ADAKAH WAJIB BERNIAT IMAM?

SOALAN INBOX:

ASSALAMUALAIKUM ustaz, maaf bertanya… kalau saya solat sorang-sorang tiba-tiba ada orang ikut saya kat belakang jadi makmum. wajib ke saya berniat jadi imam?

JAWAPAN:

1) Menurut mazhab Syafi’ie imam tidak wajib berniat untuk menjadi imam di dalam solat berjemaah. Sekiranya imam tidak berniat begitu maka solat jemaah tetap sah. Perkara ini ada dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab “al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

في مذاهب العلماء في نية الإمامة، ذكرنا أن المشهور من مذهبنا أنه لا يشترط لصحة الجماعة

Maksudnya: “Berkenaan pandangan ulama mazhab mengenai niat menjadi imam(solat jemaah), telah kami nyatakan sesungguhnya yang masyhur menurut mazhab kami bahawa tidak disyaratkan untuk sahnya solat jemaah”.

2) Namun begitu, jika seseorang itu tidak berniat untuk menjadi imam dalam solat berjemaah maka dia tidak mendapat pahala solat berjemaah, tetapi solatnya tetap sah. Perkara ini ada dinyatakan di dalam kitab “Umdah al-Salik”:

ﻭﻟﻴﻨﻮ اﻹﻣﺎﻡ اﻹﻣﺎﻣﺔ، ﻓﺈﻥ ﺃﻫﻤﻠﻪ اﻧﻌﻘﺪﺕ ﻓﺮاﺩﻯ، ﻭﺻﺢ اﻻﻗﺘﺪاء ﺑﻪ، ﻭﻓﺎﺕ اﻹﻣﺎﻡ ﺛﻮاﺏ اﻟﺠﻤﺎﻋﺔ، ﻭﻳﺸﺘﺮﻁ ﻧﻴﺔ اﻹﻣﺎﻣﺔ ﻓﻲ اﻟﺠﻤﻌﺔ.

Maksudnya: “Seorang imam hendaklah berniat imam, jika dia meninggalkan ia(niat imam) maka solat itu dikira sebagai solat sendirian dan sah solat jemaah dengannya, manakala imam terlepas pahala berjemaah. Disyaratkan niat imam pada solat Jumaat”.

3) Manakala makmum pula, wajib berniat mengikut imam atau menjadi mampu dalam solat, jika tidak berniat makmum maka solatnya tidak sah melainkan dia solat bersendirian tanpa mengikut pergerakan imam. Perkara ini juga disebut di dalam kitab “Umdah al-Salik”:

ﺃﻥ ﻳﻨﻮﻱ اﻟﻤﺄﻣﻮﻡ اﻻﻗﺘﺪاء، ﻓﺈﻥ ﺃﻫﻤﻠﻪ اﻧﻌﻘﺪﺕ ﻓﺮاﺩﻯ، ﻓﺈﻥ ﺗﺎﺑﻊ ﺑﻼ ﻧﻴﺔ ﺑﻄﻠﺖ ﺻﻼﺗﻪ

Maknanya: “Makmum mestilah berniat mengikut imam, jika dia meninggalkan ia(niat makmum) maka solatnya menjadi solat bersendirian, jika dia mengikuti (perbuatan solat) imam maka batal solatnya”.

4) Bagaimana kalau seseorang sedang solat bersendirian, tiba-tiba beliau diikuti dibelakangnya tanpa dia sedari, sedangkan dia tidak berniat menjadi imam. Adakah dia dikira mendapat pahala jemaah walaupun tidak berniat menjadi imam? permasalahan ini ada dijawab oleh imam Nawawi di dalam kitab al-Majmuk:

قال القاضي حسين: فيمن صلى منفردا، واقتدى به جمع ولم يعلم بهم، ينال فضيلة الجماعة، لأنهم نالوها بسببه

Maksudnya: “Menurut Qadhi Husein pada sesiapa yang solat secara bersendirian, kemudian sekumpulan datang berjemaah dengannya sedangkan dia tidak mengetahui(menyedari), maka dia tetap mendapat fadilat(pahala) berjemaah kerana mereka mendapat fadilat itu dengan sebabnya”.

5) Kesimpulannya, seseorang yang ingin mengimami sesuatu solat tidak diwajibkan berniat imam di dalam hati, jika imam tidak berniat imam solatnya dan para jemaah sah, bahkan para jemaah tetap mendapat pahala jemaah. Namun imam digalakkan untuk berniat imam agar dia turut sekali mendapat fadilat tersebut. Manakala solat Jumaat, imam wajib berniat imam, jika tidak solat Jumaat tidak sah.

6) Oleh itu sesiapa yang solat bersendirian dan dia menyedari ada orang lain mengikutinya sebagai berjemaah maka dia digalakkan untuk berniat imam di dalam hati untuk memastikan dia turut mendapat fadilat berjemaah.

7) Adakalanya berlaku seseorang itu tidak berminat untuk diikuti oleh seseorang di belakangnya sedangkan dia menyedari keadaan itu. Ini dapat dikesan melalui tindak tanduknya yang mana dia dengan sengaja tidak menguatkan suaranya agar takbir intiqal(perpindahan) tidak didengari oleh orang di belakangnya. Dalam situasi ini solat jemaah ini tetap sah, namun fadilat jemaah hanya didapati oleh makmum di belakang tidak pada si imam.

Advertisements

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s