KEDUDUKAN TANGAN KETIKA ANGKAT TAKBIR

1) Secara ringkas kedudukan tangan ketika bertakbir dalam solat menurut mazhab Syafi’ie telah dijelaskan oleh Imam Syafi’ie -Radiyallahu ‘anhu- sendiri di dalam karya beliau “kitab al-Umm”, kata beliau:

يرفع المصلي يديه إذا افتتح الصلاة حذو منكبيه وإذا أراد أن يركع وإذا رفع رأسه من الركوع رفعهما كذلك

Maksudnya: “Seseorang yang bersolat mengangkat kedua-dua tangannya ketika memulakan solat sejajar dengan kedua-dua bahunya, begitu juga apabila memulakan rukuk, mengangkat kepalanya dari rukuk sambil mengangkat kedua-duanya seperti itu(sejajar dengan bahu)”.

2) Kedudukan tangan pada paras bahu ketika bertakbir berdasarkan hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam:

عَنْ ابنِ عُمَرَ -رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا- (أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا اِفْتَتَحَ اَلصَّلَاةَ وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ اَلرُّكُوعِ) مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Maksudnya: Saidina Ibnu Umar Radiyallaahu ‘anhuma meriwayatkan, “Bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua bahunya ketika baginda memulakan solat, ketika bertakbir untuk rukuk dan ketika mengangkat kepalanya dari rukuk”. (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

3) Namun terdapat riwayat lain yang menunjukkan bahawa kedudukan tangan ketika bertakbir bukan hanya pada posisi yang sejajar dengan bahu, malah ada riwayat lain yang menyebut pada posisi yang sejajar dengan kedua-dua telinga, seperti riwayat di bawah ini:

عن وَائِلُ بْنُ حُجْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ دَخَلَ فِي الصَّلَاةِ كَبَّرَ حِيَالَ أُذُنَيْهِ. رواه مسلم

Maksudnya: “Saidina Wael bin Hujr Radiyallahu ‘anhu meriwayat bahawa beliau melihat Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengangkat tangan ketika memulakan solat, bertakbir sejajar dengan kedua-dua telinga baginda”. (Hadith riwayat Imam Muslim)

4) Meskipun Imam Syafi’ie -Radiyallahu ‘anhu- menyatakan posisi tangan sejajar dengan kedua-dua bahu, namun ia adalah kata-kata ringkas yang memerlukan penafsiran daripada para ulama mazhab Syafi’ie. Terdapat riwayat Imam Syafi’ie sendiri yang menjelaskan kedudukan sebenar tangan ketika bertakbir. Sepertimana riwayat yang dinukilkan oleh Imam al-Haramain al-Juwaini -Rahimahullah- di dalam karangan beliau “Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab” yang menjelaskan lebih terperinci:

فقال الشافعي: إني أرى أن يرفع يديه بحيث يحاذي أطراف أصابعه أذنيه، ويحاذي إبهاماه شحمة أذنيه، وتحاذي ظهور كفه منكبيه.

Maksudnya: “Maka Al-Syafi’ie berkata: Aku berpendapat bahawa seseorang itu mengangkat kedua-dua tangannya yang mana hujung jari-jarinya sejajar dengan kedua-dua telinganya dan kedua-dua ibu jarinya sejajar dengan kedua-dua cuping telinganya. Manakala zahir telapak tangannya sejajar dengan kedua-dua bahunya”.

5) Pandangan Imam Syafi’ie sebenarnya menghimpunkan kedua-dua riwayat hadith yang menceritakan sifat angkat tangan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, iaitu riwayat paras bahu dan paras telinga, maka menghasil pandangan beliau sepertimana yang dinyatakan di atas.

6) Dalam kitab al-Majmu’, Imam Nawawi -Rahimahullah- menjelaskan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’ie mengenai kedudukan tangan ketika bertakbir adalah:

والمذهب أنه يرفعهما بحيث يحاذي أطراف أصابعه أعلى أذنيه وإبهاماه شحمتي أذنيه وراحتاه منكبيه وهذا معنى قول الشافعي والأصحاب رحمهم الله يرفعهما حذو منكبيه.

Maksudnya: “Mazhab yang muktamad, sesungguhnya seseorang mengangkat kedua-dua tangannya yang mana hujung jari-jarinya sejajar dengan kedua-dua telinganya yang paling atas. Kedua-dua ibu jarinya sejajar dengan kedua-dua cuping telinganya. Manakala (bahagian) telapak kedua-dua tangannya sejajar dengan kedua-dua bahunya, inilah makna kata-kata al-Syafi’ie dan ulama-ulama mazhab Syafi’ie(Ashabul Wujuh) –semoga Allah merahmati mereka semua- (yang menyatakan) mengangkat kedua-dua tangan sejajar dengan kedua-dua bahunya”.

7) Jelas apa yang dinyatakan oleh Imam Nawawi -Rahimahullah- bahawa muktamad di dalam mazhab Syafi’ie, kedudukan kedua-dua tangan ketika bertakbir BUKAN BENAR-BENAR pada paras atau sejajar dengan kedua-dua bahu SAHAJA, malah Imam Syafi’ie -Radiyallahu ‘anhu- meraikan kedua-dua riwayat hadith dengan menghimpunkan kedua-duanya. Oleh yang demikian, kedudukan tangan menurut mazhab Syafi’ie lebih tinggi dari paras bahu, iaitu jari-jari tangan sejajar dengan bahagian atas telinga, manakala ibu jari di paras cuping telinga dan telapak tangan sejajar dengan kedua-dua bahu.

Wallahu A’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Advertisements

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s