IMAM SYAFI’IE DAN AL-UMM

1) Kitab al-Umm ditulis oleh Imam Syafi’ie -رضي الله عنه- sebelum beberapa tahun beliau berhijrah ke Mesir. Ini bermakna kitab tersebut bukan dikarang sepenuhnya di Mesir, Imam Syafi’ie mula menulis ketika di Iraq lagi.

2) Keberadaan Imam Syafi’ie di Mesir lebih kurangi 5 tahun dan Imam Syafi’ie meninggal dunia ketika usia yang agak muda iaitu 54 tahun kerana menghidap penyakit buasir yang kronik. Ini menunjukkan kitab al-Umm berjaya dilengkap oleh beliau sehingga merangkumi seluruh bab-bab fiqh dalam tempoh beberapa tahun sahaja(betapa hebatnya beliau).

3) Sudah menjadi adat setiap para ulama mujtahid -رضي الله عنهم- yang mana mereka sering merombak pandangan atau fatwa mereka termasuklah Imam Syafi’ie. Sehingga ada di antara imam mujtahid memiliki lebih dari dua fatwa dalam satu-satu masalah antaranya Imam Ahmad bin Hanbal -رضي الله عنه-.

4) Meskipun fatwa-fatwa terbaharu Imam Syafi’ie berjaya dilakar oleh beliau di dalam kitab al-Umm, sekaligus membatalkan fatwa-fatwa lama beliau di Iraq. Namun begitu bukan bermakna beliau masih tidak merubah fatwa-fatwa baharu beliau di Mesir. Malah terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa Imam Syafi’ie banyak merubah fatwa-fatwa baharunya di Mesir dengan pandangan yang lain, iaitu qaul jadid membatalkan qaul jadid.

5) Sesiapa yang membaca sejarah ilmuan silam, kebanyakkan mereka mengarang sesebuah karya memerlukan masa yang panjang, meskipun sesuatu kitab itu sudah siap dikarang dalam masa yang singkat, namun proses penambahbaikkan tetap diteruskan oleh penulis sendiri. Sebagai contoh kitab Muwatta’, Imam Malik -ضي الله عنه- mengarang kitab ini dalam tempoh yang cukup lama, meskipun telah siap awal, namun penapisan dan suntingan tetap berlaku dalam tempoh yang panjang.

6) Jika ditakdirkan umur Imam Syafi’ie dipanjangkan oleh Allah ta’ala, para ulama yakin bahawa Imam Syafi’ie pasti akan melakukan banyak rombakan terhadap kitab al-Umm yang terbukti beliau merubah fatwa baharu di Mesir dengan fatwa lebih baharu.

7) Walaubagaimana pun ketentuan Allah penuh dengan hikmah yang maha tinggi, kewafatan Imam Syafi’ie seusia yang muda antara faktor yang menyebabkan kesemua rombakan fatwa beliau tidak dapat dicatat oleh beliau sendiri di dalam kitab al-Umm.
.
8) Namun perancangan Allah maha hebat, meskipun fatwa-fatwa yang dirombak tidak dapat dicatat, tetapi ia diriwayatkan oleh anak-anak murid beliau. Buktinya jika kita membuka kitab al-Umm, kita akan dapati betapa banyak komentar Imam Rabi’ -رحمه الله تعالى- yang mendatangkan riwayat-riwayat yang lain dari gurunya yang dikasihi. Malah kewujudan dua kitab Mukhtasar juga menjadi bukti yang kukuh tentang percambahan terhadap fatwa-fatwa beliau yang sedia ada.

9) Oleh kerana itu, tidak hairan lah banyak pertentangan yang sangat kontradik antara fatwa-fatwa baharu Imam Syafi’ie sendiri, sehingga tidak dapat dibezakan yang mana muncul terkemudian. Maka di sini lah kita lihat peri pentingnya muhaqqiq mazhab iaitu Imam Nawawi dan Imam Rafi’ie -رحمهما الله تعالى- dalam mentarjihkan qaul-qaul Imam Syafi’ie, bahkan mereka juga berperanan mentarjihkan pandangan-pandangan Ashabul Wujuh(ulama mazhab Syafi’ie pada kurun ke-4 dan 5) yang kontradik antara satu sama lain.

10) Perlu diingat juga, bahawa al-Umm dikarang semenjak di Iraq lagi kemudian disempurnakan di Mesir. Oleh itu berkemungkinan besar cebisan fatwa-fatwa lama beliau masih lagi tercatat yang belum sempat dirombak secara penulisan. Faktor ini juga yang menyebabkan bahawa tidak semua fatwa di dalam al-Umm bukan pandangan yang muktamad di dalam mazhab Syafi’ie.

11) Jika anda membaca catatan saya yang tidak seberapa nilainya, Insya Allah anda akan faham mengapa kitab al-Umm dan Mukhtasar tidak dijadikan sandaran utama di sisi ulama-ulama Syafi’iyyah. Catatan ini ringkasan yang terhasil dari pembacaan saya yang sangat terhad selama ini. Kalau ada yang masih tidak mahu faham atau buat tidak faham, itu luar dari bidang kuasa saya. Apa yang saya mampu hanyalah memberi makluman berdasarkan pengetahuan saya yang cetek agar salah faham tidak terus berlaku.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Advertisements

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s