WANITA HAMIL, PENYUSU DAN RAMADAN

Soalan:
Bolehkah wanita yang mengandung dan sedang menyusukan anak berbuka puasa di sepanjang bulan Ramadan? Bagaimana cara menggantikannya? Adakah hanya wajib berpuasa atau bayar fidyah sahaja atau kedua-duanya sekali?

Jawapan:
Boleh dikatakan para ulama bersepakat bahawa wanita yang hamil atau penyusu diberi keringanan oleh syarak untuk berbuka puasa, meskipun di sepanjang Ramadan.

Namun Ulama 4 mazhab berselisih pendapat dalam isu bagaimana menggantikan puasa tersebut dengan perbahasan yang agak panjang disebabkan tiada nas yang jelas untuk menyelesaikan permasalahan, maka timbul lah ijtihad di kalangan para ulama berdasarkan ilmu dan metod pemikiran masing-masing.

Seperti biasa saya suka mengambil perbahasan berdasarkan pendapat muktamad di dalam mazhab Imam Syafi’ie Radiyallahu ‘anhu beserta dalil penghujahan yang dijadikan sandaran hukum. Menurut Imam al-Syirazi di dalam karangan ‘al-Muhazzab’ telah menjelaskan isu ini:

فإن خافت الحامل والمرضع على أنفسهما أفطرتا وعليهما القضاء دون الكفارة ; لأنهما أفطرتا للخوف على أنفسهما فوجب عليهما القضاء دون الكفارة كالمريض ، وإن خافتا على ولديهما أفطرتا وعليهما القضاء بدلا عن الصوم ، وفي الكفارة ثلاثة أوجه .

Maksudnya: Jika wanita yang hamil atau sedang menyusu anak risau akan keselamatan dirinya maka kedua-duanya boleh berbuka puasa dan wajib ke atas kedua-duanya qadha’ puasa tanpa kaffarah(bayar fidyah), ini kerana mereka berbuka kerana takutkan atas kesihatan dirinya maka dua-duanya wajib qadha’ puasa tanpa bayar fidyah seperti orang sakit. Jika kedua-duanya risau pada anak mereka maka mereka wajib qadha’ puasa, namun berkenaan membayar kaffarah terdapat tiga pendapat.-tamat-

Kemudian Imam Syirazi menyambung kata-katanya dengan membawa pandangan Imam Syafi’ie sendiri dari kitab al-Umm:

في الأم : يجب عن كل يوم مد من الطعام وهو الصحيح ; لقوله تعالى { وعلى الذين يطيقونه فدية } قال ابن عباس : نسخت هذه الآية وبقيت الرخصة للشيخ الكبير والعجوز والحامل والمرضع إن خافتا على ولديهما أفطرتا وأطعمتا كل يوم مسكينا .

Maksudnya: Di dalam kitab al-Umm: wajib (kaffarah) dengan memberi makan sebanyak satu cupak dan ini adalah pendapat yang sahih, berdasarkan firman Allah, “dan wajib ke atas orang yang tidak berdaya berpuasa hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan orang miskin”, Ibnu Abbas RA berkata, “Ayat ini telah dimansukhkan dan rukhsah(keringanan) kekal bagi orang tua, orang yang tidak berdaya, wanita hamil dan penyusu JIKA RISAU AKAN KEDUA-DUA ANAK MEREKA maka kedua-dua boleh berbuka dan memberi makan orang miskin untuk setiap hari(yang ditinggalkan)”. -tamat-

Imam Nawawi mensyarahkan kata-kata Imam Syirazi dengan kenyataan yang lebih jelas di dalam kitab “al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab”:

