WANITA DALAM IDDAH BOLEH KELUAR RUMAH BERHARI RAYA?

SOALAN INBOX:
salam ust, nak tanya. isteri yg dh kehilangan suaminya yg dikatakan tempoh 3 bulan tu, adakah dia memang menetap di rumah nya sahaja tak boleh keluar langsung ATAU kalau macam setakat anak2 nak bawak duduk rumah anak2 kat KL tu boleh, KECUALI tak boleh keluar mana2 ? sebab isterinya pun sorang je dan dh tua jugak kalau nak ditinggalkan.
 .
JAWAPAN:
1) Sebelum menjawab persoalan di atas, terdapat pembetulan bagi iddah wanita yang kematian suami iaitu selama 4 bulan 10 hari, bukan 3 bulan. Untuk mengetahui jenis-jenis iddah di dalam syarak, sila rujuk tulisan saya di bawah ini:
.
2) Secara ringkas wanita yang berada di dalam iddah wajib menetap di rumah yang diduduki selama tempoh iddah. Wanita tersebut tidak dibenarkan keluar dari rumah melainkan ada keperluan mendesak seperti membeli makanan dan barang keperluan rumah. Selain itu menurut fatwa para ulama kotemporari wanita dalam iddah dibenarkan keluar rumah untuk mencari rezeki jika dia tiada sesiapa yang menanggung keperluan hidupnya dan anaknya. Perkara ini merupakan perintah Allah berdasarkan ayat 1, Surah al-Talaq:
لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ
Maksudnya: “Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya) dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya) dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya”.
 .
3) Wanita yang beriddah tidak boleh keluar dari rumahnya tanpa keperluan atau hajat penting seperti menziarahi keluarga, berhari raya, membeli belah dan seumpamanya. Fakta ini dinyatakan oleh al-‘Allamah Qalyubi -rahimahullah- di dalam Hasyiah beliau:
فلو احتاجت ليلا جاز كالنهار، قاله شيخنا وإذا لم تحتج لم تخرج أصلا ولو لعيادة أو زيارة أو تجارة أو تنمية مال
Maksudnya: “Maka jika dia(wanita beriddah) mempunyai hajat(keperluan penting) pada waktu malam, maka dia dibenarkan (keluar) sepertimana (dibenarkan keluar) pada waktu siang, itu yang dinyatakan oleh guru kami. Jika dia tidak mempunyai hajat maka ia tidak dibenarkan keluar sama sekali, walaupun menziarahi orang sakit, menziarahi (keluarga, kawan dsb), berniaga atau melaburkan harta”.
 .
4) Bagi menjawab persoalan di atas, saya memetik fakta dari salah satu rujukan kitab fiqh mazhab Syafi’ie yang berjudul “al-Siraj al-Wahhaj ‘ala Matn al-Minhaj” karangan al-‘Allamah al-Ghamrawi -rahimahullah-, kata beliau:
فلهَا الْخُرُوج فِي النَّهَار لشراء طَعَام وَبيع عزل وَنَحْوه وَكَذَا لَهَا الْخُرُوج لَيْلًا إِلَى دَار جَارة لغزل وَحَدِيث وَنَحْوهمَا بِشَرْط أَن ترجع على مَا جرت بِهِ الْعَادة وتبيت فِي بَيتهَا وتنتقل الْمُعْتَدَّة من الْمسكن الَّذِي كَانَت فِيهِ عِنْد الْفرْقَة لخوف من هدم أَو غرق على مَا لَهَا أَو وَلَدهَا أَو خوف على نَفسهَا تلفا أَو فَاحِشَة أَو تأذت بالجيران أَو تأذى بهَا هم أَذَى شَدِيدا وَالله أعلم
Maksudnya: “Baginya(wanita dalam iddah) untuk keluar pada siang hari untuk membeli makanan, membeli barang keperluan rumah dan seumpamanya. Begitu juga dia boleh keluar pada waktu malam ke rumah jirannya untuk tujuan berbicara untuk menenangkan hati, berborak dan seumpamanya. Tetapi dengan syarat dia mesti pulang ke rumah mengikut adat kebiasaan dan bermalam di rumahnya. Wanita yang beriddah boleh berpindah dari tempat tinggal di mana dia berpisah(dengan suaminya) kerana takutkan kemusnahan atau tenggelam hartanya dan anaknya, atau takutkan perkara bahaya dan buruk berlaku ke atas dirinya, atau terganggu oleh jiran, atau jiran berasa terganggu dengan kewujudannya iaitu dengan gangguan yang teramat”.
 .
5) Berdasarkan kenyataan fakta di atas, wanita yang dalam iddah dibenarkan keluar dari rumahnya dengan beberapa syarat iaitu:
I. Keluar demi keperluan dan hajat penting seperti membeli makan dan mencari nafkah untuk diri dan anaknya.
II. Keluar mencari ketenangan dan menjauhi kesunyian melalui perbualan bersama jiran tetangga dengan syarat tidak boleh bermalam di rumah jiran, namun wajib kembali bermalam di rumahnya sendiri. Jika hanya suka-suka, ia tidak dibenarkan sama sekali oleh syarak.
III. Wanita dalam iddah boleh berpindah dari rumah yang dia duduki dengan alasan takutkan keselamatan dirinya, anaknya dan hartanya, atau terganggu dengan jiran dengan gangguan yang amat. Ataupun jiran terganggu disebabkan keberadaannya.
 .
6) Berbalik kepada soalan di atas, wanita dalam iddah tidak boleh keluar untuk menziarahi anaknya. Namun begitu, jika hatinya sedih atau sunyi disebabkan kehilangan suami dan memerlukan teman berbual dari kalangan anaknya sendiri, maka dia boleh pergi ke rumah anaknya yang sangat berdekatan dengan rumahnya tanpa bermalam di rumah anaknya, yang mana jarak yang memungkinkan dia untuk pulang dalam tempoh yang singkat dan bermalam di rumahnya sendiri.
 .
7) Wanita yang dalam iddah hanya boleh berpindah ke rumah anaknya jika khuatir akan keselamatan diri, anak dan hartanya. Begitu juga atas faktor kesihatan yang mana jika dia terus tinggal bersendirian akan membahayakan dirinya sendiri. Namun begitu, setiba di rumah anaknya dia tetap tidak dibenarkan keluar tanpa keperluan mendesak seperti berhari raya, menziarahi keluarga atau orang sakit sehingga lah tamat tempoh iddahnya.
 .
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Advertisements

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s