AIR NABEEZ AMALAN NABI?

Screen Shot 2017-04-30 at 8.45.47 AM.png

SOALAN WHATSAPP:

Assalamualaikum! Betul ke air Nabeez ni amalan Nabi Muhammad.

JAWAPAN:

1) Nabeez ialah air perahan dari buah buahan yang diperam dalam tempoh atau hari tertentu untuk dijadikan arak.

2) Namun tidak semua minuman nabeez diketogarikan arak iaitu haram diminum selagimana air perahan yang diperam itu belum bertukar menjadi arak. Selagimana tidak berubah menjadi arak, hukumnya halal untuk dinikmati, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmu’:

وأما النبيذ فقسمان مسكر وغيره، فالمسكر نجس عندنا وعند جمهور العلماء وشربه حرام وله حكم الخمر في التنجيس والتحريم ووجوب الحد

Maksudnya: Manakala nabeez terdapat dua bahagian iaitu yang memabukkan dan selainnya. Yang memabukkan adalah najis menurut kami(mazhab Syafi’ie) dan majoriti di kalangan ulama dan haram meminumnya, hukumnya sama seperti hukum khamr(arak) pada kenajisannya dan pengharamannya serta wajib kenakan hudud.

3) Benar, minuman nabeez ini merupakan amalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, ianya termaktub di dalam hadith yang sahih sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya:

عن ابن عباس يقول: كان رسول الله عليه وسلم ينتبذ له اول الليل، فيشربه، إذا أصبح يومه ذلك، والليلة التى تجئ، والغد والليلة الأخرى والغد إلى العصر. فإن بقى شيئ، سقاه الخادم أو أمر به فصب. رواه مسلم

Maksudnya: Ibnu ‘Abbas –radiyallahu ‘anhu- berkata: “Biasanya Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- dibuatkan untuk baginda nabeez pada permulaan malam dan Baginda meminumnya di waktu pagi, hari itu dan malamnya, pada pagi (esoknya) dan malam berikutnya, serta keesokannya lagi sampai waktu Asar. Jika masih berbaki, maka Baginda berikan kepada pembantu atau Baginda perintah agar membuangnya.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Posted in Fiqh, Hadith Nabawi | Leave a comment

SOLAT DALAM KEADAAN SANGAT TAKUT

SOALAN WHATSAPP:

Assalamualaikum ustaz..maaf gnggu.sy nk tnya 1 soalan situasi mcm ni:
kalu kite tgh solat tetiba ank b’diri atas kerusi tepi kite & mcm nk t’jatuh..kite pn dgn tindakan reflek t’kejut skit so batal ke solat tu?

JAWAPAN:

1) Jika berlaku situasi di atas ketika melakukan solat, ia tidak membatalkan solat jika gerakan reflek tidak mencapai 3 kali berturut-turut. Pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’ie pergerakan yang tidak sengajakan yang banyak(3 kali berturut-turut) tetap membatalkan solat(rujuk Minhaj al-Tolibin).

2) Namun pendapat kedua dalam mazhab Syafi’ie(مقابل الأصح) pergerakan yang tidak sengaja yang banyak tidak membatalkan solat. Ulama Syafi’iyyah mengharuskan untuk memilih pendapat ini.

3) Jika seseorang itu sedang mengerjakan solat kemudian menghadapi satu situasi yang menjadikan dirinya takut maka pergerakannya yang banyak itu tidak membatalkan solatnya. sebagai contoh seseorang terpaksa bergerak banyak ketika solat untuk selamatkan anaknya dari bahaya maka solatnya tidak batal.

3) Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin ada menyebutkan satu contoh situasi solat dalam keadaaan takut, seperti yang dinyatakan:

لو أخذ له مال كأن خطف نعله أو أخذت الهرة لحماً وهو يصلي جاز له طلبه ، وصلاة شدة الخوف إن خاف ضياعه.

