SAYYIDAH AISYAH TANGGUH PUASA GANTI SEBAGAI HUJAH TIDAK BOLEH PUASA GABUNG?

Sebahagian ulama berpendapat bahawa tidak sah digabungkan antara puasa sunat dan qada’(ganti) berdasarkan amalan Sayyidah Aisyah Radiyallahu ‘anha yang melewatkan puasa qada’ beliau pada bulan Sya’ban, seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Aisyah berkata:

كان يكون عليَّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجيء شعبان، لمكان النبي صلى الله عليه وسلم. متفق عليه.

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba dan itu kerana sibuk melayani Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.”

Berdasarkan riwayat di atas, Sayyidah Aisyah RA seorang yang kuat ibadah termasuklah berpuasa, tidak mungkin beliau meninggalkan puasa 6 Syawal. Penangguhan puasa qada’ oleh Aisyah RA menunjukkan bahawa beliau tidak mengabungkan antara puasa qada’ dan 6 Syawal. Jika Aisyah menggabungkan kedua-duanya nescaya beliau tidak perlu menangguh puasa gantinya.

Namun pendapat yang berdasarkan hadith Sayyidah Aisyah merupakan pentakwilan dari yang mana ia tidak disokong oleh dalil yang jelas dan nyata. Selagi tiada bukti yang nyata maka ia bukan sebagai hujah yang mana ia masih boleh dijawab oleh ulama yang mengharuskan gabungan antara dua puasa, antaranya:

1) Tiada riwayat yang jelas lagi nyata yang membuktikan Sayyidah Aisyah Radiyallahu ‘anha berpuasa enam dahulu kemudian berpuasa ganti pada bulan Syaaban. Ia merupakan pentakwilan melalui cara hidup Sayyidah Aisyah yang kuat beribadah, namun ia masih memerlukan bukti melalui riwayat yang jelas.

2) Jika tiada riwayat yang menyokong maka berkemungkinan besar juga Sayyidah Aisyah tidak sempat berpuasa enam kerana sibuk melayani Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Fakta ini disokong dengan kenyataan Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam karangannya yang berjudul Fath al-Bari:

استدل به على أن عائشة كانت لا تتطوع بشيء من الصيام لا في عشر ذي الحجة ولا في عاشوراء ولا غير ذلك وهو مبني على أنها كانت لا ترى جواز صيام التطوع لمن عليه دين من رمضان

Maksudnya: “Dijadikan ia sebagai dalil(Hujah) bahawa Aisyah tidak berpuasa sunat satu pun samaada puasa 10 Dzul Hijjah, 10 Asyura dan selain dari itu. Ini berdasarkan beliau tidak melihat(berpendapat) keharusan berpuasa sunat bagi sesiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadan”.

3) Meskipun Sayyidah Aisyah dikenali sebagai wanita yang rajin berpuasa, tidak bermakna bahawa beliau tidak pernah meninggalkan puasa-puasa sunat seperti puasa enam. Baginda sendiri sangat kuat beribadah pernah beberapa kali meninggalkan beberapa jenis solat sunat antaranya solat Duha. Maka di sini juga tiada riwayat yang jelas menyatakan Sayyidah Aisyah tidak pernah meninggalkan puasa sunat enam.

4) Riwayat ini juga tidak semestinya berlaku setiap tahun, mungkin ia sering berlaku dalam kehidupan Aisyah namun ia tidak semestinya berlaku sepanjang kehidupan beliau bersama Baginda. Berkemungkinan juga adakala Sayyidah Aisyah pernah menggantikan puasa beliau di awal waktu sejurus setelah Ramadan atau bulan-bulan lain selain Syaaban.

5) Disebabkan tiada riwayat yang jelas untuk menyokong maka wujudlah pelbagai kebarangkalian(ihtimalat) yang mungkin berlaku. Ini kerana ada satu kaedah menyatakan “إن طرق الدليل الاحتمال سقط به الاستدلال”, yang bermaksud “Jika sesuatu dalil mengandungi kemungkinan maka batal lah penghujahan”. Oleh itu selagi tiada bukti yang kukuh sehingga menimbulkan pelbagai kebarangkalian maka ia tidak boleh menjadi hujah yang kukuh dan pasti.

Walaubagaimana sepertimana yang saya nyatakan pada artikel saya yang lalu, permasalahan boleh gabung puasa ganti dan sunat adalah isu khilaf di kalangan ulama, ia merupakan khilaf yang muktabar. Namun kedua-dua pihak bersepakat jalan yang terbaik ialah dibuat secara berasingan.

Hujah-hujah dilampirkan di sini bukanlah untuk merendah-rendahkan pendapat yang tidak membenarkan gabungan puasa. Ia hanya sekadar menjelaskan setiap pandangan fuqaha’ ada hujah tersendiri.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Advertisements

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s