JAMAK, QASAR & KAMPUNG HALAMAN

 

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz. boleh saya tanya kemusykilan jamak qasar? betul ke tak boleh lagi jamak qasar di kampung halaman? cth saya sekarang tinggal di subang jaya bila balik kampung saya di taiping tak boleh jamak qasar sebab itu tempat asal dan lahir saya. Harap ustaz dapat jelaskan. terima kasih.

JAWAPAN:

1) Apabila seseorang itu mencukupi syarat musafir yang telah ditetapkan maka dia layak untuk mendapat keringanan dari syarak untuk melaksanakan solat musafir(jamak dan qasar), iaitu keluar dari kawasan mukim, jarak destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah, tidak berniat bermukim di destinasi dan tujuan musafir itu mestikan yang diharuskan bukan tujuan maksiat.

2) Namun seseorang yang bermusafir tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat musafir(jamak & qasar) apabila tiba di kampung halaman atau tempat tinggal tetapnya atau lebih dikenali sebagai istilah WATAN ASLI dalam istilah fiqh. Menurut kitab “Mausu’ah Kuwaitiyyah”, definisi WATAN ASLI adalah:

الوطن الأصلي هو المكان الذي يستقر فيه الإنسان بأهله، سواء أكان موطن ولادته أم بلدة أخرى، اتخذها دارا وتوطن بها مع أهله وولده، ولا يقصد الارتحال عنها، بل التعيش بها.

Maksudnya: “Watan asli ialah tempat seseorang insan menetap bersama keluarganya, samaada samaada tempat kelahirannya atau negeri lain yang dia jadikan tempat bermustautin bersama isteri dan anaknya dan tidak bermaksud meninggalkan tempat (baru) bahkan berniat terus hidup di situ.”

3) Oleh itu watan asli bukan hanya tertakluk pada kampung asal atau kelahiran seseorang, bahkan tempat yang seseorang telah berniat untuk tinggal selama-lamanya. Perkara ini juga ada dijelaskan dalam kitab “Mausu’ah Kuwaitiyyah”:

أنّ الوطن الأصليّ يتحقّق عند أغلب الفقهاء بالإقامة الدّائمة على نيّة التّأبيد ، سواء أكان في مكان ولادته أم في مكان آخر ، ويلحق بذلك مكان الزّوجة

Maksudnya: “Sesungguhnya watan asli termetrai menurut majoriti ulama adalah bermukim secara tetap dengan niat tinggal selama-lamanya samaada di tempat kelahirannya atau tempat lain, termasuk juga tempat (asal) isteri.”

4) Malah mazhab Syafi’ie menambah syarat watan asli ialah seseorang itu perlu tinggal ditempat itu sekurang-kurangnya dalam tempoh musim panas dan musim sejuk, iaitu tanpa berpindah dari tempat itu melainkan keluar atas sebab hajat seperti berniaga dan ziarah (rujuk: Mughni al-Muhtaj). Ini bermakna selain dari berniat untuk tinggal selamanya di satu tempat, dia juga mesti menetap di situ melepasi tempoh musim panas dan musim sejuk. Mazhab Hanbali sependapat dengan mazhab Syafi’ie dalam hal ini (Rujuk: Mausu’ah).

5) Jika seseorang berwatan aslikan kampung halamannya, ia boleh dibatalkan dengan perpindahan ke tempat yang baru dengan niat untuk menetap di situ selama-lamanya dan bukan lagi menetap di kampung halamannya seperti dahulu. Maka dalam situasi ini kampung halamannya bukan lagi watan asli, maka bila dia pulang menziarahi ibu bapa dan sanak saudara dia boleh bersolat musafir(jamak & qasar) selagi mana dia tidak berniat mukim di situ iaitu menetap dalam tempoh 4 hari atau lebih. Perkara ini juga dijelaskan di dalam “Mausu’ah Kuwaitiyyah”:

الوطن الأصليّ ينتقض بمثله لا غير، وهو أن يتوطّن الإنسان في بلدة أخرى وينقل الأهل إليها من بلدته مضرباً عن الوطن الأوّل ، ورافضاً سكناه ، فإنّ الوطن الأوّل يخرج بذلك عن أن يكون وطناً أصليّاً له ، حتّى لو دخل فيه مسافراً لا تصير صلاته أربعاً

