HUKUM SENTUH NAJIS

Hukum menyentuh najis satu permasalahan yang diperselisihkan oleh para ulama. Menurut mazhab Maliki hukumnya adalah makruh, manakala haram menurut mazhab Syafi’ie. Terdapat juga sebahagian ulama berpendapat harus.
JAKIM mengeluarkan fatwa berkenaan hukum menyentuh benda najis TANPA KEPERLUAN adalah HARAM. Fatwa yang dikeluarkan ini berlandaskan sebuah fatwa yang telah dikeluarkan oleh salah seorang ulama besar mazhab Syafi’ie iaitu al-Imam Syamsuddin al-Ramli -Rahimahullah-, sepertimana kata beliau di dalam karangannya ‘Nihayah al-Muhtaj’:

التضمخ بالنجاسة وهو حرام.
(نهاية المحتاج إلى شرح المنهاج, كتاب الجنائز, التعزية لأهل الميت سنة, شروط صحة صلاة الجنازة)

Maksudnya: Meletakkan (atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah haram.
NAMUN ada segelintir yang mencemuh fatwa ini yang kononnya JUMUD, contohnya menghalang para doktor atau pakar bedah menyentuh benda-benda najis seperti darah dan seumpamanya. Ada lebih sinis, tak boleh nak cebok dan basuh najis setelah dilunaskan hajat di tandas.

Sebelum membuat kenyataan yang kurang berasas, seseorang itu perlu memperhalusi maksud fatwa yang dimaksudkan oleh Imam al-Ramli. Sheikh al-Syabramullisi telah menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Imam al-Ramli tersebut, kata beliau:

فإن التضمخ بالنجاسة إنما يحرم حيث كان عبثا
(حاشية الشبراملسي على نهاية المحتاج إلى شرح المنهاج, كتاب صلاة الجماعة وأحكامها, فصل في صفة الأئمة ومتعلقاتها)

Maknanya: “Meletakkan (atau menyentuh) najis hanya diharamkan yang mana ianya perkara yang sia-sia.”
Apa yang dimaksudkan haram di sini ialah perbuatan menyentuh najis secara sia-sia, seperti suka-suka menyentuh tanpa sebab yang mendesak dan memerlukan.

Berkenaan pakar perubatan yang bertugas dan tugasan mereka itu mendesakkan mereka menyentuh darah dan seumpamanya, ini adalah satu keperluan dan BUKAN SIA-SIA, malah ia diharuskan kerana tujuan memulihkan kesihatan seseorang dan menyelamatkan nyawa orang lain.

Begitu juga polis yang memegang anjing untuk tujuan pemeriksaan dadah, ianya BUKAN KERJA SIA-SIA tetapi satu keperluan untuk menyelamatkan negara dari diruntuhkan oleh gejala dadah.

Kesimpulannya, pengharaman menyentuh benda bernajis termasuk binatang di dalam mazhab Syafi’ie bukanlah secara mutlak, tetapi ia bergantung kepada situasi, jika ia berkaitan urusan yang sia-sia iaitu tiada keperluan dan hajat maka hukumnya haram.

Sebagai contoh seseorang selepas melaksanakan hajatnya di tandas, lalu dengan tanpa keperluan beliau secara suka-suka memegang, meramas atau menyentuh najisnya sendiri di dalam lubang jamban. Berlainan pula jika seseorang yang membersihkan tandasnya, adakala mendesak beliau menyentuh najis di dalam tandas itu untuk tujuan pembersihan. Jelas menyentuh najis atas dasar keperluan tidak diharamkan menurut mazhab Syafi’ie.

Berkenaan dengan dalil pula, sememangnya tiada dalil yang jelas menyatakan tentang haram hukum memegang najis. Tetapi perlu diingatkan, para ulama meletakkan hukum haram pada sebahagian masalah tidak semestinya berdasarkan dalil yang jelas, tetapi melihat pada maslahah dan keburukan disebalik sesuatu perbuatan. Sebagai contoh, mungkin kalangan ulama syafi’iyyah mengharamkan penyentuhan najis tanpa hajat kerana ia boleh membawa kemudaratan pada diri, ini kerana najis itu merupakan kekotoran yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.

Wallahu A’lam

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s