SOLAT SUNAT DALAM KENDERAAN

solat dalam kenderaan

Pada asasnya solat sunat dalam kenderaan moden mempunyai dasar yang berasaskan amalan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Sepertimana yang diriwayatkan di dalam hadith:

عن عامر بن ربيعة قال: رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ. رواه البخاري

Maksudnya: Diriwayatkan daripada ‘Amir bin Rabi’ah Radiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam di atas tunggangan dalam keadaan mengerjakan solat sunat, Baginda memberi isyarat dengan kepala beliau ke arah mana pun baginda menghadap, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak pernah melakukan sebegini pada solat fardu”. (Hadith riwayat Imam Bukhari)

Hadith di atas menjelaskan bahawa amalan solat sunat di atas tunggangan sememangnya diamalkan oleh baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam, malah banyak riwayat dari para sahabat yang melihat baginda melakukan sedemikian.

Pensyariatan solat sunat di atas tunggangan adalah perkara yang disepakati oleh ulama 4 mazhab iaitu Hanafi. Maliki, Syafi’ie dan Hanbali. Oleh itu, para ulama kotemporari mengqiyaskan keharusan solat sunat di dalam kenderaan moden seperti kereta dan motosikal dengan hadith solat di atas tunggangan seperti unta, kuda dan keldai.

Menurut Imam Nawawi di dalam karya beliau “al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab”:

وهذا التنفل على الراحلة من غير استقبال جائز في السفر الطويل والقصير هذا هو المشهور من نص الشافعي نص عليه في الأم والمختصر. –المجموع شرح المهذب-

Maksudnya: Solat sunat di atas tunggangan tanpa menghadap kiblat adalah diharuskan ketika permusafiran jauh dan dekat. Ini adalah pendapat yang masyhur dari fatwa (Imam) al-Syafi’ie, sepertimana yang dinyatakan mengenai ini di dalam kitab al-Umm dan Mukhtasar (al-Muzani).

Jelas di dalam mazhab Syafi’ie amalan ini diharuskan samaada dalam permusafiran(perjalanan) jauh atau pun dekat.

APA BEZA ANTARA PERMUSAFIRAN JAUH DAN DEKAT?

Permusafiran Jauh: perjalanan yang mengharuskan solat qasar iaitu jarak perjalanan ke destinasi sekurang-kurang dua marhalah. Contoh: Ahmad menetap di KL dalam perjalan ke Johor Bharu.

Permusafiran dekat: perjalanan ke destinasi yang kurang dari dua marhalah namum si musafir telah melepasi kawasan qaryah tempat bermastautin. Contoh: Ahmad yang menetap di Kajang pergi ke pejabat yang terletak di Kuala Lumpur. Apabila Ahmad melepasi kawasan mukim maka dia diharuskan solat sunat di dalam apa-apa jenis kenderaan.

(Kawasan qaryah boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf/kebiasaan setempat)

BOLEHKAH SOLAT FARDU DI ATAS KENDERAAN?

Merujuk pada hadith di atas, Baginda tidak pernah melaksanakan solat fardu di atas kenderaan, malah ada riwayat hadith yang menyebut ketika Baginda di atas kenderaan dan tiba masa untuk solat Fardu, maka Rasululullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam turun dari tunggangan dan lantas melaksanakan solat fardu dengan menghadap kiblat.

Menurut Imam Nawawi di dalam karya beliau “Raudah al-Tolibin”:

ولا يجوز فعل الفريضة على الراحلة. –روضة الطالبين وعمدة المفتين-

Maksudnya: Tidak boleh melaksanakan solat fardu di atas tunggangan.

Menurut Imam al-Hisni di dalam kitab “Kifayatul Akhyar”:

وإذا أراد الفريضة نزل عن راحلته فاستقبل -كفاية الأخيار-

Maksudnya: Apabila seseorang ingin melaksanakan solat fardu, maka hendak lah dia turun dari tunggangannya dan menghadap kiblat.

ADAKAH WAJIB MENGHADAP KIBLAT KETIKA SOLAT DI DALAM KENDERAAN?

Berdasarkan hadith di atas, baginda mengerjakan solat sunat atas tunggangan menurut arah mana sahaja iaitu tidak terikat dengan arah kiblat(kaabah).

Menurut al-Qadhi Abu Syuja di dalam “Matan al-Ghayah wa al-Taqrib”:

ويجوز ترك القبلة في حالتين في شدة الخوف وفي النافلة في السفر على الراحلة. –متن أبي شجاع-

Maksudnya: Diharuskan/dibolehkan meninggalkan kiblat(tidak menghadap kiblat) di dalam dua keadaan, iaitu dalam keadaan yang sangat takut dan dalam keadaan melaksanakan solat sunat di atas tunggangan.