Maksudnya: “Jika hartanya diambil seperti seseorang mencuri seliparnya atau seekor kucing mengambil daging(miliknya) sedangkan dia dalam keadaan bersolat maka dia boleh mendapatkannya, ini solat syiddatul khaf(Solat dalam keadaan sangat takut) jika ditakuti kehilanganan barang itu”. (Nukilan fatwa Imam Ramli)

4) Fatwa dalam kitab Bughyah dan fatwa Imam Ramli ini dijelaskan lagi oleh dalam kitab Hasyiah al-Sibyan oleh Tuan Guru Chik bin Abdullah al-Qadahi:

“Jika seorang dalam sembahyang tiba-tiba datang perampas ambil hartanya bawa lari dan jikalau sedikit sahaja hartanya itu sekali pun, maka ia hambat pergi rebut ambil balik hartanya dengan berlari-lari dan berpaling daripada kiblat dan lawan bertumbuk, nescaya tiada batal sembahyang itu dengan syarat jangan bercakap-cakap dan jangan terjejak najis kerana dinamakan sembahyang syiddatul khauf(sangat takut)”.

5) Jelas di dalam solat keadaan yang sangat takut, risau dan kecemasan maka dalam mazhab Syafi’ie peruntukan untuk bergerak banyak kali meskipun lebih 3 kali berturut-turut atau lebih.

6) Oleh itu, jika seseorang sedang mendirikan solat tiba-tiba mendapati anaknya dalam bahaya maka dia boleh bergerak untuk menyelamatkan anaknya dari bahaya kemudian menyambung kembali solatnya, meskipun pergerakan itu banyak samaada tiga kali berturut-turut atau lebih dari bilangan itu.

7) Menurut Imam Ibn Hajar, seseorang yang solat dalam keadaan takut boleh memutuskan solat fardunya. Maksudnya tidak berdosa jika membatalkan solat fardu kerana kecemasan atau kerana sangat takut.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Posted in Fiqh | Leave a comment

SEPUTAR HUKUM AKIKAH

SOALAN INBOX

Assalammualaikum ustaz, harap sihat hendaknya. Mohon bantuan ilmu ustaz berkaitan aqiqah.

1. Ibu saya menyatakan niat utk adakan aqiqah utk arwah ayah dan utk beliau sendiri. Cuma saya keliru sebab sepemahaman saya, aqiqah di bwh tggjwb org tuanya dan anak boleh lakukan aqiqah utk dirinya sendiri sekiranya org tuanya tidak mampu sehingga dia dewasa dan masih hidup. Adakah boleh dilaksanakan aqiqah tersebut ustaz?

2. Ibu saya juga ada menyatakan hasrat utk membuat aqiqah utk kami yg telah dewasa, adakah perlu dilaksanakan atau tidak.

Mohon bantuan ilmu ustaz. Tq in advance ustaz.

JAWAPAN:

1) Hukum melaksanakan akikah menurut majoriti ulama mazhab termasuh mazhab Syafi’ie ialah sunat mu’akkadah(sangat dituntut).

2) Akikah disunatkan pada hari ke-7 kelahiran bayi, namun harus dilaksanakan pada hari selepas hari ke-7. Dalam sebahagian kitab-kitab fiqh Syafi’ie menyebut jika tidak dapat dilaksanakan akikah pada hari ke-7 maka dilaksanakan pada hari ke-14, atau hari ke-21.

3) Tempoh disunatkan si bapa mengakikahkan anaknya dari hari ke-7 kelahirannya hingga dia akil baligh. Jika si bapa tidak mampu maka si ibu atau datuk boleh melunaskan akikah si anak.

4) Disunatkan juga si bapa mengakikahkan bayinya yang ditakdirkan meninggal dunia, samaada sebelum umurnya mencapai 7 hari atau lebih.

6) Apabila seseorang itu telah mencapai akil baligh maka si bapa tidak disunatkan untuk mengakikahkan anaknya, namun yang digalakkan si anak mengakikahkan dirinya sendiri.

7) Dalam kitab al-Majmuk, imam Nawawi menyatakan bahawa orang yang telah akil baligh tidak sah orang lain mengakikahnya untuknya(لا يعق عن البالغ غيره) meskipun ayahnya sendiri. Ini kerana seseorang yang akil baligh sudah dikira mukallaf untuk melaksanakan sesuatu ibadah, maka seharusnya ia dilakukan tuan punya badan sendiri.

