JAKIM MENYALAHGUNA FATWA IMAM AL-RAMLI?

Saya bukan berniat untuk memperpanjangkan isu khilaf sentuh najis tanpa keperluaan samaada haram atau tidak. Bukan juga bersikap terlalu keras dengan mendesak agar semua umat Islam di Malaysia hanya berpegang atau taksub kepada mazhab Syafi’ie sahaja. Tetapi saya lebih mengambil inisiatif membetulkan salah faham dan sangkaan terhadap fatwa Imam al-Ramli –Rahimahullah- yang didakwa bahawa JAKIM telah menyalahguna fatwa tersebut, dalam erti yang lain JAKIM menggunakan fatwa tersebut tidak kena pada konteks yang dimaksudkan oleh Imam al-Ramli sendiri.

BENARKAH FATWA IMAM AL-RAMLI TIADA KAITAN DENGAN ANJING?

Tidak dinafikan bahawa rangka kata Imam Ramli termaktub di dalam perbahasan air, sekaligus mendakwa ia tiada kaitan dengan kenajisan anjing. Suka saya merujuk kepada beberapa kitab fiqh mazhab Syafi’ie yang lain selain daripada karangan Imam Ramli untuk mengabsahkan apa yang difatwakan oleh beliau merupakan kaedah umum fiqh Syafi’ie. Antaranya kata-kata Imam al-Syirbini di dalam al-Iqna’:

أما دم نحو الكلب والخنزير فلا يعفى عن شيء منه لغلظه كما صرح في البيان ونقله عنه في المجموع وأقره وكذا لو أخذ دما أجنبيا ولطخ به نفسه أي بدنه أو ثوبه فإنه لا يعفى عن شيء منه لتعديه بذلك فإن التضمخ بالنجاسة حرام
(الإقناع في حل ألفاظ أبي الشجاع, كتاب الطهارة, فصل في إزالة النجاسة)

Maknanya: “Manakala darah seperti anjing dan babi maka ia tidak dimaafkan sedikit pun daripadanya disebab ia najis berat, sepertimana yang dijelaskan di dalam ‘al-Bayan’, dinukilkan di dalam ‘al-Majmu’ dan diperakui ia oleh beliau(Imam Nawawi). Begitu juga seseorang yang mengambil darah orang lain(ajnabi) kemudian melumuri dirinya iaitu badannya atau pakaiannya maka ia tidak dimaafkan sedikit darinya kerana lumuran darah yang melampau pada dirinya, SESUNGGUHNYA MELETAKKAN(MENYENTUH) NAJIS ADALAH HARAM.”

Jelas kata-kata Imam Syirbini di atas tidak hanya melibatkan hukum hakam air malah ia melibatkan kenajisan darah. Dalam kenyataan di atas juga, Imam Syirbini menyentuh isu kenajisan darah anjing dan babi, jadi sekali gus kaedah ini teraplikasi kepada anjing dan babi iaitu najis mughallazah, bukan pada permasalahan air sahaja malah ia melibatkan najis secara umum.

Ini dikuatkan lagi oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam fatwanya menyebut:

كما وجب الستر خارج الصلاة حرم التضمخ بالنجاسة خارجها.
(فتاوى ابن حجر الهيتمي)

Maknanya: “Sepertimana wajib menutup aurat di luar solat, maka haram meletakkan(menyentuh) najis ketika berada di luar solat.”

Najis yang dimaksudkan oleh Imam Ibn Hajar adalah segala jenis najis yang membatalkan solat dan apa sahaja situasi di luar solat.

Selain itu, fatwa Imam Syahabuddin al-Ramli(bapa kepada Imam Syamsuddin al-Ramli, pengarang kitab ‘Nihayah al-Muhtaj’), kata beliau:

قوله ولا يبول قائما ) قال الأذرعي الظاهر التحريم إذا علم التلويث ولا ماء أو وجده ولكن ضاق وقت الصلاة أو لم يضق وقلنا يحرم التضمخ بالنجاسة عبثا .
(حاشية الرملي الكبير على أسنى المطالب)

Maknanya: “(Kata beliau: … dan tidak boleh kencing berdiri) al-Azra’ie berkata, ‘pengharaman(kencing berdiri) pada zahirnya jika seseorang itu mengetahui air kencing itu mengotori(pakaian) dan tiada air atau dia menjumpai air tetapi waktu solat yang singkat atau tidak singkat, dan kami berpendapat bahawa HARAM meletakkan(menyentuh) najis secara SIA-SIA.'”