هذا المنقول عن ابن عباس رضي الله عنهما رواه أبو داود بإسناد حسن عنه ، قال أصحابنا : الحامل والمرضع إن خافتا من الصوم على أنفسهما أفطرتا وقضتا ، ولا فدية عليهما كالمريض ، وهذا كله لا خلاف فيه ، وإن خافتا على أنفسهما وولديهما فكذلك بلا خلاف صرح به الدارمي والسرخسي وغيرهما ، وإن خافتا على ولديهما لا على أنفسهماأفطرتا وقضتا بلا خلاف ، وفي الفدية هذه الأقوال التي ذكرها المصنف ( أصحها ) باتفاق الأصحاب وجوبها كما صححه المصنف ، وهو المنصوص في الأم والمختصر وغيرهما

Maksudnya: Riwayat ini diriwayatkan dari Ibn Abbas RA oleh Abu Daud dengan sanad yang hasan. Menurut ulama-ulama kami, jika wanita yang mengandung dan penyusu risau pada dirinya kerana puasa, maka mereka berdua boleh berbuka dan qadha’ puasa tetapi tiada fidyah yang perlu mereka bayar seperti orang sakit, ini semua tiada khilaf. Jika kedua-duanya risau pada diri mereka sendiri dan anak-anak mereka maka ini juga tiada khilaf (iaitu tiada fidyah) sepertimana yang dinyatakan oleh al-Darimi, al-Sarkhasi dan selain mereka berdua. Manakala jika kedua-duanya risau pada (kesihatan/keselamatan) anak-anak mereka iaitu tidak risau pada diri mereka sendiri maka mereka boleh berbuka dan wajib qadha’ puasa tanpa khilaf, berkenaan fidyah ada beberapa pendapat sepertimana yang dinyatakan oleh pengarang(Imam Syirazi), maka pendapat yang paling sahih sepertimana yang disepakati oleh ‘ashabul wujuh'(para ulama mazhab Syafi’ie pada kurun ke 4 & 5 hijrah) bahawa wajib membayar fidyah sepertimana yang disahihkan oleh pengarang(syirazi). Pendapat ini termaktub di dalam kitab al-Umm, Mukhtasar al-Muzani dan selain dari kedua-duanya.-tamat-

APAKAH DALIL WANITA DALAM SITUASI INI WAJIB MENQADHA’KAN PUASA?

Dalil yang menyatakan bahawa wanita yang mengandung dan penyusu juga wajib menqadha’kan puasa bukan hanya membayar fidyah terdapat riwayat yang difatwakan oleh Ibn ‘Abbas RA sepertimana yang diriwayatkan di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah:

عَنِ الثَّوْرِيِّ، وَعَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ، عَنْ عَطَاءٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: «تُفْطِرُ الْحَامِلُ وَالْمُرْضِعُ فِي رَمَضَانَ، وَتَقْضِيَانِ صِيَامًا، وَلَا تُطْعِمَانِ.

Maksudnya: Ibnu Abbas berkata, “Wanita yang hamil dan wanita yg menyusukan anak pada bulan Ramadan, hendak lah qadha’ puasanya tanpa perlu memberi makan(fidyah)”.

Berdasarkan fatwa Sayyidina Ibnu Abbas di atas, menurut Imam Syafi’ie ia hanya untuk wanita hamil atau penyusu yang risaukan kesihatan atau keselamatan dirinya sendiri, maka hanya wajib menggantikan puasa pada hari lain tanpa diwajibkan membayar fidyah.

APAKAH HUJAH IMAM SYAFI’IE YANG MEWAJIBKAN WANITA HAMIL DAN SEDANG MENYUSU PERLU QADHA PUASA BUKAN HANYA SEKADAR BAYAR FIDYAH?

Antara hujahnya ialah hukum yang diqiyaskan dengan orang sakit dan musafir yang tidak mampu berpuasa di bulan Ramadan maka wajib digantikan pada hari yang lain. Ini kerana asal hukum bagi seseorang yang meninggalkan puasa di bulan Ramadan wajib digantikan dengan berpuasa pada hari yang lain seperti yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah, ayat 184.

