TERLUPA TAHIYYAT AWAL SETELAH BERDIRI TEGAK

SOALAN INBOX:

Salam ustaz… semalam di surau tempat saya, masa solat isyak imam terlupa duduk tahiyyat awal, kemudian jemaah sebut subhanallah. lepas tu imam duduk tahiyyat balik. Lepas habis solat, ada seorg jemaah cakap solat kami semua tak sah sebab imam dah berdiri tegak sepatutnya tak boleh duduk balik. macamana hukumnya ustaz? adakah betul solat kami tidak sah?

JAWAPAN:

1) Perlu diketahui bahawa tasyahhud(tahiyyat) awal tidak termasuk dalam ketogari rukun-rukun solat, ia hanya di antara sunat-sunat ab’ad yang mana jika tertinggal maka tidak terbatal solat, cuma disunatkan melaksanakan sujud sahwi.

2) Jika situasi seseorang lupa tahiyyat awal lalu bangun sehingga postur badannya berdiri tegak atau hampir tegak maka dia tidak boleh kembali untuk duduk untuk tahiyyat awal. Perkara ini telah dijelaskan al-Imam al-Faqih Abdullah Ba-Fadl di dalam karangannya “al-Muqaddimah al-Hadramiyyah”:

لو نسي التشهد الأول فذكره بعد انتصابه لم يعد إليه, فإن عاد عالما بتحريمه عامدا بطلت صلاته.

Maksudnya: “Jika seseorang itu lupa tasyahhud awal lalu dia teringat setelah berdiri tegak maka dia tidak (boleh) kembali padanya(duduk tahiyyat), jika dia kembali duduk tahiyyat dalam keadaan dia mengetahui haramnya kembali duduk dengan sengaja, maka solatnya batal”.

3) Ini bermakna apabila seseorang sudah berdiri, ini bermakna dia sudah masuk fardu/rukun yang baru dan apabila dia duduk semula untuk tahiyyat awal, bermakna dia telah membuat penambahan di dalam solat dan penambahan bentuk solat dilarang.

4) Walaubagaimana pun, ada pengecualian bagi mereka yang lupa bahawa dia sedang melaksanakan solat atau jahil tentang haramnya duduk kembali untuk tahiyyat setelah berdiri, sepertimana yang dijelaskan di dalam “al-Muqaddimah al-Hadramiyyah”:

أو ناسيا أو جاهلا فلا تبطل, ويسجد للسهو.

Maksudnya: “Atau jika dia kembali (duduk tahiyyat) dalam keadaan lupa atau jahil maka solatnya tidak terbatal dan (disunatkan) melakukan sujud sahwi”.

5) Namun jika seseorang belum sampai pada kedudukan berdiri tegak atau hampir tegak, maka disunatkan untuk kembali duduk tahiyyat awal. Perkara ini dijelaskan lagi oleh Imam Abdullah Ba-Fadl:

وإن تذكر ترك التشهد الأول قبل انتصابه عاد

Maksudnya: “Jika seseorang teringatkan sebelum berdiri tegak bahawa tasyahhud awal tertinggal maka dia (disunatkan) kembali (duduk tahiyyat)”.

6) Berbalik kepada permasalahan di atas perlu dilihat pada 2 keadaan, jika imam tersebut kembali duduk dalam keadaan dia tahu tidak boleh kembali duduk tahiyyat awal(setelah berdiri tegak atau hampir tegak), maka solat terbatal. Namun jika dia jahil tentang hukum itu maka ia dimaafkan dan solat masih sah.

7) Begitu juga makmum bergantung pada dua situasi, jika makmum tahu hukum maka dia tidak boleh ikut imam kembali duduk, mestilah niat mufaraqah, jika tidak solat terbatal. Melainkan makmum juga tidak tahu hukum, maka kejahilan dalam situasi ini dimaafkan sepertimana yang disebut di dalam kitab “al-Minhaj al-Qawim” dan “Busyra al-Karim”.

8) Apa yang sangat penting juga, jika imam lupa untuk duduk tahiyyat awal dan sudah dalam keadaan berdiri atau hampir tegak, maka makmum wajib bangun dan tidak boleh tunggu imam kembali duduk. Jika makmum terus menunggu maka solat makmum terbatal, melainkan jika makmum berniat mufaraqah.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh, Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s