ENGGAN BERALAH BALIK RAYA

Pagi tadi, saya memandu ke tempat pejabat sambil mendengar radio. Ada seorang pendengar meluahkan perasaan kesalnya pada isterinya yang bersikap dingin dan keras kepala yang hanya mahu meraikan hari raya di rumah ibu bapanya. Perkahwinan mereka sudah menjangkau 6 tahun, namun satu kali pun si isteri tidak memberi peluang dan hak kepada suami untuk meraikan hari raya pada awal Syawal di rumah mentua.

Kekesalan itu diluahkan kepada seorang kaunselor dan pakar motivasi yang ketika itu menjadi tetamu undangan stesen radio. Saya mendengar luahan si suami yang kedengaran agak buntu dengan sikap isterinya. Setiap kali si suami memberi cadangan agar berhari raya di rumah ibu bapanya, si isteri akan bersikap dingin dan pelbagai sikap negatif sebagai tanda protes sehingga kadangkala mencetuskan pergaduhan.

Saya tidak faham bagaimana wujudnya sikap begini di kalangan isteri atau suami, sikap yang hanya mementingkan diri sendiri. Alangkah buruknya perangai yang dibawa dan ditonjolkan oleh pasangan begini yang hanya tahu kehendaknya perlu dipenuhi tanpa memikirkan hak orang lain.

Sedarkah bahawa setiap suami dan isteri memiliki hak di antara satu sama lain, maka setiap hak itu perlu ditunaikan secara adil, firman Allah Subhanu wa Ta’ala di dalam surah al-Isra’ ayat 26:

وَآتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلاَ تُبَذِّرْ تَبْذِيراً

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”

Suami atau isteri mempunyai hak untuk berbakti dengan ibu bapa masing-masing. Di samping itu, ibu bapa mentua juga diketogarikan sebagai kaum kerabat pada seseorang menantu yang berhak untuk mendapat hak mereka masing-masing. Maka setiap pasangan perlu memainkan peranan yang penting untuk menyambung tali silaturrahim di antara pasangannya dengan ibu bapa danahli keluarganya.

Sheikh Ibnu ‘Asyur mentafsirkan ayat suci ini dengan katanya:

وللقرابة حقّان: حق الصلة، وحق المواساة

Maksudnya: “Kaum kerabat berhak memiliki dua hak: iaiti hak silaturrahim dan hak persamaan.” (Rujuk: al-Tahrir wa al-Tanwir)

Jadi setiap suami atau isteri berhak dan wajib diberi hak secara saksama, termasuk lah urusan pulang ke kampung pada cuti hari raya. Setiap hak-hak kaum kerabat perlu disalurkan secara adil dan saksama, firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam surah al-Nahl, ayat 90:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلإحْسَانِ وَإِيتَآءِ ذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَاءِ وَٱلْمُنْكَرِ وَٱلْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

Menurut Sheikh Ibnu ‘Asyur lagi dalam mentafsirkan ayat suci ini:

والعدل: إعطاء الحقّ إلى صاحبه. وهو الأصل الجامع للحقوق الراجعة إلى الضروري والحاجي من الحقوق الذاتية وحقوق المُعاملات، إذ المسلم مأمور بالعدل في ذاته

Maksudnya: “Adil bermaksud memberi hak kepada tuannya, ini adalah asas yang menyeluruh bagi hak-hak yang merujuk kepada keperluan dan hajat samaada hak-hak yang terdiri daripada hak individu dan perhubungan(muamalat), di mana seorang muslim diperintahkan untuk berlaku adil.” (Rujuk: al-Tahrir wa al-Tanwir)

Sedarlah wahai si isteri, antara kewajipan anda adalah taat kepada perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat dan menjurus kepada kemaksiatan, sebagai mana yang termaktub di dalam hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا. رواه الترميذي في سننه, كتاب الرضاع, باب ما جاء في حق الزوج على المرأة, وقال حديث حسن غريب.

Maksudnya: “Jika aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang lain, tentu aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud kepada suaminya.” Hadith riwayat Imam Tirmizi, beliau menilainya sebagai hadith hasan gharib.

Antara kewajipan seorang isteri terhadap suaminya ialah memberi hak suaminya yang sepatutnya. Jika seseorang tidak menunaikan hak suaminya, maka diumpamakan tidak menunaikan hak Allah SWT, sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا وَلَا تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى لَوْ سَأَلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى ظَهْرِ قَتَبٍ لَأَعْطَتْهُ إِيَّاهُ. رواه الإمام أحمد في مسنده, أول مسند الكوفيين, حديث عبد الله بن أبي أوفى رضي الله تعالى عنه

Maksudnya: “Jika aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang lain, tentu aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud kepada suaminya. Tidaklah seorang wanita itu menunaikan seluruh hak Allah Subhanahu Wa Ta’ala, melainkan dia menunaikan hak suaminya, meskipun si suami memintanya untuk melayaninya sementara dia berada di atas pelana unta, maka dia(isteri) perlu melayaninya.”

Jangan hanya ingin menurut kehendak dan kepentingan diri sendiri, si Isteri atau suami tergamak memutuskan atau menjejaskan hubungan silaturrahim di antara pasangannya dengan ibu bapa dan keluarganya.

Banyak ayat-ayat suci yang mengecam sesiapa melakukan perkara yang menjurus kepada pemutusan silaturrahim terutama di antara ahli keluarga. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 27:

ٱلَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ ٱللَّهِ مِن بَعْدِ مِيثَٰقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي ٱلأرْضِ أُولَـۤئِكَ هُمُ ٱلْخَٰسِرُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang mencabuli perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara(silaturrahim) yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.”

Terdapat sepotong hadith baginda SAW yang mengecam pemutus silaturrahim yang berbunyi:

إِنَّ جُبَيْرَ بْنَ مُطْعِمٍ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ. رواه البخاري في صحيحه, كتاب الأدب, باب إثم القاطع

Maksudnya: Jubair bin Mut’im RA mengkhabarkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan tali silaturrahim.” Hadith riwayat Imam Bukhari.

والله أعلم

أبو رقية باعلوي, كوالا لمبور, 25 رمضان 1434

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Pendapat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s