MENGAPA TIDAK “AL-UMM” (SIRI 4)

Sudah sekian lama sambungan siri ini tidak tertulis disebabkan kesibukan saya dengan urusan dan tugasan harian menjadikan saya hampir lupa untuk menyambung kembali siri ini.

Berbalik kepada persoalan mengapa kitab AL-UMM yang dikarang oleh Imam Syafi’ie sendiri tidak menjadi sandaran utama(‘Umdah) bagi permasalahan-permasalahan fiqh. Perkara ini dapat dilihat apabila para ulama dan penuntut ilmu jika ingin merungkai permasalahan fiqh menurut mazhab Syafi’ie sudah pastinya mereka akan merujuk kitab-kitab yang dikarang oleh Ulama Syafi’iyyah selepas era Imam Nawawi dan Imam Rafi’ie. Antaranya karangan Imam Nawawi dan Imam Rafi’ie sendiri dan ulama muta’akkhir Syafi’iyyah seperti Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari serta anak-anak murid beliau seperti Imam al-Khatib al-Syirbini, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syamsuddin al-Ramli malah ramai lagi.

Sebahagian persoalan sudah saya jawab seberapa ringkas melalui siri-siri sebelum ini:

Siri 1: https://aburuqayya.wordpress.com/…/03/27/mengapa-tidak-al-…/

Siri 2: https://aburuqayya.wordpress.com/…/mengapa-tidak-al-umm-si…/

Siri 3: https://aburuqayya.wordpress.com/…/mengapa-tidak-al-umm-si…/

Untuk siri ke-4 ini, saya ingin berkongsi jawapan dan alasan mengapa al-Umm tidak dijadikan sebagai Umdah al-Mazhab dengan bukti yang disusulkan sebagai pengukuh jawapan. Seperti yang sedia maklum tidak semua fatwa Imam Syafi’ie di dalam kitab al-Umm adalah muktamad, malah masih banyak lagi fatwa-fatwa lama Imam Syafi’ie termaktub di dalam kitab itu, contohnya boleh rujuk artikel siri ke-3.

Selain itu, bukan sahaja qaul qadim(fatwa lama di Iraq) masih tercatat, malah banyak fatwa-fatwa baru yang dikeluarkan oleh Imam Syafi’ie di Mesir juga telah diubah oleh beliau ketika di Mesir. Ini bermaksud Qaul Jadid membatalkan Qaul Jadid.
Sebagai contoh, banyak fatwa-fatwa Imam Syafi’ie di Mesir telah diubah oleh beliau sendiri tetapi tidak sempat dirombak di dalam AL-UMM, namun terdapat riwayat-riwayat dari anak murid kanan beliau yang meriwayatkan fatwa-fatwa terbaru Imam Syafi’ie, kemudian ditambah atau ditulis oleh Imam al-Rabi’ bin Sulaiman di dalam AL-UMM sebagai penjelasan. Sebagai contoh:

قال الشافعي : وإذا وجد الرجل المسافر ماء لا يطهر أعضاءه كلها لم يكن عليه أن يغسل منها شيئا. قال الربيع: وله قول آخر أنه يغسل بما معه من الماء بعض أعضاء الوضوء ويتيمم بعد ذلك. (الأم, كتاب الطهارة, باب: كيف التيمم)

Maksudnya: Al-Syafi’ie –Radiyallahu ‘anhu- berkata, “Apabila seorang lelaki yang bermusafir menemui air, maka dia tidak perlu menyucikan semua anggota-anggota (wudu’)nya dan dia tidak perlu membasuh sedikit pun atau apa-apa darinya(anggota-anggota)”. Al-Rabi’ –Rahimahullah- berkata, “Terdapat pendapat beliau(Imam Syafi’ie) yang lain iaitu si musafir itu mesti membasuh sebahagian anggota-anggota wudu’ dengan air yang ada padanya dan bertayammum selepas itu(baki anggota yang tidak dikenakan air wudu’)”. (Al-Umm, Kitab al-Taharah, Bab: Kaif al-Tayammum)

Berdasarkan kenyataan di atas, pada asalnya Imam Syafi’ie berfatwa bahawa apabila seseorang hendak mengerjakan solat dan dia mendapati air yang ada padanya cukup untuk menyucikan sebahagian anggota-anggota wudu’ sahaja, maka Imam berfatwa tidak perlu menggunakan air itu untuk berwudu’ sama sekali walaupun sebahagian anggota, malah hanya terus bertayammum. Kemudian Imam Syafi’ie telah merubah fatwa tersebut bahawa seseorang itu wajib berwudu’ dengan kadar air yang ada padanya walaupun untuk sebahagian anggota wudu’ dan bagi anggota yang tidak dapat disucikan dengan air hendak lah digantikan dengan tayammum.

Perubahan fatwa ini sama sekali tidak dirombak oleh Imam Syafi’ie melalui catatan di dalam AL-UMM, tetapi ia diriwayatkan oleh anak murid kanan beliau iaitu Imam al-Rabi’ dan dicatat sebagai tambahan di dalam AL-UMM oleh beliau. Pendapat yang kedua ini lah yang tercatat di dalam kitab-kitab muktamad mazhab Syafi’ie samaada karangan Imam Nawawi dan Rafi’ie malah ulama-ulama Syafi’iyyah selepas era kedua-dua Imam ini. Malah ada juga fatwa yang tidak sempat dicatat oleh Imam al-Rabi’ tetapi banyak riwayat-riwayat yang lain bertebaran di kalangan ashabul wujuh di Iraq dan Khurasan.

Ini baru satu contoh atau cebisan sahaja, malah terdapat banyak lagi iaitu puluhan rombakan yang dicatat oleh Imam Rabi’ di dalam AL-UMM(menurut pembacaan saya yang sangat terhad). Begitu juga terdapat juga banyak pendapat lama Imam Syafi’ie ketika di Iraq yang tidak sempat dirombak, ini kerana AL-UMM mula ditulis semenjak beliau di Iraq lagi(rujuk: Manaqib al-Syafi’ie, oleh Imam al-Baihaqi)

Apa yang dapat dilihat di sini, peranan dan jasa anak-anak murid Imam Syafi’ie yang setia mendampingi guru mereka yang mulia bagi mencedok ilmu dan mengikuti setiap perkembangan fatwa dari Imam Syafi’ie untuk diwarisi kepada generasi masa hadapan. Tanpa Imam al-Rabi’ bin Sulaiman dan yang lain maka kita tidak mungkin kita dapat mengetahui betapa banyak fatwa-fatwa Imam Syafi’ie telah ditukar dan ditarik balik meskipun ketika beliau di Mesir.

Oleh itu, ini sebagai bukti bahawa tidak semua fatwa-fatwa di dalam kitab AL-UMM merupakan pendapat yang muktamad. Ini kerana banyak fatwa-fatwa yang sudah dirombak dan ditukar yang masih tercatat di dalam AL-UMM, namun diriwayatkan oleh anak-anak murid Imam Syafi’ie.

Siri yang seterusnya nanti, bagaimana pula peranan ulama syafi’iyyah dari dua madrasah yang terkenal dalam meriwayatkan mazhab Imam Syafi’ie? Bagaimana boleh berlakunya khilaf di antara kedua-dua madrasah ini? Apakah kaitan antara ‘Muhaqqiq Mazhab’ dengan kedua-dua madrasah ini? (Doakan semoga saya rajin)

Wallahu ‘Alam

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh, Pendapat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s