MAZHAB TERTENTU MENJADI PILIHAN???

Saya terbaca status “Facebook” dari seseorang yang kelihatannya cenderung kepada aliran salafi, dia mempertikaikan amalan bertaqlid atau hanya merujuk kepada sesuatu mazhab. Maksud katanya(lebih kurang), “Mengapa perlu umat Islam hanya merujuk kepada satu mazhab? Contoh di Malaysia yang hanya berpegang kepada mazhab Syafi’ie? Jika ikut mazhab Syafi’ie, di mana mahu diletakkan pandangan mazhab yang lain iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali?”.

Katanya lagi, “Di mana kita hendak meletakkan ilmu ulama-ulama yg lain. Adakah kita hendak mengatakan bahawa ilmu ini sekadar apa yang ada di dalam mazhab Syafi’ie sahaja? Adakah kita ingin mengatakan hanya ilmu di dalam mazhab Syafi’ie sahaja yang betul dan selainnya adalah salah?”

Memandangkan orang yang saya maksudkan itu cenderung kepada aliran salafi, maka suka saya kongsikan beberapa fakta yang perlu diamati. Terdapat khilaf yang jelas dan banyak di antara 3 tokoh ulama yang bermanhaj salafi iaitu Sheikh Ibn Baz, Sheikh al-Uthaimin dan Sheikh al-Albani Rahimahumullah Ta’ala.

1) Sheikh Ibn Baz dan Sheikh al-Albani bersepakat bahawa membaca basmalah sebelum berwuduk adalah wajib, namun Sheikh al-Uthaimin berpendapat ia adalah sunat bukan wajib.

2) Sheikh Ibn Baz menyatakan meletakkan tangan di dada(sedekap) selepas rukuk adalah sunnah, manakala Sheikh al-Albani menyatakan amalan itu adalah bidaah. Sheikh Uthaimin pula menyelar dakwaan yang menyatakan pandangan Sheikh Ibn Baz itu dilabel sebagai bidaah kerana beliau menyokong amalan itu adalah sunnah.

3) Sheikh Ibn Baz berpendapat bahawa jarak seseorang itu boleh mengqasarkan solatnya ketika melepasi jarak dua marhalah. Manakala Sheikh Uthaimin berpendapat bahawa tiada jarak tertentu yang memboleh solat diqasar, ia bergantung kepada uruf/adat kebiasaan.

4) Sheikh Ibn Baz berpendapat hukum wanita bersolat hari raya(Eidul Fitri & Adha) adalah sunat muakkad. Sheikh Uthaimin menyatakan hukumnya adalah sunat, manakala Sheikh al-Albani berpendapat bahawa wanita diwajibkan bersolat hari raya.

5) Orang yang bermusafir di bulan Ramadan, adakah berbuka lebih afdal atau terus berpuasa? Sheikh Ibn Baz berpendapat berbuka adalah lebih afdal walaupun keadaan musafir tidak memenatkan dan membebankan. Pendapat Sheikh al-Albani pula menyatakan berbuka lebih afdal bagi mereka yang tidak menghadapi masalah untuk menggantikannya(Qada’) nanti. Sheikh Uthaimin pula berpendapat jika keadaan musafir itu tidak membebankan atau memenatkan maka puasa lebih afdal.

6) Hukum solat gerhana bulan. Sheikh Ibn Baz menyatakan ia adalah sunat muakkad. Sheikh al-Albani pula berpendapat ia adalah wajib bagi setiap muslim. Manakala Sheikh Uthaimin berpendapat ia adalah fardu kifayah.

7) Hukum memotong janggut. Sheikh Ibn Baz dan Sheikh al-Uthaimin bersepakat bahawa haram memotong janggut walaupun melebihi dari kadar segenggam tangan. Manakala Sheikh al-Albani berpendapat bahawa haram memotong janggut kurang dari kadar segenggam dan memotong apa yang melebihi kadar itu adalah harus.

8) Hukum menyapu di atas stokin nipis menggantikan khuf. Sheikh al-Albani dan Sheikh al-Uthaimin bersepakat bahawa diharuskan menyapu di atas stokin walaupun ianya nipis. Sheikh Ibn Baz berbeza pendapat dengan kedua-duanya iaitu stokin yang nipis tidak layak kedudukannya seperti khuf.

9) Sheikh Ibn Baz berpendapat haram menggunakan bekas yang diperbuat daripada emas dan perak walaupun selain tujuan makan dan minum. Manakala Sheikh al-Uthaimin berpendapat, bekas emas dan perak boleh digunakan untuk tujuan selain dari kegunaan makan dan minum.

10) Adakah menyentuh kemaluan membatalkan wuduk? Sheikh al-Uthaimin dan Sheikh al-Albani sependapat bahawa menyentuh kemaluan tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk, jika bersyahwat maka ia membatalkan. Manakala Sheikh Ibn Baz berpendapat bahawa sentuh kemaluan samaada dalam keadaan syahwat atau tidak tetap membatalkan wuduk.
____________________________________________

Cukup sekadar 10 permasalahan khilaf yang dilampirkan, sebenarnya saya boleh mendatangkan lebih banyak lagi khilaf di antara ketiga-tiga tokoh ulama ini, tapi cukup dipaparkan sedikit sebagai contoh.

Persoalan di sini, jika seseorang itu mengambil pandangan Sheikh Ibn Baz, di mana letaknya pandangan Sheikh Uthaimin dan al-Albani? Jika dipegang pandangan Sheikh Uthaimin, di mana akan diletak pandangan kedua-dua Sheikh yang lain? dan begitu lah yang seterusnya. Itu belum lagi khilaf antara tiga ulama ini dengan ulama-ulama beraliran salafi yang lain, malah banyak perbezaan pandangan mereka dengan Sheikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah Rahimahullah.

Jika pendapat Sheikh al-Albani menjadi pilihan adakah pandangan ulama salafi yang lain dianggap bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah? Jika anda memilih pandangan salah seorang di antara ketiga-tiganya, adakah bermakna pandangan yang lain adalah tertolak? Jadi ini lah hakikatnya, sunnatullah ke atas hamba-hambanya iaitu sesuatu yang tidak mungkin dapat dielak di dalam kehidupan.

Status ini sedikit tidak berniat untuk mencela mana-mana aliran, apatah lagi memandang rendah pada ulama yang bermanhaj salafi. Tujuannya hanya menyeru kepada sahabat-sahabat salafi agar menghormati hak saudara mereka sendiri yang terus bertaqlid kepada mazhab Imam Syafi’ie.

Cukup-cukup lah berhujah dengan kata-kata Imam Syafi’ie Radiyallahu ‘Anhu, “Apabila sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku.” Apa kata muhasabah semula diri anda dengan membawa kata-kata ini di dalam khilaf antara ulama-ulama salafi, bukan hanya digunakan untuk menjatuhkan sesuatu pendapat di dalam mazhab.

Dakwaan bahawa di Malaysia hanya merujuk kepada mazhab Syafi’ie adalah tidak benar, Kebiasaannya mazhab Syafi’ie di tanahair tertumpu dalam permasalahan Fardu Ain, manakala bab muamalat mengguna pakai juga pendapat mazhab yang lain atas dasar keperluan dan maslahah umum.

Kita raikan hak berkhilaf dan memilih di antara kita, ini lah kesempurnaan Islam yang syumul, memberi rahmat kepada penganutnya melalui khilaf pandangan di kalangan ulama yang tersembunyi di sebaliknya hikmah yang begitu besar.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh, Luahan Hati, Pendapat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s