8) Bagi menjawab soalan di atas, si ibu tidak disunatkan untuk mengakikahkan anak-anaknya yang sudah akil baligh, bahkan anak-anaknya sepatutnya yang mengakikahkan diri mereka sendiri.

9) Manakala si ibu jika dia belum diakikah oleh ayahnya maka dia disunatkan untuk mengakikahkan dirinya. Manakala untuk suaminya maka tidak disunat si isteri mengakikahkan suaminya yang sudah meninggal dunia. Ini kerana menurut kaedah mazhab Syafi’ie bahawa orang yang sudah akil maka tidak sah orang lain mengakikahkan dirinya.

10) Namun menurut guru-guru kami, jika si hidup melunaskan akikah untuk orang yang telah mati yang akil baligh, maka ia tidak dikira sebagai ibadah akikah, ia hanya dikira sebagai pahala sedekah sahaja.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Posted in Fiqh | Leave a comment

HUKUM AIR BERCAMPUR KLORIN

SOALAN INBOX:

Assalamu’alaikum ustaz.ana ade kemusyhkilan perihal air mutlak. adakah air paip sekarang dikira air mutlak?sebgaimana yang kita tahu,kebanyakkan air di rumah adalah air yang dirawat dengan klorin sehingga rasanya berubah dan kita dapat rasa adanya klorin dalam air tu. Adakah perubahan rasa dan kadang2 air klorin ni berbau juga,menyebabkan air ni sudah dikira tidak mutlak dah?mohon penjelasan ustaz

JAWAPAN

1) Air yang sah untuk bersuci iaitu mengambil wuduk, mandi junub dan menghilangkan najis ialah air mutlak, iaitu yang berasal dari sumber 7 air: air hujan, laut, sungai, perigi, embun, salji dan mata air. Air paip zaman moden juga dikira sebagai air mutlak kerana ia berasal dari sebahagian sumber-sumber air mutlak yang tujuh.2) Antara syarat air mutlak yang sah untuk digunakan tidak bersuci tidak boleh bercampur dengan bahan yang tidak diperlukan oleh air atau bahan yang boleh dielak, sehingga bahan itu merubah salah satu dari sifat air itu sehingga ia tidak dinamakan sebagai air mutlak. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori -rahimahullah- di dalam karangan beliau, Asna al-Matolib:

الماء المتغير طعما أو لونا أو ريحا بمخالطة طاهر يستغنى الماء عنه كالمني، والزعفران تغيرا يمنعه الإطلاق أي إطلاق اسم الماء عليه غير طهور لأنه غير مطلق

Maksudnya: Air (mutlak) yang berubah rasa, warna, atau bau dengan bercampur dengan sesuatu yang suci yang mana ia tidak diperlukan oleh air itu seperti air mani, za’faran dengan perubahan yang menghalang air dari persifat mutlak maka ia tidak menyucikan kerana ia bukan air mutlak.

3) Sebagai contoh bagi kenyataan di atas, air mutlak yang bercampur dengan sirap sehingga menjadi warna kemerahan. Apabila orang melihat perubahan itu pasti akan menamakan air itu sebagai air sirap bukan lagi air mutlak. Manakala maksud sesuatu yang tidak diperlukan iaitu benda yang dapat dielak oleh air tersebut iaitu pada asas bahan itu tidak diperlukan oleh air itu. Manakala contoh sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti lumut di dalam kolam, ataupun tanah di dalam sungai.

4) Berkenaan bahan yang tidak dapat dielak seperti di atas, jika air itu berubah sedikit maka ia masih boleh digunakan untuk bersuci, seperti tanah di dalam sungai merubah sifat airnya sedikit, selagimana ia tidak berubah dengan sangat ketara sehingga tidak lagi dipanggil sebagai air mutlak tetapi air tanah. Perkara ini ada dinyatakan di dalam kitab al-Iqna’ oleh Imam al-Khatib al-Syirbini -rahimahullah-:

وفي التراب كدورة لا يمنع إطلاق اسم الماء عليه، نعم إن تغير حتى صار لا يسمى إلا طينا رطبا ض

Maknanya: Keruh yang ada di dalam tanah tidak menghalang(merubah) nama air mutlak. Ya.. jika air (mutlak) itu berubah sehingga tidak dinamakan air mutlak melainkan (ia dinamakan sebagai) tanah yang basah(berair) maka ia memudaratkan(tidak menyucikan).

