BOLEHKAH PUASA QADHA’ CAMPUR PUASA 6 SYAWAL?

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz. bolehkah niat puasa 6 syawal diniatkan sekali dengan puasa qada’ terutamanya bagi perempuan yang nak ganti puasa?

JAWAPAN:

Secara ringkas permasalahan ini merupakan khilaf di kalangan para ulama. Namun menurut fuqaha’ mazhab Syafi’ie berpendapat bahawa harus(dibolehkan) menggabungkan antara puasa wajib seperti qadha’, nazar dan kafarah dengan puasa sunat, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti di dalam kitab “al-Asybah wa al-Nazair”:

.صام في يوم عرفة مثلا قضاء أو نذرا، أو كفارة ; ونوى معه الصوم عن عرفة، فأفتى البارزي بالصحة، والحصول عنهما

Maksudnya: Seseorang yang berpuasa pada hari Arafah contohnya untuk (niat) qadha’ atau nazar atau Kaffarah dan dia berniat bersamanya puasa (sunat) Arafah, maka al-Barizi memfatwakan ia adalah sah dan mendapat kedua-duanya(pahala qadha’ dan sunat).
(الأشباه والنظائر للإمام السيوطي, الكتاب الأول في شرح القواعد الخمس التي ذكر الأصحاب أن جميع مسائل الفقه ترجع إليه. باب ما يترتب على التمييز: الإخلاص)

Meskipun diharuskan menurut mazhab Syafi’ie, namun pahala yang dianugerah tidak sempurna jika tidak dilakukan secara berasingan, iaitu puasa qadha’ dan sunat tidak digabungkan tetapi dilakukan pada hari yang berlainan. Perkara ini telah dinyatakan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli di dalam karangannya “Nihayah al-Muhtaj”:

ولو صام في شوال قضاء أو نذرا أو غيرهما أو في نحو يوم عاشوراء حصل له ثواب تطوعها كما أفتى به الوالد تبعا للبارزي والأصفوني والناشري والفقيه علي بن صالح الحضرمي وغيرهم، لكن لا يحصل له الثواب الكامل المرتب على المطلوب لا سيما من فاته رمضان وصام عنه شوالا لأنه لم يصدق عليه المعنى المتقدم،

Maksudnya: Jika seseorang berpuasa di bulan Syawal untuk tujuan qadha’ atau nazar atau selainnya, atau seperti berpuasa di hari Asyura, maka dia akan dapat pahala puasa sunat sepertimana yang difatwakan oleh bapa saya(Syahabuddin al-Ramli) sebagai susulan (fatwa) dari al-Barizi, al-Asfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Soleh al-Hadrami dan selain mereka. Tetapi tidak akan dapat pahala yang lengkap disebabkan perkara yang dituntut(puasa yang berasingan niat yg khusus), lebih-lebih lagi sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan kemudian menggantikan ia di bulan Syawal. Ini kerana ia tidak bertepatan dengan makna yang terawal.
(نهاية المحتاج إلى شرح المنهاج للشيخ شمس الدين الرملي, كتاب الصيام, باب صوم التطوع, فصل إفراد الجمعة بالصوم)

Menurut fatwa Imam al-Ramli di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang berpuasa qadha’ pada bulan syawal maka dia juga akan dapat pahala puasa sunat syawal namun begitu lebih afdal puasa qadha’ dilaksanakan secara berasingan untuk mendapatkan puasa yang lengkap lagi sempurna. Fatwa yang sama juga dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam karangan beliau “Tuhfah al-Muhtaj”, juga dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam “Mughni al-Muhtaj”.

Walaubagaimana pun menurut ulama-ulama mazhab Syafi’ie, meskipun puasa himpunan begini dikira sah, namun ia tidak mencapai maksud yang sebenar. Ini kerana puasa 6 Syawal digalakkan apabila lengkap puasa Ramadan dilaksanakan berdasarkan zahir hadith. Justeru itu adalah lebih baik berpuasa qadha’ Ramadan dahulu kemudian diikuti dengan puasa qadha’.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa tidak sah digabungkan antara puasa sunat dan qadha’ berdasarkan amalan Saidatina Aisyah Radiyallahu ‘anha yang melewatkan puasa qadha’ beliau pada bulan Sya’ban, seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Aisyah berkata:

كان يكون عليَّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجيء شعبان، لمكان النبي صلى الله عليه وسلم. متفق عليه.

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba dan itu kerana sibuk melayani Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.”

Saidatina Aisyah RA seorang yang kuat ibadah termasuklah berpuasa, tidak mungkin beliau meninggalkan puasa 6 Syawal. Penangguhan puasa qadha oleh Aisyah RA menunjukkan bahawa beliau tidak mengabungkan antara puasa qadha’ dan 6 Syawal. Jika Aisyah menggabungkan kedua-duanya nescaya beliau tidak perlu menangguh puasa gantinya.

Namun pendapat yang berdasarkan hadith Sayyidah Aisyah merupakan pentakwilan dari yang mana ia tidak disokong oleh dalil yang jelas dan nyata. Selagi tiada bukti yang nyata maka ia bukan sebagai hujah yang mana ia masih boleh dijawab oleh ulama yang mengharuskan gabungan antara dua puasa.

KESIMPULAN

1) Puasa gabungan antara qadha dan 6 syawal diharuskan/dibolehkan menurut ulama-ulama mazhab Syafi’ie. Fatwa keharusan ini disepakati oleh Imam Syamsuddin al-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami.

2) Meskipun diharuskan menurut mazhab Syafi’ie tetapi ganjaran atau pahala puasa yang diperolehi tidak sempurna, ini kerana lebih afdal dilakukan pada hari yang berlainan. Apa yang lebih utama mengadha’ puasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa 6 Syawal.

3) Ramai di kalangan ulama feqh kotemporari berpegang kepada pendapat yang tidak mengharuskan puasa gabungan antara qadha dan sunat. Ada juga di antara mereka yang mengharuskannya terutama ulama-ulama dari al-Azhar, maka ini adalah khilaf muktabar iaitu khilaf yang diiktiraf di antara para ulama.

4) Puasa yang berasingan tanpa digabungkan niat puasa qadha dan sunat adalah amalan yang lebih tepat dengan kehendak hadith Saidatina Aisyah RA, oleh kerana itu ia dihukum sebagai lebih afdal oleh ulama Syafi’iyyah. Oleh itu juga sebahagian ulama mengharuskan puasa 6 Syawal dahulu sebelum puasa qadha’.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

3 Responses to BOLEHKAH PUASA QADHA’ CAMPUR PUASA 6 SYAWAL?

  1. suriati says:

    Salam,,kiranya boleh puasa sunat 6 dl baru puasa ganti ye?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s