 Maksudnya: “Watan asli terbatal dengan yang setara dengannya, tidak (terbatal) selain darinya, iaitu seseorang bermustautin di satu tempat lain dan memindahkan keluarganya ke situ dari tempat asalnya dalam keadaan menjauhkan diri dari tempat yang pertama(asal) dan enggan lagi tinggal di situ. Maka tempat yang pertama(asal) tidak lagi menjadi watan asli baginya, meskipun dia masuk ke tempat itu dalam keadaan musafir maka solatnya tidak menjadi 4 rakaat(iaitu boleh diqasarkan).”

6) Jika seseorang menetap atau bermukim dalam tempoh yang sementara di mana dia berniat bahawa sesudah menetap di tempat itu dalam tempoh tertentu, dia akan kembali ke kampung halamannya untuk menetap di sana kembali. Dalam situasi ini, penempatan barunya itu tidak menjadi watan asli yang baru, malah kampung halamannya tetap kekal sebagai watan asli. Jadi dia tidak boleh bersolat musafir setibanya di kampung halaman, meskipun tidak berniat mukim di situ. Kitab “Mausu’ah Kuwaitiyyah” ada menjelaskan perkara ini:

ولا ينتقض الوطن الأصلي بوطن الإقامة، ولا بوطن السكنى؛ لأنهما دونه، والشيء لا ينسخ بما هو دونه، وكذا لا ينتقض بنية السفر والخروج من وطنه حتى يصير مقيما بالعودة من غير نية الإقامة.

Maksudnya: “Tidak terbatal watan asli dengan watan iqamah begitu juga dengan watan sukna kerana kedua-duanya kurang darinya(tidak setanding atau setara), sesuatu itu tidak dimansukhkan dengan perkara yang lebih berkurangan darinya. Begitu juga tidak terbatal dengan niat musafir dan keluar dan tempat asalnya sehingga menjadi bermukim dengan pulang tanpa berniat mukim.”

7) Kaedah untuk menyingkap kemusykilan ini maka perlulah merujuk kepada beberapa situasi. Jika seseorang itu berpindah ke tempat baharu dan BERNIAT untuk menjadikan tempat itu sebagai tempat mustautinnya yang baru iaitu watan asli dan BERNIAT tidak akan kembali ke kampung halaman kecuali ziarah sahaja. Maka kampungnya bukan lagi watan asli, apabila di pulang ke kampung dalam tempoh musafir maka dia layak untuk menjamak dan qasar solatnya di kampung.

8) Namun jika seseorang berpindah ke tempat baharu secara sementara bahawa satu ketika dia BERNIAT akan kembali pulang dan bermastautin semula di kampung halaman, jadi situasi ini apabila dia tiba di kampung halaman maka dia tidak layak untuk solat musafir di kampung walaupun menetap di sana dalam tempoh kurang dari 4 hari.

9) Situasi pertama boleh dikaitkan seperti mereka yang berasal dari kampung berhijrah untuk mencari rezeki di bandaraya, lalu membawa keluarganya atau berkahwin di situ dan dikurniakan anak semasa bermastautin di bandaraya serta membeli rumah dan hartanah di situ. Golongan seperti ini biasanya memang berniat bermastautin di situ dan tidak akan kembali bermastautin di kampung halaman. Apabila pulang bercuti kurang tempoh 4 hari, mereka layak untuk jamak dan qasar solat di kampung halaman mereka.

10) Manakala situasi kedua boleh disamakan dengan pelajar-pelajar universiti yang menyambung pengajian di institut yang jauh dari kampung halamannya. Selain itu mereka yang dihantar luar dari negerinya atas tugasan khas untuk beberapa tahun seperti guru-guru dari semenanjung yang dihantar bertugas di Sabah dan Sarawak. Golongan seperti ini kebiasaannya berniat untuk menetap dalam tempoh yang sementara waktu di tempat pengajian atau tempat tugasan mereka. Apabila pulang bercuti kurang tempoh 4 hari sekali pun mereka tidak layak untuk jamak dan qasar solat di kampung halaman mereka.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

 

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s