BARANGAN EMAS DAN PERAK

SOALAN INBOX:
Assalamualaikum wrbt…. mohon pencerahan ustaz, boleh tak pakai rolex tetapi dalam jam tu ada sedikit komponen yang dibuat dari emas tp kuantitinya amat sedikit. apa hukum pakai jam macam tu?

JAWAPAN:
1) Bekas atau bijana yang dibuat dari emas dan perak HARAM digunakan dalam apa keadaan sekali pun samaada makan, minum dan lain-lain lagi yang dinamakan sebagai penggunaan. Pengharaman ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Huzaifah bin al-Yaman Radiyallahu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لا تلبسوا الحرير ولا الديباج ولا تشربوا في آنية الذهب والفضة ولا تأكلوا في صحافها فإنها لهم في الدنيا ولنا في الآخرة

Maksudnya: “Jangan memakai sutera ‘harir’ dan sutera ‘dibaj’, jangan minum dalam bejana emas atau perak, jangan lah kamu makan dengan pinggan yang diperbuat dari kedua-duanya. Ini kerana kedua-duanya adalah untuk kegunaan orang kafir di dunia dan untuk kita di akhirat.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

2) Para ulama mujtahid termasuk Imam Syafi’ie -Radiyallahu ‘anhu- mengharam sebarang penggunaan barangan yang lain yang diperbuat dari emas atau perak begitu penggunaan untuk tujuan perhiasan berdasarkan hukum qias kepada pengharaman menggunakan bejana emas dan perak untuk makan dan minum.

3) Oleh itu sembarang penggunaan emas dan perak diharamkan seperti menggunakan pen yang perbuat dari emas, katil emas, payung emas, kereta yang disadur dengan emas dan lain-lain lagi. Termasuk juga jam yang diperbuat dari emas termasuk perkara yang diharamkan. Meskipun jam emas itu dipakai oleh kaum wanita, tetapi pada hakikatnya ia bukan emas perhiasaan seperti gelang dan rantai, tetapi ia adalah alat yang digunakan untuk mengetahui waktu.

4) Emas diharamkan sama sekali meskipun kewujudan emas itu sedikit pada sesuatu barangan. Adapun bejana yang ditampal dengan perak, jika tampalan perak itu kecil dan bukan tujuan hiasan maka hukumnya harus. Namun jika besar untuk tujuan hiasan, hukumnya adalah haram. Namun sekiranya tampalan perak itu besar atas dasar keperluan ataupun kecil untuk tujuan hiasan, hukumnya makruh (rujuk: Fathul ‘Allam dan Fiqh Manhaji).

5) Terdapat dalil yang mengharuskan tampalan perak atas dasar keperluan samaada sedikit atau banyak berdasarkan sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh ‘Asim al-Ahwal berkata:

رأيت قدح النبي صلى الله عليه وسلم عند أنس بن مالك, وكان قد انصدع فسلسله بفضة وقال أنس لقد سقبت رسول الله صلى الله عليه وسلم في هذا القدح أكثر من كذا وكذا

Maksudnya: “Aku melihat mangkuk Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang ada pada Anas bin Malik -Radiyallahu ‘anhu- . Mangkuk itu (dahulunya) telah pecah dan ditampal dengan perak. Anas berkata, ‘Aku telah memberi minum kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan mangkuk ini beberapa kali’.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari)

6) Berbalik kepada soalan diatas, jika di dalam itu terdapat komponen perak yang sedikit atau banyak untuk tujuan KEPERLUAN maka hukumnya HARUS. Jika komponen perak itu AMAT SEDIKIT untuk tujuan perhiasan maka hukumnya MAKRUH. Namun komponen emas tidak dibenarkan sama sekali walaupun sedikit.

8) Dalam kitab ‘Furu’ al-Masail wa Usul al-Wasail’ karya terjemahan al-‘Allamah al-Faqih Sheikh Daud al-Fatoni (susunan semua dan cetakan Telaga Biru) mengatakan:
“Sekiranya seorang itu menyadur bekas tembaga atau besi dengan emas atau perak dan bahan tersebut tidak dapat dikeluarkan semula sama ada dengan dibakar di atas api, harus digunakan kerana kuantitinya yang sedikit atau dianggap seperti tiada. Tetapi jika boleh dikeluarkan semula setelah dibakar di atas api(dilebur, haram menggunakannya.”

9) Jika komponen emas di dalam jam Rolex itu sukar untuk dikeluarkan, jika dilebur dengan api sekali pun maka jam itu akan rosak dan musnah, oleh itu hukum memakainya adalah harus. Sebaliknya jika komponen itu boleh dipisahkan dari jam itu, maka hukumnya haram memakainya.

10) Menurut pendapat saya yang serba kekurangan ini, jika komponen itu dikeluarkan maka akan menyebakan jam itu tidak berfungsi, rosak dan tidak boleh dimanfaatkan lagi, maka hukumnya barangkali boleh menjadi harus (Wallahu A’lam). Ini kerana merosakkan harta benda termasuk perkara yang dilarang oleh Islam terutama mereka yang sudah memiliki barangan seperti ini. Lagi pun kuantiti emasnya amat sedikit.

11) Walaubagaimana pun, bersikap berhati-hati adalah lebih baik dan dipuji oleh agama. Jadi dalam kes ini, mengelakkan diri dari memakainya adalah lebih baik dan terpuji. Oleh itu kita perlu mengelak membeli dan memiliki barangan seperti ini iaitu barangan yang mengandungi komponen atau bercirikan emas dan perak di masa hadapan.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s