INJAP JANTUNG KHINZIR

SOALAN INBOX:

Assalamu’alaikum ustaz. maaf bertanya. kalau ada orang ada masalah sakit jantung, injap jantung rosak. boleh tak kalau injap itu digantikan dengan injap jantung khinzir? sebab doktor kata, injap khinzir yang paling sesuai dengan manusia.

JAWAPAN:

1) Sepakat ulama 4 mazhab bahawa khinzir adalah binatang yang diharamkan makan dan dimanfanfaatkan berdasarkan firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Baqarah ayat 173.

2) Namun ulama berselisih pendapat tentang kenajisan khinzir, adakah ia diketogarikan sebagai najis mughallazah? Menurut mazhab Syafi’ie dan Hanbali, khinzir diketogarikan sebagai najis mughallazah (Rujuk: Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah).

3) Menurut mazhab Syafi’ie juga, haram memanfaatkan bahan yang bernajis terutama najis mughallazah, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam al-Iqna’:

أما دم نحو الكلب والخنزير فلا يعفى عن شيء منه لغلظه كما صرح في البيان ونقله عنه في المجموع وأقره وكذا لو أخذ دما أجنبيا ولطخ به نفسه أي بدنه أو ثوبه فإنه لا يعفى عن شيء منه لتعديه بذلك فإن التضمخ بالنجاسة حرام

Maksudnya: “Manakala darah seperti anjing dan babi maka ia tidak dimaafkan sedikit pun daripadanya disebab ia najis berat, sepertimana yang dijelaskan di dalam ‘al-Bayan’, dinukilkan di dalam ‘al-Majmu’ dan diperakui ia oleh beliau(Imam Nawawi). Begitu juga seseorang yang mengambil darah orang lain(ajnabi) kemudian melumuri dirinya iaitu badannya atau pakaiannya maka ia tidak dimaafkan sedikit darinya kerana lumuran darah yang melampau pada dirinya, SESUNGGUHNYA MELETAKKAN(MENYENTUH) NAJIS ADALAH HARAM.”

4) Namun begitu, ada beberapa kaedah yang menyebut bahawa sesuatu hukum itu berubah apabila situasi berubah. Sepertimana kaedah ada menyatakan bahawa “Darurat menghalalkan perkara yang diharamkan”. Oleh itu, persepakatan ulama, jika keadaan yang amat mendesak, maka benda yang haram menjadi halal iaitu boleh dimanfaatkan bagi menampung keperluan yang mendesak.

5) Hal ini disebut sendiri oleh Imam Nawawi di dalam Minhaj al-Tolibin:

ولو وصل عظمه بنجس لفقد الطاهر فمعذور وإلا وجب نزعه إن لم يخف ضررا ظاهرا قيل: وإن خاف فإن مات لم ينزع على الصحيح.

Maksudnya: “Jika tulangnya(yang patah atau rosak) disambungkan dengan bahan bernajis disebabkan ketiadaan bahan yang suci maka ia diberi keuzuran. Jika wujud bahan yang suci maka wajib menanggalkan bahan yang bernajis jika tidak dikhuatiri kemudaratan yang nyata. Menurut pendapat yang lain, wajib mencabutnya walaupun dikhuatiri mudarat. Jika meninggal dunia tidak wajib mencabutnya menurut pendapat yang sahih”.

6) Berdasarkan kenyataan Imam Nawawi di atas, bahan bernajis boleh digunakan untuk menggantikan anggota badan yang rosak jika tidak terdapat bahan yang tidak bernajis Ini selaras dengan kaedah fiqh yang dinyatakan pada kenyataan nombor 4. Sedangkan mengikut hukum asal bahan bernajis tidak boleh dimanfaatkan, namun disebabkan keperluan amat mendesak, maka ia dibenarkan oleh syarak.

7) Walaubagaimana pun, penggunaan bahan yang bernajis dibenarkan selagi tidak ada bahan yang tidak bernajis atau haram boleh dijadikan bahan ganti. Selagimana ada bahan yang tidak bernajis untuk dimanfaatkan, maka wajib memilih yang halal pada zatnya.

8) Merujuk kepada kitab “Nihayah al-Muhtaj” dan “Tuhfah al-Muhtaj” jika keadaan sebegini berlaku maka boleh dimanfaatkan bahan bernajis, meskipun dari bahan najis mughallazah seperti tulang khinzir dan anjing. Malah dengan adanya bahan bernajis di dalam tubuh seseorang, solatnya tetap sah.

9) Berbalik kepada isu di atas, perkara ini perlu lah dirujuk kepada pakar perubatan, terutamanya pakar jantung dan ahli sains. Jika pakar-pakar ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bahan lain selain injap jantung khinzir yang mampu menggantikan injap jantung manusia, maka berdasarkan pandangan para ulama, ia wajar dan harus untuk digantikan. Jika pakar menyatakan ada bahan lain yang tidak haram dan bernajis boleh menggantikan injap tersebut, maka wajib menggunakan bahan yang halal.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s