HUKUM KENCING BERDIRI BAGI LELAKI

Berikut adalah ringkasan perbahasan yang berkaitan dengan hukum kencing berdiri bagi lelaki berdasarkan dalil dari hadith-hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan riwayat-riwayat amalan para sahabat. Dalam artikel ini juga disertakan penilaian, penjelasan dan pandangan para ulama mengenai permasalahan ini.

HADITH YANG MELARANG KENCING BERDIRI

عن عائشة رضي الله عنها ، قالت : من حدثكم أن النبي – صلى الله عليه وسلم – كان يبول قائما فلا تصدقوه ما كان يبول إلا قاعدا. رواه أحمد ، والترمذي ، النسائي .

Maksudnya: “Sesiapa yang menceritakan kepada kamu yang Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah kencing berdiri, maka janganlah kamu mempercayainya, tidaklah baginda kencing melainkan dengan duduk.” (HR Imam Ahmad, Tirmizi dan Nasaie)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani di dalam ‘Fathul Bari’:

والجواب عن حديث عائشة أنه مستند إلى علمها فيحمل على ما وقع منه في البيوت وأما في غير البيوت فلم تطلع هي عليه

Maksudnya: Jawapan bagi riwayat Aisyah RA, sesungguh hadith ini berdasarkan pengetahuan beliau yang mana membawa makna apa yang berlaku di rumah-rumah(Baginda). Manakala (keadaan) selain dari dalam rumah, maka beliau tidak melihatnya.

Penjelasan di atas menunjukkan hadith Aisyah memberi maksud bahawa Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah buang air kecil berdiri ketika di rumah iaitu berdasarkan penglihatan dan kebersamaan beliau bersama Baginda. Apa pun hadith Aisyah sama sekali tidak bertentangan dengan hadith Baginda buang air kecil berdiri(akan dilampirkan nanti).

Menurut riwayat yang lain:

عن ابن عمر عن عمر قال رآني رسول الله صلى الله عليه وسلم وأنا أبول قائما فقال يا عمر لا تبل قائما فما بلت قائما بعد. رواه ابن ماجه والحاكم.

Maksudnya: Ibnu Umar meriwayatkan dari Umar al-Khattab bahawa beliau berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam melihatku dan ketika itu aku sedang buang air kecil sambil berdiri, lalu Baginda bersabda, “Wahai Umar, Jangan buang air kecil berdiri”. Setelah itu aku tidak lagi buang air kecil berdiri”. (Hadith riwayat Imam Ibn Majah dan al-Hakim)

Imam al-Tirmizi memberi penjelasan bahawa kedudukan hadith di atas adalah tidak sahih, menurut beliau di dalam Jami’nya(Sunan Tirmizi):

وإنما رفع هذا الحديث عبد الكريم بن أبي المخارق وهو ضعيف عند أهل الحديث ضعفه أيوب السختياني وتكلم فيه .

Maksudnya: Hadith ini dirafa’kan oleh Abdul Karim bin Abu al-Makhariq dan dia adalah lemah(daif) di sisi ahli hadith, ia didaifkan oleh Ayub al-Sikhtiani.

Menurut riwayat yang lain dari Musnad Imam al-Bazzar:

قال عمر رضي الله عنه مرفوعا: ثلاث من الجفاء : أن يبول الرجل قائما أو يمسح جبهته قبل أن يفرغ من صلاته أو ينفخ في سجوده. رواه البزار

Maksudnya: Umar al-Khattab RA berkata secara marfu’, “Tiga perkara merupakan sebahagian dari sifat yang tidak baik, iaitu lelaki yang kencing berdiri, atau menyapu dahinya sebelum selesai solat, atau bernafas dengan mulut ketika sujud”. (Hadith riwayat al-Bazzar)

Menurut Imam al-Syaukani, hadith di atas sanadnya bermasalah ‘غير محفوظ’. Namun menurut beliau lagi, sebahagian ulama menghasankan hadith ini. Walaubagaimana pun hadith ini tidak membahawa maksud haram ke atas perbuatan-perbuatan di atas, namun ia berlegar pada hukum makruh.

