HADITH AISYAH SENTUH KAKI NABI

Semalam saya terbaca satu komen(bukan status) yang menyatakan bahawa pandangan Imam Syafi’ie tentang sentuh perempuan batal wudu’ secara mutlak samaada bersyahwat atau tidak merupakan pandangan yang BERTENTANGAN DENGAN HADITH atau SUNNAH. Komen yang dimaksudkan berpandukan sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

عن عائشة رضي الله عنه قالت: فقدت رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات ليلة من الفراش فالتمسته فوقعت يدي على بطن قدميه، وهو في المسجد، وهما منصوبتان

Maksudnya: Sayyidah Aisyah Radiyallahu ‘anhu berkata, “Aku kehilangan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam pada suatu malam, maka aku pergi mencarinya lalu kedua-dua tanganku terkena di bawah kedua-dua perut telapak kaki Baginda sedangkan ketika itu baginda sedang sujud dan kedua-dua telapak kakinya tegak”.

Saya tidak mahu membahaskan perincian khilaf antara ulama dalam mentafsirkan hadith di atas. Semua sedia maklum bahawa isu sentuhan antara lelaki dan wanita juga diperselisihkan oleh para ulama mazhab. Seperti sedia maklum mazhab Syafi’ie ia membatalkan secara mutlak.

Sememangnya pada zahir hadith di atas tampak mazhab Syafi’ie dalam isu ini seolah-olah bertentangan dengan zahir hadith, ekoran dari ini maka timbul pelbagai persepsi yang kurang enak didengar antaranya, “Imam Syafi’ie tidak temui hadith ini”, “Nak ikut Imam Syafi’ie ke, nak ikut Nabi?”, “Imam Syafi’ie cakap kalau pendapat aku bertentangan dengan hadith, maka campak lah pandangan aku”.

Apa pun sebagai seorang muslim mestilah menjaga lidahnya agar tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya terutamanya kata-kata yang berbaur penghinaan terhadap ulama, apatah lagi mereka yang tidak berilmu pengetahuan iaitu maklumat yang didapati bergantung kepada garapan mana-mana ilmuan yang dikongsi melalui status facebook.

Sepatutnya tindakan yang diambil adalah terus belajar dan menekuni setiap sudut ilmu semampu mungkin yang mana bakal menghasilkan sikap tawaddu’ dan rendah diri melalui tuntutan ilmu yang dilalui dengan cara yang betul.

PENDIRIAN ULAMA MAZHAB SYAFI’IE TENTANG HADITH AISYAH

Jika merujuk kepada rujukan utama mazhab Syafi’ie antara al-Majmu’ karangan Imam Nawawi bahawa sentuhan Sayyidah Aisyah itu berlaku dalam keadaan berlapik. Ini adalah asas pentakwilan para ulama mazhab Syafi’ie mengenai hadith tersebut. Namun apakah asas yang mendasari pentakwilan ini?

Pentakwilan ini boleh didasari dengan merujuk beberapa hadith sahih yang meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengerjakan solat dengan memakai khuf(sepatu kulit) dan selipar sepertimana yang dinyatakan di dalam hadith:

عن ابن مسعود رضى الله عنه قال لقد رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلى فى الخفين والنعلين. رواه الإمام أحمد في مسنده

Maksudnya: Saidina Ibn Mas’ud Radiyallahu ‘anhu berkata, “Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengerjakan solat dengan memakai khuf dan selipar”. Hadith riwayat Imam Ahmad.

Selain daripada itu, ada riwayat yang mana Baginda sendiri menggalakkan para sahabat mengerjakan solat dengan memakai khuf atau selipar:

عن شداد بن أوس رضي الله عنهما عن أبيه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: خالفوا اليهود فإنهم لا يصلون في نعالهم ولا خفافهم. رواه أبو داود

Maksudnya: Saidina Syaddad bin ‘Aus Radiyallahu ‘anhu meriwayatkan dari ayahandanya berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Bercanggah lah dengan golongan Yahudi, sesungguhnya mereka bersembahyang tidak memakai selipar dan khuf”. Hadith riwayat Imam Abu Daud.

Hadith diatas membuktikan bahawa disunatkan memakai khuf atau selipar ketika mengerjakan solat lebih-lebih lagi berniat untuk bercanggah dengan amalan orang Yahudi. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sangat mengambil berat terhadap gaya hidup iaitu baginda tidak suka menyerupai cara hidup golongan Yahudi, apatah lagi gaya ibadah mereka. Hadith menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sering solat dengan mengenakan khuf atau selipar.

