NAJIS TIDAK MEMBATALKAN WUDUK

10655372_10152741160494801_3958134436449777408_o

Secara ringkas, perkara yang melibatkan fiqh ibadat tidak boleh dipraktikkan menurut logik akal. Ia perlu dinilai melalui al-Quran, Hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, ijmak(sepakat) para ulama dan qiyas(Kaedah perbandingan). Walau apa pun, al-Quran dan Hadith yang wajib diutamakan berbanding IJMAK dan QIYAS.

Berkenaan batal wuduk dengan keluarnya najis dar salah satu kemaluan berdasarkan dalil yang jelas sepertimana firman Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam surah al-Nisa’, ayat 43:

وَإِنْ كُنْتُمْ مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌ مِّنْكُمْ مِّن ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُواْ مَآءً فَتَيَمَّمُواْ صَعِيداً طَيِّباً

Maksudnya: “Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci”.

Fakta ini disokong dengan beberapa hadith yang sahih antaranya:

عن عباد بن تميم عن عمه قال شكي إلى النبي صلى الله عليه وسلم الرجل يجد في الصلاة شيئا أيقطع الصلاة قال لا حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا.

Maksudnya: Abbad bin Tamim dari bapa saudaranya, beliau berkata : “Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam diadukan bahawasanya seseorang berasa ragu-ragu ketika solat, adakah angin keluar atau tidak? Adakah dia perlu menghentikan solatnya? lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Jangan dia menghentikan solatnya kecuali dia mendengar suara (bunyi kentut) atau tercium baunya.”

Hadith di atas menjelaskan bahawa bukan hanya najis yang keluar dari salah satu kemaluan, malah selain itu juga membatalkan wuduk. Jadi secara jelasnya, keluar dari dubur atau qubul yang membatalkan wuduk bukan hanya melibatkan najis.

Mengenai sentuh najis tidak membatalkan wuduk berdasarkan dalil hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim di dalam kitab Sahih mereka yang berbunyi:

عن أسماء بنت أبي بكر رضي الله عنهما، قالت: سألت امرأة رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فقالت: يا رسول الله، أرأيت إحدانا إذا أصاب ثوبها الدم من الحيضة، كيف تصنع؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا أصاب ثوب إحداكن الدم من الحيضة فلتقرصه، ثم لتنضحه بماء ، ثم لتصلي فيه. متفق عليه

Maksudnya: Sayyidah Asma’ Bintu Abu Bakar Radiyallahu ‘anhuma berkata, seorang isteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepada Baginda, beliau berkata, ‘Wahai Rasulullah, apa pendapat tuan apabila pakaian salah seorang di antara kami ditimpa darah haid, apa yang perlu dilakukan?’ Lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Apabila pakaian salah seorang di antara kamu ditimpa darah haid maka hendaklah kamu kikis(dengan jari) kemudian kamu renjiskan(basuh) ia dengan air, kemudian dirikan lah solat.” Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Imam Abu al-Qasim al-Rafi’ie di dalam karangannya ‘Syarh Musnad al-Imam al-Syafi’ie’ memberi komentar hadith di atas, kata beliau:

واحتج الشافعي بالخبر في المسألتين: إحديهما: أن مسَّ الشيء النجس لا يوجب الوضوء؛ لأنه أمر بحتِّ دم الحيض، والحتُّ يقع بالظفر ورءوس الأصابع غالبًا, ولم يأمر بالوضوء له. (راجع: شرح مسند الإمام الشافعي للإمام الرافعي, كتاب الطهارة)

Maksudnya: “Imam al-Syafi’ie Radiyallahu ‘anhu berhujah dengan hadith ini untuk dua permasalahan, salah satunya bahawa sentuhan sesuatu pada najis tidak mewajibkan wuduk, ini kerana diperintahkan untuk mengikis darah haid sedangkan kikisan itu kebiasaannya melalui kuku dan hujung jari, malah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak memerintah (isteri baginda) berwuduk.”

Hadith di atas menjelaskan bahawa seseorang yang menyentuh najis darah dalam keadaan suci dari hadas kecil maka tidak wajib mengulangi wuduk atau dalam erti kata yang lain, sentuhan najis tidak membatalkan wuduk berdasarkan hadith tersebut.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh, Hadith Nabawi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s