BERMUAMALAT HASIL RIBA ATAU HARAM

SOALAN INBOX:

Ustaz, boleh ke kalau berniaga, kita jual produk kat orang. Lepas tu, orang tu bayar produk tu, tapi dia buat loan bank… So, dia terlibat dengan riba’… Kita ni macam mana pula? Dapat income dari dia sebab riba’?
.

JAWAPAN:

1) Pada asasnya Islam mengharamkan umatnya bermuamalat dengan harta yang haram, iaitu harta yang berintipati haram(عين الحرام). Sebagai contoh seseorang itu tidak boleh memberi barangan hasil curi, atau menerima wang hasil curi kerana ia adalah harta yang sememangnya bersumberkan haram.

2) Namun jika harta yang haram bercampur dengan halal maka diharuskan untuk mengambil atau bermuamalat(berjual beli) dari harta tersebut. Contoh Ahmad menjual barangannya kepada seseorang yang bekerja tetapi kaki judi, ini kerana tidak semua hartanya bersumberkan judi bahkan sebahagian dari gajinya yang halal, maka hukumnya tidak haram. Melainkan dapat dipastikan bahawa duit tersebut berasal dari hasil judi, maka hukumnya haram menerimanya. Fakta ini dinyatakan oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti di dalam karangannya “al-Asybah wa al-Nazoir”:

مثل معاملة من أكثر ماله حرام ولم يتحقق أن المأخوذ من ماله عين الحرام فلا تحرم مبايعته لإمكان الحلال وعدم تحقق التحريم، ولكن يكره خوفا من الوقوع في الحرام

Maknanya: “Seperti bermuamalat dengan harta seseorang yang kebanyakkannya haram, dalam keadaan tidak dapat dipastikan (harta) yang diambil itu dari hartanya yang sumber haram maka hukumnya tidak haram (bermuamalat) kerana berkemungkinan halal dan tidak dapat dipastikan pengharamannya, akan tetapi makruh kerana ditakuti terjebak dalam perkara yang haram”.

3) Menurut Imam Suyuti harta yang bercampur-campur dari hasil yang haram dimakruhkan untuk menerimanya namun ia tidak sampai kepada hukum haram. Melainkan dikenalpasti bahawa harta itu benar-benar tulus dari sumber yang haram dan tidak bercampur dengan harta yang halal, maka hukumnya haram untuk bermuamalat dan menerima harta itu.

4) Dalil keharusan bermuamalat dan menerima harta yang bercampur dengan benda haram berdasarkan hadith bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- pernah bermuamalat dengan Yahudi yang mana kebiasaan mereka berinteraksi dengan sistem riba dan rasuah. Namun tidak dinafikan sebahagian harta mereka bersumberkan yang halal.

5) Berbalik kepada soalan di atas, muamalat riba secara qat’ie adalah satu dosa besar di sisi Allah. Secara jelasnya hukum riba adalah haram, manakala sesiapa yang terlibat dengan riba turut mendapat dosa iaitu bukan hanya peminjam dan pemiutang, malah saksi, tukang tulis.

6) Perlu diperhatikan, Islam mengharuskan berhutang namun mengharamkan sekeras kerasnya sebarang unsur riba di dalam pinjaman. Jika seseorang itu meminjam wang yang melalui akad riba maka hukumnya berdosa. Namun dia berhak umum meminjam dan wajib memulangkan jumlah yang dipinjam namun haram jika dia membayar jumlah faedah pinjaman itu.

7) Jika seorang pemiutang bertaubat dari memakan hasil riba maka masih berhak untuk mendapat harga pokok yang dia berikan kepada peminjam. Ini bermakna harga pokok itu ialah halal bukan haram sepertimana yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah, ayat 279:

وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لا تَظْلِمُونَ وَلا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”.

8) Berdasarkan ayat di atas harta pokok(tidak termasuk faedah pinjaman) adalah halal, yang haram adalah mengambil manfaat atau menggunakan faedah pinjaman(riba). Oleh itu, seseorang yang meminjam wang melalui sistem riba maka harga pokok pinjaman itu halal, namun yang dia tetap berdosa kerana menjebakkan diri dengan sistem riba. Manakala pemiutang juga berdosa namun jika dia bertaubat maka dia berhak untuk mendapat kembali harta pokok yang dipinjamkan.

9) Berdasarkan situasi di atas harta pokok yang dipinjam adalah halal dan yang haram ialah faedah pinjaman. Oleh itu mengambil manfaat dari hari harta pokok adalah halal tetapi faedah pinjaman adalah haram untuk dimanfaatkan samaada menerima atau bermuamalat. Jadi tiada masalah menerima bayaran dari orang yang meminjam wang melalui sistem riba. Begitu juga tidak haram menerima atau bermuamalat dengan pemiutang yang memakan riba kerana hartanya tidak kesemuanya haram namun ia hanya bercampur dengan hasil haram, tetapi hukumnya makruh di sisi kebanyakkan para ulama.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Advertisements

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s