Manakala wanita yang risaukan kesihatan anaknya bukan dirinya maka hukumnya wajib qadha dan bayar fidyah berdasarkan fatwa hukum yang dikeluarkan oleh Sayyidina Ibn Umar –Radiyallahu ‘anhu-, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra:

عن عبد الله بن عمرو بن عثمان أن امرأة صامت حاملا فاستعطشت في رمضان فسئل عنها ابن عمر فأمرها أن تفطر وتطعم كل يوم مسكينا مدا ثم لا يجزيها فإذا صحت قضته ذكره أبو عبيد في كتاب الناسخ والمنسوخ عن بن أبي مريم عن أنس بن عياض وهذا قول مجاهد تفطر وتطعم وتقضي

Maksudnya: Abdullah bin Amar bin Uthman meriwayatkan bahawa seorang wanita yang sedang hamil dan dia merasa dahaga di bulan Ramadan, maka Ibnu Umar Radiyallahu ‘anhu ditanya tentang perkara ini. Lalu Ibnu Umar memerintahkan dia supaya berbuka, kemudian memberi makan seorang orang miskin dengan satu cupak untuk satu hari, kemudian ini tidak mencukupi baginya, MAKA APABILA DIA SIHAT, HENDAK LAH DIA MENGQADHAKAN PUASA. Abu ‘Ubaid telah menyebut perkara ini di dalam kitab “al-Nasikh wa al-Mansukh” yang diriwayatkan dari Ibn Abi Maryam dari Anas bin ‘Iyad dan ini merupakan pendapat Mujahid iaitu wanita hamil boleh berbuka puasa, namun perlu memberi makan(bayar fidyah) dan mengqadhakan puasa.-tamat-

KESIMPULAN

1. Keringanan diberikan kepada wanita hamil dan sedang menyusu untuk berbuka puasa di bulan Ramadan.

2. Jika wanita yang hamil atau penyusu tidak berpuasa kerana takutkan kesihatan dirinya sahaja maka dia hanya wajib menggantikan puasa sahaja tanpa perlu membayar fidyah, situasi ini diqiyaskan dengan keadaan orang sakit tidak mampu berpuasa, maka wajib menggantikan pada bulan yang lain.

3. Situasi yang sama juga wanita yang risaukan kedua-duanya sekali iaitu kesihatan atau keselamatan dirinya dan anaknya, maka hanya wajib menggantikan puasa tanpa fidyah.

4. Manakala wanita hamil dan penyusu yang risaukan keselamatan atau kesihatan anaknya sahaja maka menurut mazhab Syafi’ie dia diwajibkan menggantikan puasa pada bulan lain dan membayar fidyah iaitu satu cupak untuk satu hari.

5. Bagi wanita yang sering mengandung(setiap tahun contohnya dan penyusuan yg berpanjangan), sepanjang mengandung dan penyusuan dia tidak mampu berpuasa dan jumlah hari yang dia perlu ganti terlalu banyak sehingga dia tidak mampu untuk melaksanakan qadha itu. Maka dia hanya wajib membayar fidyah tanpa qadha, hukum ini diqiyaskan dengan hukum orang yang sakit tidak mampu berpuasa dan tidak mampu menggantikan puasa pada hari lain sepertimana yang disebut di dalam surah al-Baqarah, ayat 184. Hukum ini sepertimana yang pernah difatwakan oleh beberapa guru-guru kami ketika mengajar kitab fiqh Imam Syafi’ie. Apa pun perlu menggantikan juga sebanyak yang dia mampu jika tidak mampu qadha kesemuanya.

WALLAHU A’LAM
ABU RUQAYYAH BA ‘ALAWI

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

One Response to WANITA HAMIL, PENYUSU DAN RAMADAN

  1. Hashim yacob says:

    Saya tertarik dengan yang last sekali. Untuk yang kena membayar fidyah. Bolehkah saya membayar fidyah kepada seorang atau beberapa orang dibahagi sama rata antara mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s