Selain itu ada hadith yang menunjukkan baginda mengerjakan solat di dalam masjid dengan memakai selipar, sepertimana yang diriwayatkan dalam sepotong hadith:

عن أبي سعيد الخدري، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صلى فخلع نعليه، فخلع الناس نعالهم، فلما انصرف, قال: “لم خلعتم نعالكم؟”, قالوا: يا رسول الله، رأيناك خلعت فخلعنا، قال: “إن جبرائيل أتاني فأخبرني أن بهما خبثا، فإذا جاء أحدكم المسجد فليقلب نعليه فلينظر فيهما خبث، فإن وجد فيهما خبثا فليمسحهما بالأرض، ثم ليصل فيهما”. رواه الحاكم في المستدرك وقال هذا حديث صحيح على شرط مسلم ولم يخرجاه.

Maksudnya: Saidina Abu Sa’id al-Khudri Radiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sedang mengerjakan solat lalu baginda menanggalkan kedua-dua seliparnya. Maka orang ramai turut menanggalkan selipar mereka. Setelah selesai solat baginda bertanya, “Mengapa kamu menanggalkan selipar-selipar kamu?”. Lalu orang ramai menjawab, “Wahai Rasulullah, kami melihat tuan menanggalkan selipar maka kamu pun tanggalkan ia”. Kemudian baginda bersabda, “Jibril telah kepadaku dan memberitahu bahawa ada kekotoran pada kedua-dua selipar aku, maka sesiapa di antara kamu datang ke masjid hendak dia membalikkan seliparnya dan lihat adakah ada kotoran padanya. Jika dia dapati ada kotoran maka hendak lah dia mengusapkan di atas tanah dan bersolat dengan kedua-duanya”. Hadith riwayat Imam aI-Hakim.

Imam Nawawi memberi ulasan mengenai hadith di atas, menurut beliau:

صلاته صلى الله عليه وسلم فيهما لبيان الجواز وخلعه لهما لإخبار جبريل أن فيهما أذى، وإنكاره صلى الله عليه وسلم على أصحابه لكراهة الفعل في الصلاة لغير حاجة.

Maksudnya: Solat Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan memakai selipar menjelaskan keharusannya dan baginda menanggalkan ia disebabkan pengkhabaran Jibril bahawa kedua-duanya ada kotoran. Manakala inkar Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam terhadap sahabat(menanggal selipar) disebabkan tidak gemar atas perbuatan mereka itu tanpa keperluan.

Berdasarkan hadith dan penjelasan Imam Nawawi di atas menunjukkan solat dengan beralas seperti khuf dan selipar adalah galakkan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Apabila galakan terhadap para sahabat sudah tentu baginda sering melakukannya. Namun tidak dinafikan bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam adakalanya bersolat tanpa mengenakan selipar seperti hadith yang diriwayatkan dalam sepotong hadith:

عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي حافياً ومنتعلاً. رواه أبو داود وابن ماجه.

Maksdunya: Saidina Ibn Amr bin al-‘As Radiyallahu ‘anhuma berkata, “Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengerjakan solat adakalanya tanpa memakai selipar dan adakalanya memakainya”. Hadith riwayat Imam Abu Daud dan Ibn Majah.

Sebagai penutup, pendapat yang mengatakan bahawa ketika Sayyidah Aisyah menyentuk telapak kaki Nabi Sallallahu ‘alaihi wa salam dalam keadaan berlapik didasari oleh beberapa hadith sahih yang menyatakan Baginda sering solat dengan khuf dan selipar.

Jika dinyatakan hadith Aisyah tersebut tidak menyatakan secara jelas bahawa ia dalam keadaan berlapik namun begitu juga matan hadith ini tidak menyebut secara jelas ianya tidak berlapik. jadi di sini terdapat dua kemungkinan samaada baginda memakai khuf atau selipar atau tidak sama sekali.

Oleh itu, hadith Sayyidah Aisyah -radiyallahu ‘anha- ini tidak kuat untuk dijadikan hujah bahawa tidak batal wudhu’. Ini kerana ada satu kaedah menyatakan “ان طرق الدليل الاحتمال بطل الاستدلال”, yang bermaksud “Jika sesuatu dalil mengandungi kemungkinan maka batal lah penghujahan”. Jadi hadith di atas ada dua kemungkinan, selagi ada kemungkinan yang kuat maka tidak cukup untuk sesetengah pihak mendakwa penghujahannya adalah pasti serta membatalkan dan melemahkan pandangan yang lain.

Kesimpulannya, isu ini merupakan khilaf di kalangan para ulama salaf termasuk para imam mazhab empat, sudah tentunya perbezaan pendapat ini merupakan khilaf yang muktabar di mana setiap mazhab mempunyai kekuatan hujah tersendiri.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Hadith Nabawi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s