Mazhab Syafi’ie menyatakan solat sunat di dalam tunggangan atau kenderaan tidak mewajibkan seseorang itu menghadap kiblat. Apatah lagi zaman kini perjalanan kereta yang terikat dengan jalanraya-jalanraya yang telah terbina. Bahkan keharusan meninggalkan kiblat termaktub di dalam hadith yang sahih.

BAGAIMANA PULA DENGAN PERGERAKAN DALAM SOLAT SEPERTI RUKU’ DAN SUJUD?

Menurut Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam “Mughni al-Muhtaj”:

يكفيه الإيماء (بركوعه وسجوده) ويكون سجوده (أخفض) من ركوعه, وذلك لما روى البخاري «أنه – صلى الله عليه وسلم – كان يصلي على راحلته حيث توجهت به يومئ إيماء إلا الفرائض. –مغني المحتاج-

Maksudnya: Cukup bagi seseorang itu memberi isyarat rukuk dan sujud dan isyarat sujudnya lebih rendah dari isyarat ruku’nya. Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengerjakan solat (sunat) di atas tunggangan baginda menurut ke mana sahaja arah tunggangan, baginda menunjukkan isyarat kecuali solat-solat fardu.

Isyarat pergerakan di dalam solat hanya cukup dengan pergerakan kepala sepertimana yang disebut di dalam hadith di atas, ia bertujuan membezakan antara rukuk dan sujud asalkan menurut kemampunan dan tidak membahayakan nyawa ketika memamdu. Untuk penjelasan lebih lanjut, sila rujuk gambar yang disediakan sebagai panduan sepertimana yang ditujuk oleh sebahagian guru-guru kami.

MEMANDU KEDERAAN PASTI MELIBATKAN PERGERAKAN YANG BANYAK, BUKAN KAH INI MEMBATALKAN SOLAT?

Perlu diketahui syarat-syarat solat sunat adalah lebih ringan dari syarat-syarat solat fardu, bahkan solat sunat di dalam kenderaan adalah lebih ringan dari solat sunat bukan di dalam kenderaan. Maka pergerakan yang banyak ketika solat sunat dalam kenderaan tidak membatalkan solat itu di sisi mazhab Syafi’ie. Fakta ini dinyatakan oleh Imam al-Bujairimi:

وحاصله أن العمل مبطل بشروط أربعة الكثير يقينا المتوالي الثقيل الذي لم تدع إليه حاجة، أما إذا دعت إليه حاجة كصلاة شدة الخوف والمتنفل على الراحلة إذا احتاج إلى تحول يده أو رجله فإنه لا يضر وإن كثر. -حاشية البجيرمي على الخطيب-

Maksudnya: Dan hasilnya, sesungguhnya pergerakan yang membatalkan (solat) berdasarkan 4 syarat, iaitu pergerakan yang banyak dan berat secara berturut-turut yang mana tidak memenuhi keperluan(kepentingan). Manakala yang berdasarkan keperluan seperti solat dalam keadaan yang amat takut dan solat sunat di atas kenderaan, jika seseorang itu memerlukan untuk menggerakkan tangannya atau kakinya, maka ia tidak memudaratkan(tidak membatalkan) walaupun (pergerakan) banyak sekali pun.

ADAKAH SEMUA JENIS SOLAT SUNAT DIHARUSKAN DI DALAM KENDERAAN?

Menurut Imam Nawawi di dalam “Raudah al-Tolibin”:

وحيث جازت النافلة على الراحلة، فجميع النوافل سواء على الصحيح الذي عليه الأكثرون. –الروضة

Maksudnya: Yang mana diharuskan solat sunat di atas tunggangan, maka semua jenis solat sunat adalah sama menurut pendapat yang sahih iaitu pendapat kebanyakan para ulama.

Kenyataan Imam Nawawi di atas menunjukkan bahawa semua jenis solat sunat diharuskan di dalam kenderaan termasuk lah solat sunat rawatib.

PENUTUP

Mengerjakan solat sunat di dalam kenderaan adalah Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Oleh ini gunakan keluangan waktu di dalam kenderaan untuk dipenuhi dengan ibadah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, sebagai contoh dalam perjalanan ke tempat kerja yang melepasi kawasan qaryah. Lebih-lebih lagi apabila anda terperangkap di dalam kesesakan jalanraya, ini adalah waktu terbaik untuk diisi dengan solat sunat Isyraq dan duha. Seperti juga mereka yang bertolak ke tempat kerja sebelum subuh, maka dia boleh melaksanakan solat tahajjud dan witir di dalam kereta.

Wallahu A’lam

Selamat beramal
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh, Hadith Nabawi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s