Terdapat satu riwayat dari Sunan Imam Ibn Majah:

عن جابر قال  نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يبول الرجل قائما.

Maksudnya: Jabir RA berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang lelaki dari kencing dalam keadaan berdiri”.

Menurut Imam al-Syaukani di dalam ‘Nail al-Awtar’, pada sanad hadith ini terdapat ‘Adiy bin al-Fadl dan dia merupakan matruk(sebuah istilah untuk perawi yang lemah). Menurut beliau hadith ini adalah lemah.

Komentar Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani mengenai riwayat-riwayat yang melarang kencing berdiri:

وقد ثبت عن عمر وعلي وزيد بن ثابت وغيرهم أنهم بالوا قياما وهو دال على الجواز من غير كراهة إذا أمن الرشاش والله أعلم . ولم يثبت عن النبي – صلى الله عليه وسلم – في النهي عنه شيء كما بينته في أوائل شرح الترمذي

Maksudnya: Telah terbukti riwayat yang menyatakan Umar, Ali, Zaid bin thabit dan selain mereka bahawa mereka pernah buang air kecil berdiri, dan ini menunjukkan perbuatan tersebut dibolehkan dan tidak makruh sekiranya selamat daripada percikan, wallahu a’lam. Malah tiada thabit(terbukti) tentang tegahan(larangan) daripada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang perkara ini sepertimana yang telah aku jelaskan pada awal syarah al-Tirmizi.

HADITH RASULULLAH BUANG AIR KECIL BERDIRI

عن حذيفة بن اليمان رضي الله عنه: كنت مع النبي – صلى الله عليه وسلم – فانتهى إلى سباطة قوم فبال قائما فتنحيت فقال : ادنه فدنوت حتى قمت عند عقبيه فتوضأ فمسح على خفيه. متفق عليه

Maksudnya: Huzaifah RA meriwayatkan bahawa beliau berkata, “Aku bersama Nabi sallahu a’alaihi wassalam ketika beliau sampai tempat pembuangan sampah, Baginda buang air kecil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi Baginda. Baginda berkata kepadaku; ‘Hampirilah’. Aku pun menghampiri Baginda hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Nabi mengambil wudhuk dengan menyapu dua khufnya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain:

عن أبي وائل قال كان أبو موسى الأشعري يشدد في البول ويقول إن بني إسرائيل كان إذا أصاب ثوب أحدهم قرضه فقال حذيفة ليته أمسك أتى رسول الله صلى الله عليه وسلم سباطة قوم فبال قائما. رواه البخاري, كتاب الوضوء, باب البول عند سباطة قوم

Maksudnya: Abu Wail berkata, “Abu Musa al-Asy’ari itu sangat ketat mengenai persoalan kencing. Beliaru mengatakan, ‘Sesungguhnya, kaum Bani Israel apabila kencingnya mengenai pakaian milik seseorang dari kalangan mereka, pakaian yang terkena itu dipotong.’ Hudzaifah berkata, ‘Semoga dia menahan diri’. Suatu hari Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam mendatangi tempat sampah suatu kaum, lalu Baginda buang air kecil sambil berdiri. (Hadith riwayat Imam Bukhari)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani memberi penjelasan mengenai hadith ini di dalam karangan beliau ‘Fathul Bari’:

ان أبو موسى الأشعري يشدد في البول ، بين ابن المنذر وجه هذا التشديد فأخرج من طريق عبد الرحمن بن الأسود عن أبيه ” أنه سمع أبا موسى ورأى رجلا يبول قائما فقال : ويحك أفلا قاعدا ” ثم ذكر قصة بني إسرائيل.

Maksudnya: Sesungguhnya Abu Musa al-‘Asy’ari RA sangat tegas dalam urusan kencing. Ibn Munzir menjelaskan perkara yang menyebabkan beliau sangat tegas, lalu beliau mendatang satu riwayat melalui jalur Abdul Rahman bin al-Aswad dari bapanya, “Sesungguhnya beliau meriwayatkan Abu Musa al-‘Asy’ari melihat seorang lelakI kencing berdiri, lalu beliau berkata, ‘Celaka engkau tidak boleh kah engkau kencing duduk’. Lalu beliau menceritakan kisah Bani Israel”.

