatu wanita, ia berasal daripada perkataan ‘Wasym’ diterjemahkan di dalam bahasa Melayu ialah tatu. Kenapa hadith ini pengkhususan tukang tatu pada wanita? kerana pada zaman Jahiyyah, pembuat tatu terdiri dari kalangan wanita. Begitu juga pelanggan tatu juga dari kalangan wanita dan perbuatan ini tidak diamalkan oleh golongan lelaki pada zaman itu.

Isunya sekarang, adakah melukis inai di telapak tangan hukumnya sama seperti melukis tatu di atas kulit sepertimana yang didakwa oleh segolongan pendakwah?

Untuk memahami hadith di atas dan hukum hakamnya maka perlulah merujuk kepada penjelasan para ulama hadith tentang makna al-Wasym itu. Jika maksud perbuatan al-Wasym itu sama sifatnya sepertinya dengan lukisan inai pada kulit, maka wajarlah ia diharamkan seperti haramnya tatu.

Imam Nawawi RHM mendefinisikan al-Wasym dari sudut syarak ialah: “al-Wasyimah(pelukis tatu) ialah memasukkan jarum atau batu kecil atau seumpamanya pada belakang telapak tangan, pergelangannya, bibir atau mana-mana kulit wanita sehingga mengalirkan darah, kemudian pada tempat aliran darah itu diletakkan celak atau inai(النورة), maka ia menjadi warna kehijauan.” Imam Syarf bin Yahya an-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, Kitab al-Libas wa az-Zinah.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqallani RHM: “al-Wasym(tatu) ialah Jarum dimasukkan(dicucuk) atau selainnya di dalam badan sehingga mengalirkan darah, kemudian diletakkan pada tempat(berdarah itu) dengan celak atau selainnya maka ia(tempat berdarah itu) berwarna kehijauan.” Imam Ibnu Hajar al-Asqallani, Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tib, Bab al-‘Ain Haq.

Imam Ibnul Arabi RHM mendefinisi dengan makna yang lebih jelas, iaitu: “al-Wasyimah(tukang tatu) ialah melukakan badan secara titikan atau garisan, ketika darah mengalir maka diletakkan celak pada tempat luka itu, maka ianya menghasilkan bentuk dan gambar yang mana ia menjadi perhiasan kaum wanita untuk kaum lelaki.” Imam Ibnul Arabi, Ahkam al-Quran, Juzuk 1 MS 631, cetakan Darul Kutub al-‘Ilmiyyah.

Jelas melalui penjelasan para ulama muktabar yang dilampirkan di atas, maka secara jelas adat melukis inai adalah berlainan sifat dari al-Wasym atau tatu yang haram oleh Rasulullah SAW. Iaitu amalan melukis inai di telapak tangan tidak sampai ke tahap yang melukakan berserta dimasukkan inai atau dakwat di dalamnya. Dengan perbezaan yang nyata ini, maka tidak wajar lukisan inai disamakan dengan tatu. Dengan itu, tertolak dan terbatallah penilaian yang meletakkan hukum haram pada amalan melukis inai pada telapak tangan.

Kembali kepada kaedah ilmu Usul Feqh yang menyebut “الأصل في الأشياء إباحة” yang bermaksud, ‘Asal usul hukum sesuatu perkara itu adalah harus diamalkan, selagimana tiada nas yang mengharamkannya’. Oleh itu, tiada hukum yang jelas samaada dari al-Quran dan Hadith mengharamkan lukisan inai pada telapak tangan, maka ianya diharuskan oleh syarak.

Amalan ini disokong keharusannya dengan satu lagi kaedah displin ilmu feqh iaitu qawaid fiqhiyyah yang berbunyi “العادة محكمة” yang bermaksud proses penetapan hukum-hakam dalam kehidupan manusia yang bersumberkan kepada uruf dan adat kebiasaan ketika mana dalam keadaan ketiadaan nas atau dalil, selagimana ia tidak bertentangan dengan nas syarak. Jadi, melukis inai pada telapak tiada nas atau dalil yang mengharamkannya dan ia juga merupakan adat masyarakat Melayu yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah Baginda SAW, maka ianya boleh diamalkan di sisi syarak.

Sebagai tambahan, beberapa hukum inai perlu ditepati oleh setiap muslim, antaranya memakai inai atau melukisnya hanya khusus untuk kaum wanita. Selain itu, meletak inai hanya dibolehkan pada bahagian telapak tangan, tidak anggota tidak pada anggota badan yang lain. Lukisan inai tidak boleh melibatkan bentuk lukisan makhluk yang bernyawa seperti manusia dan binatang atau makhluk khayalan seperti hantu dan sebagainya. Lukisan inai boleh berbentuk corak, bunga dan tumbuhan, selagimana corak itu tidak berkaitan dengan mana-mana syiar agama kufur. Bentuk corak lukisan itu juga tidak boleh bersifat menghina individu, kaum dan sebagainya.

Wallahu ‘Alam

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh, Hadith Nabawi. Bookmark the permalink.

One Response to APAKAH HUKUM MELUKIS INAI PADA TELAPAK TANGAN?

  1. Hello! I could have sworn I’ve visited this website before but after going through many of the posts I realized it’s new to
    me. Anyhow, I’m certainly delighted I discovered
    it and I’ll be bookmarking it and checking back often!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s