Kaedah ini juga, Imam Syahabuddin al-Ramli mengaplikasikannya pada perbahasan najis mutawassitah yang menimpa pakaian atau tubuh badan.

Suka saya kongsikan juga kenyataan lain daripada ulama Syafi’iyyah yang lain untuk membuktikan umumnya kaedah ini, sepertimana yang difatwakan oleh Imam al-Bujairimi:

لو قتله بالغمس في خمر لم يفعل به مثله ويوجه بأن التضمخ بالنجاسة حرام لا يباح بحال إلا لضرورة فكان كشرب البول
(حاشية البجيرمي على الخطيب, كتاب الحدود)

Maknanya: Jika seseorang itu membunuh seseorang dengan cara melemaskannya di dalam khamar(arak), maka ia tidak boleh diperlakukan(dihukum) seperti itu. Ini kerana meletakkan(menyentuh) najis adalah haram yang tidak diharuskan melainkan di dalam keadaan darurat, maka itu seperti meminum air kencing. Jelas kaedah ini juga teraplikasi secara tidak langsung di dalam permasalahan qisas.

IMAM AL-RAMLI TIDAK SEBUT PUN ‘MENYENTUH TANPA HAJAT’

Memang benar, Imam Ramli hanya menyebut kaedah hukum secara umum tanpa menyebut dengan lebih spesifikasi iaitu ‘Menyentuh najis tanpa keperluan adalah haram’. Namun perlu diingatkan bahawa untuk mengetahui pendirian sesuatu hukum di dalam mazhab Syafi’ie tidak hanya membaca sebuah kitab, malah perlu diperluaskan rujukan kerana kitab-kitab mazhab berperanan menjelaskan antara satu salam lain. Fatwa Imam Ramli sudah saya nyatakan(pada status yang lalu) penjelasannya melalui kata-kata Imam al-Syabramullisi di dalam Hasyiahnya:

فإن التضمخ بالنجاسة إنما يحرم حيث كان عبثا
(حاشية الشبراملسي على نهاية المحتاج إلى شرح المنهاج, كتاب صلاة الجماعة وأحكامها, فصل في صفة الأئمة ومتعلقاتها)

Maknanya: “Meletakkan (atau menyentuh) najis hanya diharamkan yang mana ianya perkara yang sia-sia.”
Kenyataan Imam Syabramullisi sekali memperincikan apa yang dimaksudkan oleh Imam Ramli iaitu haram jika berinteraksi dengn najis secara sia-sia iaitu tanpa keperluan. Untuk menguatkan lagi, suka saya bawakan kenyataan Imam al-Bujairimi bagi menjelaskan apakah yang dimaksudkan oleh Imam Ramli:

ومنه التضمخ بدم الضحية وما يفعله العوام من تزويق الأبواب به فهو حرام، وإزالته واجبة لما فيه من التضمخ بالنجاسة لغير حاجة وخرج بغير الحاجة من بال ومن لم يجد شيئا فله تنشيف ذكره بيده، ومسكه بها،
(حاشية البجيرمي على الخطيب, كتاب الصلاة, فصل في إرالة النجاسة)

Maknanya: “Dan diantaranya, meletakkan darah binatang sepertimana yang dilakukan orang awam dengan memperhiasi pintu-pintu(rumah) dengannya(darah) adalah haram. Menghilangkan ia adalah wajib kerana termasuk dalam meletakkan najis tanpa hajat. Perkara terkeluar dari urusan tanpa hajat ialah sesiapa yang buang air kecil dan tidak menemui sesuatu maka ia perlu mengeringkan kemaluannya dengan tangan, lalu dia memegangnya(najis) dengan tangannya.”

Kenyataan di atas bukan sahaja memperincikan bila kaedah ini boleh dan layak diaplikasi, malah Imam al-Bujairimi mendatangkan contoh untuk mudah memahami hukum tersebut.

Sekali lagi saya nyatakan, isu menyentuh najis samaada haram atau tidak adalah perkara yang diperselisihkan oleh para ulama. Bukan niat untuk membuktikan bahawa pendapat mazhab Syafi’ie adalah yang paling kuat dan rajih dalam isu ini. Tetapi sekadar membetulkan sedikit salah faham terhadap pandangan mazhab.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s