MENGAPA TIDAK “AL-UMM” (SIRI 3)

Sambungan dari siri kedua bagi menjawab persoalan ‘mengapa kitab induk Imam Syafi’ie iaitu “al-Umm” tidak dijadikan sandaran utama bagi permasalahan fiqh harian’. Soalan ini sudah saya beri jawapannya serba sedikit pada siri-siri yang lalu, secara ringkasnya tidak semua fakta di dalam kitab al-Umm merupakan pendapat muktamad di dalam mazhab Syafi’ie.

Sepertimana yang dimaklumkan, Imam Syafi’ie tidak hanya merubah fatwa lama beliau ketika di Iraq kepada fatwa yang baru semasa beliau di Mesir. Malah ketika beliau di Mesir masih banyak fatwa-fatwa baru beliau telah diubah, akan tetapi perubahan itu tidak dilakarkan dalam bentuk tulisan tetapi diriwayatkan oleh anak-anak murid beliau. Begitu juga di dalam al-Umm masih terdapat atau tercatat lagi ‘Qaul Qadim’(fatwa lama) Imam Syafi’ie yang belum sempat dipadam.

Untuk lebih jelas, suka saya membawa satu contoh fatwa dari kitab al-Umm, Imam Syafi’ie -Radiyallahu ‘anhu- berkata:

وإذا كسر للمرأة عظم فطار فلا يجوز أن ترقعه إلا بعظم ما يؤكل لحمه ذكيا وكذلك إن سقطت سنة صارت ميتة فلا يجوز له أن يعيدها بعد ما بانت فلا يعيد سن شيء غير سن ذكي يؤكل لحمه .وإن رقع عظمه بعظم ميتة، أو ذكي لا يؤكل لحمه أو عظم إنسان فهو كالميتة فعليه قلعه وإعادة كل صلاة صلاها وهو عليه.

(الأم, كتاب الطهارة: باب ما يوصل بالرجل والمرأة)

Maksudnya: “Jika patah tulang seorang perempuan lalu hilang, maka dia tidak boleh membaiki(menyambung) ia melainkan dengan tulang yang dimakan dagingnya yang telah disembelih. Begitu juga jika terjatuh giginya maka gigi itu menjadi bangkai, maka dia tidak boleh mengembalikan ia (memasang) semula setelah ternyata ia tercabut. Dia tidak boleh menyambung melainkan dengan gigi binatang boleh dimakan dagingnya yang melalui penyembelihan. Jika seseorang itu membaiki(menyambung) tulangnya dengan tulang bangkai atau binatang yang disembelih tetapi tidak halal dagingnya untuk dimakan atau tulang manusia, maka (hukum)nya seperti bangkai dan dia wajib menanggalkannya dan mengulangi semua solat yang telah dia kerjakan sebelum ini dan ia diwajibkan ke atasnya.”(tamat)

Menurut catatan di atas, fatwa Imam Syafi’ie menyatakan bahawa mana-mana anggota tubuh badan manusia yang terpisah dari tuannya ketika hidup dikira sebagai najis maka tidak boleh dimanfaatkan sama sekali.

Sesiapa yang belajar fiqh mazhab Syafi’ie samaada turath atau moden akan dapati mana-mana anggota badan manusia yang terpisah atau terputus ketika hidup maka hukumnya suci bukan najis. Begitu juga mayat manusia tidak diketogarikan sebagai najis seperti bangkai menurut pendapat muktamad dalam mazhab. Jadi ia menggambarkan bahawa fatwa di atas bukan pendapat yang muktamad(kuat) di dalam mazhab Syafi’ie dan perkara ini dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmu’:

لو انقلعت سنه فردها موضعها قال أصحابنا العراقيون لا يجوز لأنها نجسة وهذا بناء على طريقتهم أن عضو الآدمي المنفصل في حياته نجس وهو المنصوص في الأم ولكن المذهب طهارته وهو الأصح عند الخراسانيين وقد سبق إيضاحه في باب إزالة النجاسة

(المجموع شرح المهذب, كتاب الصلاة: باب صلاة المسافر, فرع لا يجوز الجمع بالمرض والريح والظلمة ولا الخوف ولا الوحل)

Maksudnya: “Jika tercabut sebatang gigi lalu dikembalikan(dicantum semula) pada tempat asalnya, maka menurut ulama-ulama kami dari kalangan ahli Iraq bahawa hukumnya tidak boleh kerana ia dikira sebagai najis. Ini berdasarkan riwayat mereka(ahli Iraq) mengenai pandangan mazhab bahawa anggota manusia yang terpisah(tercabut) ketika masih hidup hukumnya adalah najis dan ia termaktub di dalam kitab “al-Umm”. Akan tetapi menurut mazhab(pendapat Imam Syafi’ie yang muktamad) ia adalah suci dan pendapat ini adalah yang paling sahih di sisi ulama (mazhab Syafi’ie) dari kalangan ahli Khurasan. Perkara ini telah dijelaskan di dalam bab membersihkan najis.” (tamat)

Berdasarkan komentar dan kajian Imam Nawawi –Rahimahullah- bahawa fatwa Imam Syafi’ie yang tertera di atas telah diubah atau ditarik balik oleh beliau dan digantikan dengan pendapat yang baru sepertimana yang diriwayatkan oleh ‘Ashabul Wujuh’ dari kalangan ahli Khurasan.

Apabila berlaku pertentangan antara fatwa-fatwa Imam Syafi’ie, maka di sini lah peri pentingnya ulama muhaqqiqin mazhab seperti Imam Nawawi dan Imam Rafi’ie berperanan mentarjihkan antara fakta yang kontradik di dalam mazhab.

والله أعلم
Semoga bermanfaat

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh, Membela Islam. Bookmark the permalink.

One Response to MENGAPA TIDAK “AL-UMM” (SIRI 3)

  1. Hanz Xander says:

    boleh saudara/ustaz membuat satu penulisan tentang senarai permasalahan fiqh yang ditarik balik oleh imam as-Syafi’i dengan ulasannya? terima kasih

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s