WAJIB LAFAZ NIAT?

Koleksi soalan:
Saya baru-baru ini mendengar ceramah seorang ustaz di surau, beliau menyatakan bahawa tidak sah solat seseorang itu jika tidak berlafaz niat solat? Alasan ustaz itu, kerana lafaz niat itu membantu untuk menguatkan niat di dalam hati. Adakah benar hukum ini? Jika benar wajibkah saya mengqada’ solat yang saya tidak lafaz niatnya sebelum ini? (versi suntingan)

Jawapan:

Dalam mazhab Syafi’ie niat adalah salah satu daripada rukun solat, sepertimana yang dinyatakan oleh al-Imam al-Mujtahid Muhammad bin Idris al-Syafi’ie Radiyallahu ‘Anhu di dalam kitab al-Umm:

وكان على المصلي في كل صلاة واجبة أن يصليها متطهرا وبعد الوقت ومستقبلا للقبلة وينويها بعينها ويكبر فإن ترك واحدة من هذه الخصال لم تجزه صلاته. (الأم, كتاب الصلاة, باب النية في الصلاة)

“Setiap individu yang mengerjakan solat yang fardu mestilah dalam keadaan suci, setelah masuknya waktu solat, menghadap kiblat, berniat dengan niatnya(solat) dan bertakbir. Jika dia meninggalkan salah satu daripada perkara tersebut maka solatnya tidak memadai (tidak sah).”

Menurut Imam Syafi’ie niat perlu diselarikan dengan takbiratul ihram, iaitu niat perlu diazamkan di dalam hati ketika takbir sedang dilakukan, sepertimana menurut beliau di dalam kitab al-Umm:

والنية لا تقوم مقام التكبير ولا تجزيه النية إلا أن تكون مع التكبير لا تتقدم التكبير ولا تكون بعده. (الأم, كتاب الصلاة, باب النية في الصلاة)

“Niat tidak bisa menggantikan takbir, dan niat tiada memadai selain bersamaan dengan Takbir, niat tidak mendahului takbir dan tidak (pula) sesudah Takbir.”

Melalui fatwa Imam Syafi’ie ini iaitu niat wajib disertakan ketika takbiratul ihram, maka timbul satu persoalan. Jika lafaz niat diwajibkan atau jika tidak dilafazkan maka solat tidak sah, bagaimana mungkin niat terlafaz ketika takbiratul ihram dilaungkan? Jelas di sini apa yang wajib menurut Imam Syafi’ie niat di dalam hati semasa takbir. Jika lafaz niat itu wajib, sudah tentu beliau akan jelaskan sebelum mengangkat takbir.

Oleh itu, secara zahirnya menurut fatwa Imam Syafi’ie ini menunjukkan bahawa lafaz niat bukan satu perkara yang wajib atau rukun solat. Apa yang wajib, niat yang temetrai di dalam hati.

Walauapa pun, tidak dinafikan bahawa wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mazhab Syafi’ie. Maka tidak dinafikan juga sememangnya ada di kalangan ulama mazhab ini menyatakan bahawa lafaz niat adalah wajib. Namun pandangan ini dikritik oleh majoriti ulama-ulama syafi’iyyah yang lain.

Mengenai perkara ini, saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar dari kalangan ulama mazhab Syafi’ie iaitu Imam al-Nawawi Rahimahullah dan Imam al-Rafi’ie Rahimahullah, di mana kedua-dua tokoh ini adalah ulama yang paling menyerlah di dalam mentarjihkan(menentukan pendapat yang paling kuat) di antara pendapat-pendapat para ulama mazhab Syafi’ie sebelum dan sezaman mereka.