5) Selain itu, bahan yang suci tetapi sedikit bercampur dengan air mutlak yang mana ia merubahkan sifat air itu hanya sedikit, ia masih lagi dikira sebagai air yang suci dan menyucikan, asalkan bahan itu sukar untuk dielak. Perkara ini juga dinyatakan oleh Imam al-Syirbini di dalam al-Mughni al-Muhtaj:

ولا يضر تغير يسير بطاهر لا يمنع الاسم لتعذر صون الماء عنه ولبقاء إطلاق اسم الماء عليه

Maknanya: Perubahan yang sedikit dengan sesuatu yang suci tidak memudaratkan kerana keuzuran untuk dielak darinya dan kerana masih kekal namanya sebagai air mutlak.

6) Berbalik pada permasalahan air mutlak, walaupun ia merubahkan bau atau sifat air mutlak itu, namun perubahan itu bukan terlalu ketara tetapi perubahan yang sedikit. Malah perubahan yang sedikit itu tidak merubah zat air itu sebagai air mutlak, ini kerana klorin yang bercampur itu dalam kapasiti yang sedikit.

7) Malah campuran klorin pada air paip merupakan sesuatu yang sukar untuk dielakkan pada zaman moden ini. Bahkan campuran klorin sebagai satu keperluan dan maslahah demi menjamin air itu sihat untuk digunakan. Oleh itu, dalam situasi ini, perubahan yang sedikit seperti ini tetap TIDAK membatalkan status air paip sebagai air mutlak yang suci dan sah digunakan untuk bersuci.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Posted in Fiqh | Leave a comment

HUTANG…. TAPI NILAI MATAWANG BERUBAH

SOALAN INBOX:

Assalamualaikum ustaz… saya nak tanya soalan tntang hutang. Untuk pengetahuan ustaz saya seorg peniaga. Dahulu saya import barangan IT dari US melalui kawan saya yang menetap di sana. Skrg saya masih hutang dengan dia lebih kurang USD1000 lebih. Skrg kwn saya dah kembali ke Malaysia. Masa tu currency rate USD1 = RM3.9… tetapi sekarang dia tuntut baki hutangnya dalam USD. Saya pula nak bayar dalam RM iaitu harga kami buat deal dulu… saya nak bayar ikut rate dulu 3.9 bukan rate sekarang lebh kurang 4.5. Sebab bagi saya dulu punya cerita maka kena bayar ikut keadaan dan harga dulu….kalau bayar ikut harga sekarang macam tak adil kat diri saya. Mohon penjelasan ustaz untuk saya selesaikan masalah ini.

JAWAPAN:

1) Seseorang yang berhutang dengan jumlah tertentu maka menjadi kewajipannya untuk membayar hutang kepada pemiutang dengan jumlah yang dipinjam. Tidak boleh kurang dari jumlah itu melainkan dengan persetujuan pemiutang.

2) Saudara telah berhutang kawan saudara dalam jumlah USD1000 maka wajib ke atas saudara membayar jumlah terebut kerana ini adalah janji saudara kepada kawan, tambahan pula ini adalah syarat yang telah ditetapkan ketika saudara berhutang dengannya. Perkara ini berdasarkan hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا أو أحل حراما

Maksudnya: “Orang-orang Islam di atas syarat-syarat (yang telah ditetapkan ke atas) mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram”. (HR Imam Tirmidhi)

3) Oleh itu kewajipan saudara membayar hutang itu dalam bentuk USD1000 kerana itulah jumlah yang diberi hutang ketika itu. Namun saudara boleh membayar dalam Ringgit asalkan mendapat persetujuan si pemiutang, iaitu RM4.5 x 1000(ikut harga semasa yang tepat). Jika dibayar dengan nilai matawang yang lama maka ini akan menzalimi si pemiutang kerana pastinya dia akan mendapat jumlah yang kurang jika ditukar kepada USD.

4) Kewajipan membayar hutang dengan nilai matawang terkini tidak dikira menzalimi saudara kerana sudah menjadi kewajipan saudara melunaskan jumlah yang saudara hutang dalam bentuk USD dan ketika itu saudara tidak berhutang dalam Ringgit Malaysia.