Jelas di atas menunjukkan bahawa terdapat riwayat yang sahih menunjukkan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam buang air kecil sambil berdiri.

RIWAYAT PARA SAHABAT YANG BUANG AIR KECIL BERDIRI

عن زيد قال: رأيت عمر، بال قائما. رواه ابن أبي شيبة في المصنف

Maksudnya: Zaid meriwayatkan bahawa beliau berkata, “Aku pernah melihat Umar al-Khattab buang air kecil dalam keadaan berdiri”. Riwayat Imam Ibn Abi Syaibah

عن أبي ظبيان، قال: رأيت عليا بال قائما. رواه ابن أبي شيبة في المصنف

Maksudnya: Abu Dobyan meriwayatkan bahawa beliau berkata, “Aku pernah melihat Ali bin Abi Talib buang air kecil dalam keadaan berdiri”. Riwayat Imam Ibn Abi Syaibah

عن قبيصة أنه رأى زيد بن ثابت، يبول قائما. رواه ابن أبي شيبة في المصنف

Maksudnya: Qabisah meriwayatkan bahawa beliau pernah melihat Zaid bin Thabit buang air kecil dalam keadaan berdiri”. Riwayat Imam Ibn Abi Syaibah

عن عبد الله الرومي قال: رأيت ابن عمر، يبول قائما. رواه ابن أبي شيبة في المصنف

Maksudnya: Abdullah al-Rumi meriwayatkan bahawa beliau berkata, “Aku pernah melihat Ibn Umar buang air kecil dalam keadaan berdiri”. Riwayat Imam Ibn Abi Syaibah

عن عمران بن حدير قال: حدثني رجل من بني سعد من أخوال المحرر بن أبي هريرة قال: رأيت أبا هريرة، بال قائما. رواه ابن أبي شيبة في المصنف

Maksudnya: Imran bin Hudair meriwayatkan, beliau berkata, “Seorang lelaki dari Bani Saad iaitu antara bapa saudara(dari pihak ibu) kepada al-Muharrar bin Abu Hurairah beliau berkata, “Aku pernah melihat Abu Hurairah buang air kecil dalam keadaan berdiri”. Riwayat Imam Ibn Abi Syaibah

PERBINCANGAN ULAMA MENGENAI HADITH LARANGAN DAN AMALAN BUANG AIR KECIL BERDIRI OLEH BAGINDA

Berkenaan dengan hadith yang menafikan oleh Sayyidah Aisyah RA bahawa Baginda tidak pernah kencing berdiri. Perkara ini telah dijelaskan oleh para ulama bahawa riwayat ini sama sekali tidak menunjukkan larangan kencing berdiri atau Baginda tidak pernah berbuat begitu, namun hadith ini menunjukkan Aisyah tidak pernah melihat dan mengetahui bahawa Baginda pernah buang air kecil sambil berdiri ketika di luar rumah.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam buang air kecil dalam keadaan berdiri disebabkan sakit lutut, berdasarkan riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi:

عن أبي هريرة قال “إنما بال رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قائما لجرح كان في مأبضه

Maksudnya: Abu Hurairah RA meriwayatkan, “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam buang air kecil dalam keadaan berdiri disebabkan kecederaan dalam lutut Baginda”.

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani, hadith diatas telah didaifkan oleh Imam al-Baihaqi dan al-Daraqutni.

Imam al-Syafi’ie mengatakan dalam mengulas hadith Huzaifah yang di riwayatlkan oleh Bukhari : Menurut kebiasaan masyarakat Arab, mereka mahu mengubat sakit pada tulang belakang dengan kencing berdiri. Maka Rasulullah kencing berdiri untuk mengebat sakit tulang belakangnya. (Rujuk: Fathul Bari).