Komen Imam al-Nawawi Rahimahullah mengenai pandangan yang menyatakan wajib niat adalah berikut:

وقال صاحب الحاوي : هو قول أبي عبد الله الزبيري أنه لا يجزئه حتى يجمع بين نية القلب وتلفظ اللسان ; لأن الشافعي – رحمه الله – قال في الحج : إذا نوى حجا أو عمرة أجزأه ، وإن لم يتلفظ وليس كالصلاة لا تصح إلا بالنطق . قال أصحابنا : غلط هذا القائل ، وليس مراد الشافعي بالنطق في الصلاة هذا ، بل مراده التكبير ولو تلفظ بلسانه ولم ينو بقلبه لم تنعقد صلاته بالإجماع فيه. كذا نقل أصحابنا بالإجماع فيه . ولو نوى بقلبه صلاة الظهر وجرى على لسانه صلاة العصر انعقدت صلاة الظهر . (المجموع شرح المهذب , كتاب الصلاة , باب صفة الصلاة , النية في الصلاة)

“Pengarang kitab al-Hawi berkata: ia adalah kata-kata Abdullah al-Zubairi menyatakan bahawa tidak memadai(sah) solat itu padanya(pelaku solat) sehingga lah dia menghimpunkan antara niat di hati dan lafaz niat dengan lidah, kerana al-Syafi’ie Rahimahullah berkata mengenai haji, ‘Jika dia berniat untuk mengerjakan haji dan umrah maka ia cukup memadai, meskipun tidak melafazkan niat. Tidak seperti solat, ia tidak sah melainkan dengan lafaz (niat)’. Ulama-ulama kami(mazhab Syafi’ie) berkata, ‘Tuan punya kata-kata adalah salah dan maksud al-Syafi’ie tentang ‘lafaz’ pada solat bukan lah begitu, bahkan maksud beliau adalah Takbir dan jika dilafazkan (niat) dengan lidahnya dan tidak diniatkan di dalam hati maka solatnya tidak sah secara ijmak’. Begitu lah yang dipetik dari ulama-ulama kami(mazhab Syafi’ie) tentang ijmak mengenainya. Jika seseorang itu berniat di dalam hatinya untuk solat Zohor dan lafaz di lidahnya solat asar, maka solat zohor yang termeterai.”

Jelas bahawa keterangan Imam al-Nawawi bahawa lafaz niat bukanlah berkara yang wajib. Malah beliau memberi perumpamaan jika niat seseorang di hati berlawanan dengan lafaz niat di mulut, maka apa yang dikira ialah niat yang diazamkan melalui hati.

Menurut Imam al-Rafi’ie Rahimahullah pula di dalam karangannya Fathul Aziz berkenanan wajib lafaz niat solat:

وحكي صاحب الافصاح وغيره عن بعض أصحابنا أنه لابد من التلفظ باللسان لان الشافعي رضى الله عنه قال في الحج ولا يلزمه الا ذا أحرم ونيوى بقلبه أن يذكره بلسانه وليس كالصلاة التي لا تصح الا بالنطق قال الجمهور لم يرد الشافعي رضي الله عنه اعتبار التلفظ بالنية وانما أراد التكبير فان الصلاة به تنعقد. (فتح العزير بشرح الوجيز, كتاب الصلاة, الباب الرابع في كيفية الصلاة)

“Pengarang kitab al-Ifsah dan selainnya telah menceritakan mengenai pendapat sebahagian ulama-ulama kami(mazhab Syafi’ie) tentang kemestian lafaz niat, ini kerana al-Syafi’ie Radiyallahu ‘Anhu berkata tentang haji bahawa ia(niat) tidak dimestikan melainkan seseorang yang berihram dan diniatkan dengan hati yang disebut dengan lidahnya, bukan seperti solat yang mana ia tidak sah melainkan ‘lafaz’. Majoriti (para ulama mazhab Syafi’ie) mengatakan bahawa al-Syafi’ie Radiyallahu ‘anhu tidak bermaksud (lafaz) ialah lafaz niat, tetapi beliau maksudkan adalah Takbir, maka sesungguhnya termeterainya solat dengan ia.”

Pendapat minoriti dari kalangan ulama mazhab Syafi’ie ini telah dikritik oleh majoriti para ulama mazhab ini, sekaligus menafikan bahawa lafaz niat di dalam solat tidak diketogarikan sebagai wajib. Oleh itu, solat seseorang itu sah jika tidak melafazkan niat dan ini adalah pendapat yang paling tepat dan kuat di dalam mazhab Syafi’ie.

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s