5) Namun begitu, saudara boleh membayar dengan nilai matawang yang lama dengan syarat persetujuan atau keredhaan si pemiutang. Jika si pemiutang menuntut haknya yang penuh iaitu USD1000 maka saudara wajib memenuhi jumlah tersebut walaupun nilai Ringgit Malaysia jatuh. Begitu juga jikalau nilai Ringgit naik/kuat saudara hanya tetap membayar dalam USD dan di sini saudara nampak lebih beruntung kerana bayar kurang dari jumlah nilai matawang dahulu.

6) Apa yang penting, hutang boleh dibayar dengan matawang wang berbeza atas persetujuan kedua-dua pihak. Namun jumlah yang dibayar itu mengikut jumlah wang yang dipinjam ketika itu BUKAN nilai matawang ketika itu. Perkara ini dibenarkan berdasar hadith riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Nasa’ie bahawa Rasululllah membenarkan Saidina Ibnu Umar radiyallahu ‘anhu menjual untanya dengan harga dinar(emas) kemudian menerima bayaran dalam bentuk dirham(perak) asalkan jumlah dirham bersamaan dengan jumlah dinar.

Wallahu a’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Posted in Fiqh | Leave a comment

FIDYAH SOLAT

SOALAN INBOX:

Assalam ust. Boleh jelaskan mengenai fidyah solat. Jazakalloh kheir

JAWAPAN:

1) Maksud fidyah solat adalah solat yang ditinggalkan oleh seseorang sehingga meninggal dunia dan solat tidak atau belum sempat diqada’, maka solat yang ditinggalkan oleh si mati digantikan dengan fidyah yang dibayar oleh warisnya.

2) Menurut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Imam Syafi’ie رضي الله عنه, tidak disyariatkan fidyah solat sepertimana disyariatkan fidyah puasa untuk si mati. Fakta ini dinyatakan oleh Imam Nawawi رحمه الله  di dalam kitab Raudah al-Tolibin:

ولو مات وعليه صلاة أو اعتكاف لم يقض عنه وليه ولا يسقط عنه بالفدية

Maksudnya: “Jika seseorang mati dan dia berhutang solat atau iktikaf(nazar), maka walinya tidak dapat mengqadha’kan ia dan tidak gugur(hutang solat itu) dengan fidyah”.

3) Ini bermakna jika seseorang itu membayar fidyah atau mengqadha’kan hutang solat seseorang yang sudah meninggal dunia, maka amalan ini tidak sah menurut pendapat yang muktamad, ini kerana tiada nas yang menunjukkan pensyariatan amalan ini. Fakta ini ada dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami رحمه الله di dalam Tuhfah al-Muhtaj:

ولو مات وعليه صلاة أو اعتكاف لم يفعل عنه ولا فدية تجزئ عنه لعدم ورود ذلك

Maknanya: “Jika seseorang mati dan dia berhutang solat atau iktikaf, maka ia tidak digantikan dan tiada fidyah yang sah untuknya kerana ia tiada warid (dari hadith)”.

4) Menurut Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmu’, pandangan yang menyatakan tidak sah ganti solat, iktikaf nazar untuk si mati dan bayar fidyah solat adalah pendapat yang difatwakan oleh Imam Syafi’ie sendiri di dalam kitab al-Umm dan Mukhtasar al-Muzani. Namun di dalam Mukhtasar al-Buwaiti meriwayatkan bahawa Imam Syafi’ie mengharuskan pewaris si mati menggantikan iktikaf sahaja tidak pada solat.

5) Walaubagaimana pun, terdapat Pandangan yang lemah di sisi mazhab Syafi’ie yang mana segelintir ulama mazhab Syafi’ie berpendapat bahawa harus membayar fidyah solat untuk keluarga yang telah meninggal dunia. Pandangan ini terhasil dari kias fidyah puasa yang dibayar oleh pewaris si mati.

