WUDHU’ DENGAN SPRAY

SOALAN WHATSAPP (dari sahabat saya):

Adalah Rasulullah saw berwudhuk dengan satu Mud dan mandi dengan satu Sho’ hingga lima Mud.
(HR Imam Bukhari : 201 dan Muslim : 325)

*Mud ialah cupak : ukuran untuk 1 cupak : 625 gram = 750 ml.
Sho’ ialah gantang : ukurannya bersamaan dengan 4 cupak = 3 liter air
——————————————
Assalamualaikum
Bro…. Mcm mana nk tahu status hadis ni… Mohon bantu sebab nk clarify ttg penggunaan botol wudhu spray. Wudhu spray yg ada dalam pasaran sekarang… 200ml.. Yg besar sikit 300ml…. boleh ke?

JAWAPAN:

1) Hadith di atas ialah riwayat yang sahih, sepertimana ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka. Satu mud yang dimaksudkan ialah kapasiti sebanyak tadahan dua tapak tangan -Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam-.

2) Para ulama 4 mazhab berselisih pendapat mengenai kiraan berat ‘satu mud’, sekaligus ia memberi kesan kepada jumlah kapasiti air dalam bentuk timbangan moden.

3) Menurut majoriti ulama termasuk mazhab Syafi’ie, satu mud bersamaan dengan “Satu ratal(رطل) dan Satu Pertiga(ثلث) ratal” iaitu timbangan ahli Iraq. Manakala Mazhab Hanafi sebanyak 2 Ratal. Ini merupakan kiraan timbangan tradisional. (Rujuk: الفقه الإسلامي وأدلته)

4) Para ulama moden telah meneliti secara terperinci dalam menentukan timbangan satu mud dalam kiraan moden iaitu satu mud bersamaan dengan berapa dirham. Secara ringkasnya menurut mazhab Syafi’ie dan Hanbali, satu mud bersamaan dengan(lebih kurang) 509 gram, iaitu setengah kilogram.

5) Oleh itu, kiraan yang disebut di atas(bahagian soalan) adalah timbangan yang tidak berapa tepat, menurut penelitian saya di dalam kitab fiqh moden.

6) Manakala satu so’ bersamaan dengan 4 mud air, iaitu 509 darab 4, bersamaan 2036 gram air. Ini adalah kadar air mandian Rasulullah -Sallallahu ‘alaihi wa sallam- menurut mazhab Syafi’ie, begitu juga mazhab Hanbali.

7) Apa yang menjadi persoalan di sini, adakah boleh seseorang itu berwudhu’ dengan kapasiti air kurang dari 500 gram(500ml)? sedangkan jika kita lihat ramai di kalangan jemaah umrah atau haji berwudhu’ dengan menggunakan spray yang mana kapasitinya kurang dari 500ml(500gram).

8) Menurut Imam Nawawi -Rahimahullah- di dalam syarah Sahih Muslim:

فأجمع العلماء على أن الماء الذي يجزئ في الوضوء والغسل غير مقدر.

Maksudnya: “Para ulama bersepakat (kadar) air yang dikira sah untuk berwudhu’ dan mandi(wajib) ialah tidak berkadar.”

Berdasarkan kata Imam Nawawi di atas, sedikit atau banyak tidak menjadi ukuran. Apa yang penting air itu dapat meliputi seluruh anggota basuhan yang wajib.

9) Adakah kadar satu mud yang digunakan oleh Rasulullah -Sallallahu ‘alaihi wa sallam- merupakan kadar yang paling minimum yang wajib? Menurut nukilan Imam al-Hafiz Ibn al-Mulaqqin -Rahimahullah- di dalam ‘al-I’laam’:

وهذا لا معنى له؛ لأن ذلك إنما ورد على أنه إخبار عن القَدْر الذي كان يكفيه عليه السلام لا أنه لا يجزئ دونه، وإنما قصد به التنبيه على فضيلة الاقتصار وترك الإِسراف.

Maksudnya: “Ia tidak memberi makna sebegitu, ini kerana ia hanya memberitahu kadar yang mencukupi untuk Baginda -Sallallahu ‘alaihi wa sallam-, bukan bermakna kurang dari itu ia tidak sah. Namun ia hanya memberi maksud peringatan tentang kelebihan berjimat cermat dan meninggalkan pembaziran.”

10) Berdasarkan kenyataan Imam Ibn al-Mulaqqin di atas, kadar air satu mud yang digunakan oleh Baginda untuk berwudhu’ dan satu so'(2kg) untuk mandian, tidak menunjukkan kadar minimum untuk bersuci. Malah jika seeorang itu mampu berwudhu’ kurang dari 500ml dan mandi wajib kurang dari 2 kg, maka kedua-duanya tetap sah, asalkan menetapi syarat-syarat wudhu’ dan mandi wajib iaitu meratakan air pada seluruh anggota badan yang wajib dengan kadar air yang berpatutan iaitu tidak terlalu sedikit.

11) Kesimpulannya, hukum berwudhu’ dengan air spray yang ternyata kurang dari 500gram/ml hukumnya adalah sah kerana majoriti ulama tidak menghadkan kadar air yang minimum untuk bersuci.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s