Sebahagian ulama berpendapat, jika hadith-hadith larangan kencing berdiri itu sahih sekali pun ia bukan bermakna larangan atau pengharaman, tetapi ia memberi maksud hukum yang makruh atas dasar pendidikan.

Tidak ketinggalan juga, ada segelintir ulama berpendapat bahawa keharusan kencing berdiri sudah dimansukh hukumnya. Namun pendapat ini telah ditolak majoriti para ulama.

PENDIRIAN EMPAT MAZHAB TERHADAP AMALAN KENCING BERDIRI

1) Mazhab Imam Abu Hanifah(Hanafi)

Menurut Imam al-Syaranbalali di dalam karangannya ‘Maraqi al-Falah’:

يكره البول قائما لتنجسه غالبا إلا من عذر كوجع بصلبه.

 (مراقي الفلاح شرح متن نور الإيضاح, حسن بن عمار الشرنبلالي: كتاب الطهارة, فصل فيما يجوز به الاستنجاء)

Maksudnya: Kencing berdiri adalah makruh disebabkan kebiasaannya ia menyebabkan kenajisan(pada pakaian dan anggota badan) melainkan disebabkan keuzuran seperti sakit belakang.

Tetapi menurut Imam al-Tohawi seorang ulama besar mazhab Hanafi berpendapat bahawa kencing berdiri diharuskan, sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Badruddin al-‘Aini:

وقال ابن المنذر: البول جالسا أحب إلي وقائما مباح وكل ذلك ثابت عن النبي – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -، وقال الطحاوي لا بأس بالبول قائما.

(البناية شرح الهداية, بدر الدين العينى: كتاب الطهارات, المقدار المفروض في مسح الرأس في الوضوء)

Maksudnya: Ibn al-Munzir berkata, “Kencing duduk lebih aku sukai, manakala kencing berdiri adalah harus (hukumnya) dan ini semua terbukti dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam(Baginda melakukannya)”. Al-Tohawi berkata, “Tidak mengapa kencing berdiri”.

2) Mazhab Imam Malik (Maliki)

Menurut Imam Abdul Wahhab bin Nasr al-Tha’labi di dalam karyanya ‘al-Talqin fi al-Fiqh al-Maliki’:

ويكره البول قائماً في موضع صلب لا يأمن تطايره عليه أو مقابلة الريح ويجوز في الرمل والمواضع التي يأمن ذلك فيها.

(التلقين في الفقة المالكي, أبو محمد عبد الوهاب بن علي بن نصر الثعلبي البغدادي المالكي: كتاب الطهارة, باب في الاستنجاء وآداب الأحداث)

Maksudnya: Dimakruhkan kencing berdiri di atas tempat yang keras yang menyebabkan tidak aman dari percikan(air kencing) padanya atau berlawanan arah angina. Kencing berdiri dibolehkan di atas pasir dan tempat-tempat yang mana seseorang itu selamat dari percikan air kencing.

3) Mazhab Imam al-Syafi’ie

Menurut Imam Muhyiddin al-Nawawi di dalama karya agungnya ‘al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab’:

أما حكم المسألة فقال أصحابنا يكره البول قائما بلا عذر كراهة تنزيه ولا يكره للعذر وهذا مذهبنا وقال ابن المنذر اختلفوا في البول قائما فثبت عن عمربن الخطاب وزيد بن ثابت وابن عمروسهل ابن سعد انهم بالوا قياما وروي ذلك عن علي وأنس وأبي هريرة وفعله ابن سرين وعروة.

(المجموع شرح المهذب, محي الدين النووي:كتاب الطهارة, باب الاحداث التى تنقض الوضوء, باب الاستطابة)

Maksudnya: Manakala hukum mengenai masalah ini, menurut ulama-ulama kami(mazhab Syafi’ie) kencing berdiri adalah makruh tanzih(makruh yang bukan haram) jika tiada keuzuran. Jika ada keuzuran maka hukumnya tidak makruh, ini adalah mazhab kami. Ibn Munzir menyatakan bahawa para ulama berselisih pendapat tentang hukum kencing berdiri, maka terbukti dari Umar al-Khattab RA, Zaid bin Thabit RA, Ibn Umar RA, Sahl bin Sa’ad RA bahawa mereka melakukan kencing berdiri, malah diriwayatkan amalan ini dari Ali bin Abu Talib RA, Anas bin Malik RA dan Abu Hurairah RA. Ia juga dilakukan oleh Ibn Sirin dan Urwah.