6) Pendapat ini disokong oleh sebahagian ulama-ulama nusantara di dalam beberapa kitab-kitab Melayu Jawi antaranya “Sullam al-Sibyan”.  Ia merupakan pandangan muktamad mazhab Hanafi. Namun menurut jumhur, solat yang ditinggal hanya wajib digantikan oleh tuan punya badan dan tidak sah jika dilakukan oleh orang lain begitu juga tidak sah dengan bayaran fidyah.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Posted in Fiqh | Leave a comment

NAJIS BULU KUCING

SOALAN INBOX:

Assalamu’alaikum ustaz… mohon keizinan utk bertanya. bulu kucing yg tercabut dikira najis kan? lepas saya basuh baju… kucing saya naik dan duduk atas baju yg masih basah dn saya nampak bulu tu melekat pada baju. adakah saya wajib membasuh baju tu semula?

JAWAPAN:
1) Menurut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafi’ie, bulu binatang yang haram dimakan seperti kucing jika terpisah dari badan sedangkan binatang itu masih hidup maka hukumnya dikira sama seperti bangkai, iaitu termasuk dalam ketogari najis.

2) Oleh itu jika pada pakaian seseorang itu terlekat bulu-bulu kucing, ini bermakna pakaian itu menanggung najis, maka tidak sah jika dibawa solat. Namun jika bulu yang melekat pada pakaian dalam jumlah yang amat sedikit maka ia dimaafkan.

3) Jika sesuatu benda suci disentuh dengan najis yang kering, maka pakaian itu tidak terkesan dengan najis itu, bahkan ia kekal suci dan tidak wajib membasuhnya kerana najis yang kering tidak memberi kesan pada yang sesuatu yang kering. Sebagai contoh tahi cicak yang kering atau bulu kucing yang kering terkena pada pakaian, maka pakaian itu tidak wajib dibasuh, ia hanya wajib dialihkan dari pakaian. Ini berdasarkan satu kaedah feqh yang menyebut:

النَّجِسُ إذَا لَاقَى شَيْئًا طَاهِرًا وَهُمَا جَافَّانِ لَا يُنَجِّسُهُ

Maknanya: “Jika najis menyentuh sesuatu yang suci, sedangkan kedua-duanya kering, maka najis itu tidak memberi kesan padanya”.

4) Namun jika salah satu di antara keduanya basah atau lembab maka sesuatu benda dikira bernajis jika bersentuhan antara kedua-duanya. Begitu juga jika kedua-duanya basah maka seuatu yang suci itu dikira bernajis.

5) Walaubagaimana pun ada perincian terhadap situasi di atas(salah satu dari kedua-duanya basa atau lembab) yang najis tidak semestinya memberi kesan pada benda yang suci. Perkara ini dijelaskan di dalam matan “Safinah al-Solah”, karangan al-Habib Abdullah bin Umar Ben-Yahya:

فمتى لاقت هذه النجاسات ثوب الإنسان أو بدنه أو مصلاه أو غيرها من الجامدات مع رطوبة فيها أو في ملاقيها فإن كان لها طعم أو لون أو ريح وجب غسلها حتى يزول.

Maknanya: “Jika najis-najis ini menyentuh pakaian manusia atau badannya atau tempat solatnya atau selain itu yang terdiri dari objek-objek berserta lembapan pada najis itu atau pada benda yang menyentuhnya, maka jika najis itu terdapat rasa atau warna atau bau, maka wajib membasuhnya(objek) sehingga hilang(kesan najis itu)”.

6) Menurut kenyataan di atas, jika najis yang lembab menyentuh sesuatu objek dan najis itu tidak meninggalkan kesannya terhadap objek itu maka ia kekal suci dan tidak wajib dibasuh. Tanda-tanda najis yang meninggalkan kesan pada sesuatu ialah BAU, WARNA atau RASA. Jika pada sesuatu objek terkesan salah satu dari 3 sifat itu maka wajib dibasuh sehingga hilang kesannya.

7) Berbalik pada soalan di atas, kebiasaannya bulu kucing samaada kering mahu pun basah tidak meninggalkan apa-apa kesan pada sesuatu objek samaada bau, warna atau rasa. Jika situasi di atas, bulu-bulu kucing tidak meninggalkan salah satu dari kesannya maka pakaian itu tidak wajib dicuci semula, hanya perlu mengalihkan bulu-bulu yang melekat pada pakaian itu.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Posted in Fiqh | Leave a comment