JAMAK SOLAT KERANA HUJAN

(Koleksi soalan)

Baru-baru ini saya telah mendengar seorang kawan mengatakan, kita digalakkan menjamak solat di masjid ketika hujan lebat turun, kerana ia adalah sunnah. Hukum ini adalah pertama kali saya dengar dan saya tidak pernah berlajar dalam subjek agama di sekolah. Apa yang saya tahu hanya solat jamak dan qasar ketika musafir. Apakah sebenarnya hukum jamak ketika hujan menurut mazhab Syafi‘ie? Jika boleh, bolehkah ia dilakukan di rumah?

Jawapan:

Secara umumnya ulama berselisih pendapat tentang hukum menjamakkan solat ketika hujan. Majoriti ulama dari 4 mazhab mengharuskannya kecuali mazhab Hanafi. Jamak solat ketika hujan adalah harus hukumnya menurut mazhab Imam Syafi’ie Rahimahullah.

Menurut Kitab al-Majmuk Syarh al-Muhazzab salah sebuah kitab rujukan fiqh mazhab Syafi’ie:


قال المصنف – رحمه الله تعالى – : ( يجوز الجمع بين الصلاتين في المطر في وقت الأولى منهما ; لما روى ابن عباس قال : { صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر والمغرب والعشاء جمعا من غير خوف ، ولا سفر } قال مالك : أرى ذلك في وقت المطر . المجموع شرح المهذب, باب صفة الأئمة, باب آداب السفر, حمل المسافر هدية لأهله


Maksudnya: “Pengarang kitab(Imam al-Syirazi) berkata: Diharuskan jamak di antara dua solat ketika hujan pada solat yang pertama daripada kedua-dua solat, sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA berkata, ‘Bahawa Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wa Sallam telah bersolat Zuhur dan Asar, dan Maghrib dan Isyak secara jamak bukan dalam keadaan takut mahupun musafir’. Malik berkata, ‘Aku melihat itu itu pada waktu hujan.’.”

Adakah jamak ketika hujan hanya disebabkan hujan semata-mata atau faktor lain yang wujud dari hujan seperti kepayahan dan kesulitan?

Menurut Imam al-Syafi’ie Rahimahullah di dalam kitab al-Umm:


ووجدنا في المطر علة المشقة كما كان في الجمع في السفر علة المشقة العامة فقلنا إذا كانت العلة من مطر في حضر جمع بين الظهر والعصر والمغرب والعشاء. الأم للشافعي » كتاب الصلاة » جماع مواقيت الصلاة » اختلاف وقت الصلاة


Maksudnya: “Dan kami mendapati ‘illah kepayahan yang wujud pada hujan sepertimana jamak ketika pemusafiran, ‘illah kepayahan yang bersifat umum. Maka kami katakan, jika ‘illah (yang datang) dari hujan pada keadaan tidak musafir, maka dijamak antara Zuhur dan Asar, dan Maghrib dan Isyak.”

Jelas di sini,Imam Syafi’ie Rahimahullah menegaskan bahawa keharusan menjamak solat di sini disebabkan keuzuran akibat hujan seperti menghalang atau menyukarkan daripada menghadirkan diri ke masjid untuk berjemaah pada waktu seterusnya. Manakala hujan yang tidak memberi kesan yang besar pada individu seperti hujan yang ringan atau renyai-renyai, maka ia tidak diharuskan jamak. Perkara ini dijelaskan lebih terperinci oleh Imam Nawawi di dalam al-Majmuk:


ولا يجوز الجمع إلا في مطر يبل الثياب ، وأما المطر الذي لا يبل الثياب فلا يجوز الجمع لأجله ; لأنه لا يتأذى به ، وأما الثلج فإن كان يبل الثياب فهو كالمطر ، وإن لم يبل الثياب لم يجز الجمع لأجله ، فأما الوحل والريح والظلمة والمرض فلا يجوز الجمع لأجلها فإنها قد كانت في زمان النبي صلى الله عليه وسلم ولم ينقل أنه جمع لأجلها. المجموع شرح المهذب, باب صفة الأئمة, باب آداب السفر, حمل المسافر هدية لأهله.


Maksudnya: “Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian, manakala hujan yang tidak membasahkan pakaian maka tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Manakala Salji yang membasahkan pakaian maka hukumnya seperti hujan, jika ia tidak membasahi pakaian maka jamak tidak boleh dilaksanakan. Manakala lumpur, angin kuat, keadaan gelap dan sakit tidak diharuskan jamak, sesungguhnya pada zaman Nabi Sallahu ‘Alaihi Wa Sallam tiada diriwayatkan bahawa baginda menjamakkan solat disebabkan perkara tersebut.”

