KAHWIN PAKSA

SOALAN INBOX:

Assalamualaikum ustaz, saya ada soalan berkenaan dengan perkahwinan. Benarkah bapa ada kuasa memaksa anak perempuan berkahwin dengan lelaki pilihannya? dikatakan mazhab yang berpendapat bapa ada kuasa paksa ialah pendapat yang lemah sebab tak de dalil. Masalah ini berlaku dalam keluarga saya.

JAWAPAN:

1) Secara ringkas, ulama berselisih pendapat tentang kuasa bapa sebagai wali mujbir(kuasa paksa). Majoriti mazhab iaitu mazhab Maliki, Syafi’ie dan Hanbali berpendapat bahawa si bapa punyai kuasa paksa ke atas anak gadisnya yang perawan(belum pernah berkahwin), melainkan mazhab Hanafi memiliki pandangan yang tidak sama dengan majoriti para ulama iaitu si bapa tiada kuasa paksaan kahwin terhadap anak gadisnya.

2) Majoriti ulama mendatang hujah yang menguatkan pandangan mereka berdasarkan sepotong hadith yang sahih, “الثيب أحق بنفسها من وليها”. Maksudnya: “Wanita janda lebih berhak terhadap dirinya berbanding walinya”. Berdasarkan hadith ini, Imam Syafi’ie berhujah melalui konteks yang bertentangan daripada hadith ini(مفهوم مخالفة) iaitu hadith tersebut menyatakan wanita janda berhak ke atas dirinya dalam memilih pasangan dan walinya tiada hak untuk menentukannya. Manakala dalam konteks yang bertentangan pula gadis perawan tiada kuasa seperti wanita janda, malah walinya lebih berhak ke atas diri gadis itu dalam pemilihan pasangan.

3) Sepertimana yang disebutkan di atas, isu ini adalah perbezaan pendapat di kalangan ulama. Meskipun mazhab Hanafi bersendirian dalam isu ini, namun mazhab Hanafi mempunyai hujah tersendiri dan berasas, tambahan pula mazhab Hanafi tidak mensyaratkan wali sebagai salah satu rukun atau syarat sah perkahwinan bagi wanita yang sudah mencapai akil baligh.

4) Walaupun si bapa mempunyai kuasa namun kuasanya itu tidak dikira sebagai kuasa mutlak iaitu masih tertakluk dengan syarat tertentu. Menurut para ulama, si bapa tidak boleh sewenang-wenang memaksa anak gadisnya berkahwin dengan lelaki yang tidak sekufu’(setaraf kedudukan). Sebagai contoh gadis yang menjaga agamanya tidak boleh dipaksa berkahwin dengan lelaki yang rendah agamanya. Sebagai contoh yang lain, gadis yang berkerjaya tidak boleh dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak berkerjaya. Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali, gadis yang kaya atau berharta tidak boleh dipaksa berkahwin dengan lelaki miskin. Jika gadis dipaksa dalam salah satu situasi ini, maka wanita boleh meminta hakim/qadhi agar menfasakhkan(membatalkan) pernikahan.

4) Ulama mazhab Syafi’ie juga menyatakan jika antara si bapa dan anak gadisnya mempunyai hubungun yang tidak baik atau ada permusuhan di antara mereka, maka kuasa ‘Ijbar’(paksa) di tangan si bapa TERBATAL, sepertimana si bapa hilang kuasa jika memaksa anak gadisnya bernikah dengan lelaki yang tidak sekufu’.

5) Nasihat saya, agar saudari tidak mudah mendengar dan terpengaruh dengan kata-kata individu yang cepat melabelkan pendapat di kalangan ulama mazhab merupakan pendapat yang lemah dan tiada dalil. Apatah lagi kita bukan bertaraf alim ulama maka tidak sepatutnya dengan mudah kita melemahkan sesuatu pendapat di dalam mazhab. Apatah lagi isu berkaitan dengan wali mujbir ini melibatkan pandangan majoriti ulama yang pastinya mereka ada dalil dan hujah tersendiri, di samping kita berlapang dada dengan pandangan dari kalangan minoriti ulama.

6) Berkenaan dengan isu kahwin paksa ini, saya berpendirian bahawa sebaik-baiknya tiada paksaan di dalam perkahwinan. Namun jangan digunakan sentimen mazhab untuk menyokong pendirian dan kehendak kita iaitu dengan mudah mengatakan mazhab itu lemah dan mazhab ini tiada dalil, mazhab ini bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

7) Jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan cara berbincang antara anak gadis dengan si bapa agar mendapat persetujuan yang diredhai antara kedua-dua pihak. Jika si gadis gagal memujuk anak si bapa, maka perlu si anak gadis menggunakan orang tengah yang berpengaruh dan dipercayai untuk menyelesaikan masalah ini. Yang paling penting juga, pergantungan kita terhadap Allah Ta’ala, jangan putus harap dengan-Nya, teruskan berdoa semoga semuanya berjalan dengan baik dan seperti yang dihajatkan.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s