NAZAR KEPALA BOTAK

1) Apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ibadah yang sunat, maka wajib ke atasnya untuk melakukan ibadah itu, sebagai contoh: ‘Aku bernazar kerana Allah melakukan puasa Asyura pada tahun ini’. Hukum asal puasa pada hari Asyura ialah sunat, namun apabila dinazarkan maka ia menjadi wajib. Jika dia tidak melakukan puasa Asyura pada tahun itu, maka dia wajib membayar kaffarah kerana melanggar janji kepada Allah.

2) Namun begitu tidak semua amalan sah atau ‘valid’ untuk dijadikan amalan yang dinazarkan(Manzur). Oleh itu sesiapa yang ingin bernazar maka dia perlu mengenal pasti dahulu amalan manakah yang sesuai untuk dinazarkan. Imam Syahabuddin al-Ramli(Ramli Kabir) menjelaskan piawaian amalan yang sah untuk dijadikan amalan nazar di dalam karangan beliau “Fathul Rahman”(Syarah Matan Zubad):

وأما المنذور: فهو قربة غير واجبة وجوب عين، سواء أكانت عبادة مقصودة بأن وضعت للتقرب بها وعرف من الشارع الاهتمام بتكليف الخلق بإيقاعها عبادة؛ كصلاة وصوم وحج، واعتكاف وصدقة، أو فرض كفاية

Maksudnya: “Manakala ‘manzur’(amalan yang dinazarkan) adalah qurbah(ibadah) yang bukan fardu ain, samaada ibadah maqsudah iaitu dilakukan untuk mendekatkan diri (kepada Allah) dan ditakrifkan oleh Pensyariat(Allah Ta’ala) sebagai satu komitmen yang ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) kepada makhluk yang dikira sebagai ibadah, seperti solat, puasa, haji, iktikaf, sedekah atau fardu kifayah”.

3) Ternyata kenyataan Imam Ramli di atas menunjukkan bahawa amalan yang layak dinazarkan(manzur) hanya tertakluk kepada ibadah sahaja yang bukan ketogari fardu ain seperti solat 5 waktu dan puasa Ramadan. Selain dari ibadah khusus seperti solat dan puasa sunat, apa sahaja amalan yang dipuji oleh syarak, sah untuk diamalkan sebagai nazar, perkara ini disebut dengan jelas oleh Imam Ramli dalam rujukan yang sama:

وإنما هي أعمال وأخلاق مستحسنة رغب الشارع فيها؛ لعظم فائدتها، وقد يبتغي بها وجه الله تعالى فيثاب عليها؛ كعيادة المريض، وتطييب الكعبة وكسوتها، وتشميت العاطس، وزيارة القادم والقبور، وإفشاء السلام على المسلمين، وتشييع الجنائز.

Maksudnya: “Ia(qurbah) hanyalah amalan-amalan dan akhlak yang baik yang mana ia digalakkan oleh Pensyariat(Allah) untuk melakukannya kerana faedahnya yang sangat besar. Adakalanya ia (dilakukan) demi mendekatkan diri pada Allah maka ia diberi ganjaran melalui amalan-amalan itu seperti menziarahi orang sakit, mewangikan kaabah, meletakkan kiswah pada kaabah, mendoakan orang yang bersin, menziarahi orang yang pulang dari musafir, menziarahi kubur, memberi salam pada orang-orang Islam dan mengiringi jenazah”.

4) Perbuatan yang tidak dikira sah untuk diamalkan sebagai nazar adalah perkara yang melibatkan perbuatan maksiat dan perbuatan yang diharuskan/dibolehkan oleh syarak. Fakta ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam al-Ramli:

وخرج بـ (القربة): المعصية، فلا يصح نذرها، والمباح كأكل ونوم، فلا يصح نذره؛ لخبر أبي داوود: “لا نذر إلا فيما ابتغي به وجه الله”، فلو نذر ذلك وخالف .. لم تلزمه كفارة.

Maksudnya: “Perkara yang terkeluar dari ketogari qurbah ialah maksiat, maka tidak sah nazar untuk maksiat. Begitu juga perkara yang harus hukumnya seperti makan dan tidur, maka tidak sah nazarnya, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, “Tiada nazar melainkan pada perkara yang mendekatkan diri pada Allah”. Jika seseorang itu bernazar (untuk perkara yang harus hukumnya) lalu dia tidak menunaikan nazar itu, maka tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya”.

5) Jelas di sini bahawa hukum bernazar dengan amalan yang harus dilakukan menurut syarak tidak sah nazarnya menurut mazhab Syafi’ie, malah ia adalah perkara yang sia-sia dan pada zahirnya tiada ganjaran yang dikurniakan oleh Allah. Malah jika seseorang tidak menunaikan nazar tersebut maka dia tidak dikira melanggar janji pada Allah dan tidak diwajibkan kaffarah sebagai ganti. Perkara ini dibuktikan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma:

بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ فِي الشَّمْسِ فَسَأَلَ عَنْهُ؟ قَالُوا: هَذَا أَبُو إِسْرَائِيلَ نَذَرَ أَنْ يَقُومَ، وَلَا يَقْعُدَ، وَلَا يَسْتَظِلَّ، وَلَا يَتَكَلَّمَ، وَيَصُومَ، قَالَ: «مُرُوهُ فَلْيَتَكَلَّمْ، وَلْيَسْتَظِلَّ، وَلْيَقْعُدْ، وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ». رواه أبو دأود

Maksudnya: Ketika Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam berkhutbah, pada masa yang sama ada seorang lelaki yang berdiri di tengah matahari terik, lalu Baginda bertanya tentang lelaki itu. Lalu para sahabat menjawab, ‘Dia Abu Israel bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh (dari kepanasan matahari), tidak bercakap dan berpuasa’. Lalu Baginda bersabda, “Suruh dia bercakap, berteduh dan duduk. Hendaklah dia menyempurnakan puasanya”. (HR Abu Daud)

6) Jelas hadith di atas, Rasulullah Sallahu ‘alaihi wa sallam tidak membenarkan Abu Israel radiyallahu ‘anhu meneruskan amalan nazar yang bukan dalam ketogari ibadah. Namun Baginda memerintah agar beliau menuruskan nazar puasanya kerana ia termasuk dalam ibadah.

7) Membotakkan rambut hukumnya harus di sisi syarak, malah sebahagian ulama berpendapat makruh membotakkan rambut tanpa hajat kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam hanya membotakkan rambut ketika haji dan umrah. Jelas di sini juga, membotakkan rambut selain waktu haji dan umrah bukan dikira sebagai amalan yang mendekatkan diri pada Allah, maka jelas di sini membotakkan kepada tidak sah untuk dijadikan amalan yang dinazarkan di sisi Syafi’iyyah.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

 

WhatsApp Image 2017-09-30 at 14.45.18

Advertisements

About aburuqayya

Nama blogger: Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, kini bertugas sebagai Penerbit Kanan TV AlHijrah. Lepasan universiti al-Azhar Kaherah di peringkat Ijazah Sarjana Muda(BA). Memiliki Ijazah Sarjana(MA) dari Universiti Malaya di dalam bidang Bahasa dan Linguistik Arab. Kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Arab di Universiti yang sama.
This entry was posted in Fiqh. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s