HUKUM ZIHAR

SOALAN INBOX:

Assalamualaikum ustaz..mohon penjelasan dari ustaz..saya perlu tau pasal hukum zihar sebab kakak saya baru berkawin..hari tu suami dia cakap pada dia yg dia ada tengok gambar arwah nenek dia.. suami dia kata muka kakak saya ada iras2 muka arwah nenek dia. setahu saya kalau samakan muka isteri dengan ibu dan nenek kira macam zihar?… kalau zihar dikira jatuh talak?mohon pencerahan ustaz secepat mungkin..mohon maaf dn terima kasih.

JAWAPAN:

1) Zihar bermaksud seorang suami menyamakan isterinya dengan salah seorang mahramnya seperti ibu, kakak, nenek dan seumpamanya untuk tujuan berpisah dengan si isteri.

2) Zihar merupakan adat masyarakat jahiliyyah yang diamalkan untuk berpisah dengan isterinya dan menggantung isteri agar tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki lain. Apabila berlakunya zihar maka haram lelaki itu bersetubuh dengan isterinya sehingga kaffarah ditunai.

3) Amalan zihar adalah perkara yang dilarang sama sekali oleh Islam dan ia merupakan dosa yang sangat besar kerana ia berbentuk penganiayaan terhadap si isteri. Ini kerana isteri tidak boleh disentuh oleh suaminya dan juga tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki lain disebabkan zihar bukan lah talak atau cerai.

4) Memandangkan zihar ini adalah adat masyarakat jahiliyyah maka ulama fiqh telah menentukan lafaz-lafaz tertentu yang dianggap zihar dan seumpamanya. Oleh itu lafaz zihar terbahagi kepada dua jenis, pertama: sarih(jelas) dan kedua: kinayah(kiasan).

5) Lafaz sarih adalah lafaz si suami ditujukan pada isterinya dengan menyatakan, “Kau haram bagiku seperti haramnya belakang(zahr) ibuku”, atau “Kau seperti belakang ibuku”. Maka lafaz sarih ini dikira sebagai zihar walaupun tidak berniat zihar kerana lafaz sarih pada zihar tidak memerlukan niat. Jadi apabila terujar lafaz sebegini maka dikira sebagai zihar.

6) Namun lafaz ini dikira agak mustahil berlaku dalam masyarakat Islam Melayu kerana ia tidak menjadi ujaran atau sebutan dalam adat istiadat masyarakat kita. Tetapi jika bernar-benar terlafaz maka termetrailah hukum zihar ke atas suami dan Isteri walaupun tanpa niat zihar.

7) Manakalah lafaz kinayah tidak dikira sebagai zihar melainkan si suami melafazkan lafaz kinayah itu dengan tujuan menziharkan isteri. Contoh lafaz kinayah seperti, “Tangan awak seperti tangan ibu saya”, “Muka awak macam muka ibu saya lah”, “Kulit dan muka awak sebijik macam nenek saya masa muda-muda dulu”. Contoh lafaz ini biasa berlaku dalam masyarakat kita.

8) Namun begitu tidak perlu dirisaukan, lafaz kinayah tidak akan dikira sebagai zihar melainkan si suami benar-benar berniat untuk menziharkan isterinya. Apa pun lafaz-lafaz kinayah seperti di atas kebiasaannya dalam adat Melayu bermaksud memuliakan si isteri sepertimana si suami memuliakan ibu dan neneknya, niat seperti ini tidak dikira sebagai zihar. Fakta ini adalah disebut dengan jelas di dalam kitab “al-Fiqh al-Manhjai”:

فإن قصد بها الظهار كان مظاهرا, وإن كان قصد بها تشبيه زوجته بأمه أو أخته في الكرامة والتقدير لم يكن مظاهرا وليس عليه شيء أبدا

Maksudnya: “Jika seorang suami bermaksud ZIHAR dengan lafaz itu maka (bermakna) dia adalah penzihar. Jika dia bermaksud menyamakan isterinya dengan ibunya atau kakaknya pada sudut kemuliaan dan penghargaan maka dia bukan lah penzihar dan tiada apa-apa kesan pun sama sekali”.

9) Secara umumnya zihar tidak sama dengan talak iaitu apabila zihar dengan lafaz sarih termetrai maka tidak terjatuh talak, cuma suami isteri diharamkan bersetubuh sehingga lah si suami melunaskan kaffarah. Namun jika dengan lafaz kinayah yang sesuai dilafazkan oleh si suami dengan niat untuk mentalaqkan isteri maka jatuhlah talak dan dikira sebagai talaq satu.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s