3) Mazhab Imam Ahmad bin Hanbal(Hanbali)

Menurut Imam al-Mardawi al-Hanbali di dalam karangannya ‘al-Insaf’:

ولا يكره البول قائما بلا حاجة، على الصحيح من المذهب، نص عليه، إن أمن تلوثا وناظرا.

(الإنصاف في معرفة الراجح من الخلاف, علاء الدين المرداوي الحنبلي: كتاب الطهارة, باب الاستنجاء)

Maksudnya: Tidak dimakruhkan kencing berdiri tanpa keperluan menurut pendapat yang sahih di dalam mazhab (Hanbali) dan diriwayatkan darinya(Imam Ahmad bin Hanbal), jika terselamat dari kekotoran dan pandangan orang.

KESIMPULAN

  • Hadith larangan kencing berdiri adalah tidak thabit dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani(seorang ulama besar dalam mazhab Syafi’ie dan bidang hadith).
  • Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam lebih suka dan banyak melaksanakan hajat kecil dalam keadaan duduk sepertimana yang dikhabarkan oleh Sayyidah Aisyah Radiyallahu ‘anha.
  • Terdapat riwayat yang sahih sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang menyatakan bahawa Baginda pernah membuang air kecil dalam keadaan berdiri.
  • Berdasarkan riwayat Baginda buang air kecil berdiri menunjukkan bahawa amalan ini bukan amalan yang diharamkan di sisi syarak. Dalam erti kata yang lain, kencing berdiri tidak lah mengundang dosa. Namun tiada ulama yang menyatakan amalan kencing berdiri itu satu perkara yang dituntut atau sunat.
  • Walau bagaimana pun, ulama berselisih pendapat dalam meletakkan hukum kencing berdiri iaitu di antara harus atau makruh.
  • Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’ie dan Hanafi, hukum kencing berdiri adalah makruh jika tiada keuzuran. Jika ada keuzuran maka hukum makruh menjadi harus.
  • Manakala menurut mazhab Maliki dan Hanbali, hukum kencing berdiri adalah harus selagi mana tidak menyebabkan kekotoran najis menghinggapi pakaian atau tubuh badan seseorang dan terselamat dari penglihatan orang ramai.
  • Empat mazhab fiqh bersepakat bahawa kencing berdiri bukan suatu amalan yang haram di sisi syarak. Namun ulama bersepakat bahawa kencing duduk adalah sunat.
  • Kencing duduk adalah jauh lebih afdal dari kencing berdiri. Ternyata berdasarkan riwayat bahawa amalan kencing duduk amalan kebiasaan Baginda, manakala kencing berdiri bukan adat kebiasaan Baginda, tetapi terbukti wujud riwayat yang sahih bahawa Baginda pernah melakukannya.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh, Hadith Nabawi. Bookmark the permalink.

4 Responses to HUKUM KENCING BERDIRI BAGI LELAKI

  1. pakarhowto says:

    Saya selalu membaca tulisan Ustaz. Terima kasih atas penerangan yang begitu jelas dan padat. Banyak persoalan yang telah terungkai. Semoga Allah limpahkan kebaikan kepada ustaz, dunia dan akhirat insyaAllah.

  2. Pingback: CUAI KENCING BERDIRI | Melayu Sejati, Islam di Hati

  3. AKRif says:

    Orang dulu kata cikgu kencing berdiri anak murid kencing berlari.
    Orang dulu kalau kencing berdiri pun sorang2. Sekarang terlalu open..mcm2 perasaan ada..aku lagi suka duduk..aman..selesa..kurang penyakit pun..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s