Bolehkah menjamakkan solat ketika hujan di rumah atau selain dari masjid?

Imam Syafi’ie Rahimahullah telah menjawab persoalan ini di dalam kitab al-Umm, kata beliau:


ويجمع من قليل المطر وكثيره ولا يجمع إلا من خرج من بيته إلى مسجد يجمع فيه ، قرب المسجد ، أو كثر أهله ، أو قلوا ، أو بعدوا ولا يجمع أحد في بيته ; لأن النبي صلى الله عليه وسلم جمع في المسجد والمصلي في بيته مخالف المصلي في المسجد. الأم للشافعي, كتاب الصلاة, جماع مواقيت الصلاة, اختلاف وقت الصلاة


Maksudnya: “Seseorang itu menjamak samaada ketika hujan yang sedikit atau banyak, dan tidak boleh jamak melainkan seseorang yang keluar dari rumahnya ke masjid dan menjamakkan (solat) di dalamnya, masjid yang dekat samaada ramai ahlinya atau sedikit, atau yang duduk berjauhan, dan seseorang itu tidak boleh menjamakkan solat di rumahnya. Ini kerana Nabi Sallahu ‘Alaihi Wa Sallam menjamakkan solat di Masjid. Seseorang yang bersolat di rumahnya berbeza dengan seseorang yang bersolat di masjid.”

Jadi menjamakkan solat ketika hujan hanya dilakukan di masjid dan tidak boleh dilaksanakan di rumah dan seumpamanya. Hikmahnya untuk memberi keringanan atau rukhsah bagi mereka yang bersolat berjemaah di masjid.

Bolehkah jamak sebelum hujan turun, iaitu melihat petanda akan turunnya hujan seperti langit yang mendung?


وإن صلى رجل الظهر في غير مطر ثم مطر الناس لم يكن له أن يصلي العصر ; لأنه صلى الظهر وليس له جمع العصر إليها وكذلك لو افتتح الظهر ولم يمطر ، ثم مطر بعد ذلك لم يكن له جمع العصر إليها ولا يكون له الجمع إلا بأن يدخل في الأولى ينوي الجمع وهو له فإذا دخل فيها وهو يمطر ودخل في الآخرة وهو يمطر فإن سكنت السماء فيما بين ذلك كان له الجمع. الأم للشافعي, كتاب الصلاة, جماع مواقيت الصلاة, اختلاف وقت الصلاة


Maksudnya: “Jika seseorang telah mengerjakan solat Zuhur bukan ketika hujan, kemudian hujan turun sedangkan dia belum mengerjakan solat asar kerana dia telah mengerjakan solat zohor dan tiada (layak) baginya jamak solat asar kepada zohor. Jika seseorang memulakan solat Zohor ketika hujan belum turun kemudian hujan turun selepas itu, maka dia belum menjamakkan solat Asar kepada Zohor dan tiada jamak baginya. Melainkan dia melakukan solat yang pertama dengan niat jamak dan baginya (keharusan) jamak. Apabila masuk ke dalam solat (zohor) ketika hujan kemudian masuk ke solat yang akhir (asar) jika langit menjadi tenang(tidak hujan) di antaranya maka dikira jamak baginya.

Di sini Imam Syafi’ie menegaskan bahawa tidak boleh jamak melainkan hujan turun sebelum solat dilaksanakan, pertengahan solat sehinggalah solat yang kedua (asar/isyak) dimulakan.

Imam Nawawi juga menjelaskan di dalam al-Majmuk:


فإذا دخل في الظهر من غير مطر ثم جاء المطر لم يجز له الجمع ; لأن سبب الرخصة حدث بعد الدخول فلم يتعلق به. المجموع شرح المهذب, باب صفة الأئمة, باب آداب السفر, حمل المسافر هدية لأهله.


Maksudnya: “Apabila seseorang telah memulakan solat zohor bukan ketika hujan kemudian hujan turun selepas itu, maka tidak dibolehkan jamak, kerana sebab rukhsah(keringanan) itu berlaku selepas solat bermula maka ia belum dikaitkan dengan jamak.”

Jamak taqdim atau ta’khir?

Menurut Imam Syirazi di dalam kitab al-Muhazzab, jamak solat ketika hujan dilakukan secara taqdim. Imam Nawawi menjelaskan di dalam al-Majmuk bahawa Imam Syafi’ie menyatakan jamak sebegini hanya boleh dilakukan secara taqdim kerana berkemungkinan hujan sudah berhenti pada waktu solat yang seterusnya (Asar dan Isyak), maka jamak dilaksanakan dengan tanpa keuzuran.

Wallahu A’lam.

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s